Sesuai bagi wanita pertahan diri
REMBAU 3 Feb. - Seni silat Cimandi Pecah Tujuh peninggalan Ibu Semantan dikatakan mudah dipelajari oleh golongan wanita.Menurut seorang pengamal seni silat tersebut, Noraslin Abd. Rahman, 21, ia mungkin disebabkan oleh faktor pengasasnya juga seorang wanita.
Dia yang berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur berkata, Cimandi Pecah Tujuh sesuai untuk wanita-wanita yang ingin mempelajari seni bela diri.
"Seni silat Cimandi Pecah Tujuh juga boleh diadaptasi untuk persembahan tarian atau pentas," jelasnya ketika ditemui selepas membuat demonstrasi di gelanggang Persatuan Seni Silat Cimandi Pecah Tujuh Cawangan Rembau,
Kampung Kundur Ulu di sini baru-baru ini.
Noraslin memberitahu, dia pernah menyertai beberapa kejohanan silat sejak bergiat dalam seni silat Cimandi Pecah Tujuh 10 tahun lalu.
Dia berharap Persatuan Seni Silat Cimandi Pecah Tujuh Cawangan Rembau akan menggiatkan usaha mempromosi seni bela diri itu di kalangan remaja di negeri ini.
"Saya percaya lebih ramai remaja khususnya perempuan yang berminat mempelajari Cimandi Pecah Tujuh setelah menyaksikannya sendiri dalam sesi-sesi demonstrasi yang dianjurkan," ujarnya.
Rakan Noraslin, Aminah Ong Abdullah, 16, ketika ditemui berkata, selain untuk mempertahankan diri, dia mempraktikkan Cimandi Pecah Tujuh dalam kejohanan silat olahraga yang disertainya.
Aminah memberitahu, kegigihan mengamalkan seni silat tersebut membolehkannya muncul sebagai juara acara 'pertarungan satu lawan satu' dalam satu kejohanan silat olahraga peringkat Negeri Selangor pada tahun 2006.
"Memang saya berhasrat ingin bertanding hingga ke peringkat kebangsaan. Namun, saya perlu memberi tumpuan untuk 'bertarung' dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan," kata pelajar tingkatan empat Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Seri Petaling, Selangor itu.
Ujar Aminah, dia masih giat menjalani latihan pada setiap Jumaat dan Sabtu walaupun tidak lagi aktif menyertai sebarang kejohanan silat dalam tempoh masa terdekat ini.
(Utusan Malaysia, 4 Februari 2009, m/s 26)
0 Ulasan