Pusaka Cimandi Pecah Tujuh
REMBAU 3 Feb. - Seni silat Cimandi Pecah Tujuh dikatakan bermula di Jawa, Indonesia antara kurun ke-14 hingga ke-19 Masihi dan dipercayai diasaskan oleh seorang wanita yang hanya dikenali dengan gelaran 'Ibu Semantan.'
Menurut legenda, kesemua tujuh jurus silat ini direka oleh Ibu Semantan dengan berpandukan pada pergerakan harimau putih dan beruk putih yang diperhatikannya sewaktu mencuci pakaian di sebatang sungai.
Sejak diperkenalkan Ibu Semantan, seni silat Cimandi Pecah Tujuh semakin berkembang bukan sahaja di Nusantara malah ia turut diamalkan di Amerika Syarikat (AS).
Guru silat Persatuan Seni Silat Cimandi Pecah Tujuh Cawangan Rembau, Mohd. Zain Omar, 67, berkata, seorang lelaki berketurunan Jawa yang hanya dikenali sebagai Pak Sukiman merupakan pengasas silat berkenaan di negara ini.
''Pak Sukiman membuka gelanggang di sekitar kawasan Batu Pahat, Johor sekitar 1950-an. Seterusnya, seni silat Cimandi Pecah Tujuh yang popular di kalangan masyarakat Jawa bertapak di kawasan-kawasan lain di Johor dan Selangor," ujarnya.
Mohd. Zain berkata demikian ketika ditemui selepas upacara membuka gelanggang Persatuan Seni Silat Cimandi Pecah Tujuh Cawangan Rembau di Kampung Kundur Ulu dekat sini baru-baru ini.
Beliau yang hampir 30 tahun berkecimpung dalam seni silat Cimandi Pecah Tujuh berkata, setiap penuntut baru disyaratkan melalui upacara menitiskan air limau nipis ke dalam mata sebelum menjejakkan kaki ke gelanggang.
Menurut Mohd. Zain, upacara itu bertujuan 'menerangkan' mata penuntut-penuntut baru supaya mereka mudah menerima ilmu yang diajar oleh guru.
Jelas beliau, terdapat tujuh jurus dalam Cimandi Pecah Tujuh iaitu 'cibaruso', 'cikalang', 'cikalung', 'cianjur', 'ciamrah', 'cimandi' serta 'cimani'.
Ujarnya, pergerakan ala harimau putih sesuai digunakan dalam situasi musuh berada pada jarak kurang daripada satu meter.
Manakala kata beliau, pergerakan ala beruk putih dipraktikkan untuk bertarung dengan musuh pada jarak yang lebih jauh.
Menurutnya, pada peringkat permulaan, penuntut-penuntut seni silat tersebut hanya dibenarkan berlatih menggunakan tangan dan kaki sahaja.
''Penggunaan senjata tidak digalakkan pada peringkat awal bagi mengelakkan timbul perasaan riak atau kejadian tidak diingini di kalangan penuntut.
''Hanya beberapa penuntut terpilih yang dilatih selok-belok penggunaan senjata oleh guru masing-masing," kata Mohd. Zain.
Beliau memberitahu, senjata-senjata yang digunakan dalam latihan silat itu termasuk keris, rotan, pedang dan parang.
Katanya, para pengamal seni silat Cimandi Pecah Tujuh dikehendaki melafazkan ikrar bahawa mereka akan sentiasa taat menjalankan perintah dan menjauhi larangan agama Islam serta tidak akan derhaka kepada ibu bapa dan guru.
Di samping itu, jelas Mohd Zain, mereka juga perlu selalu membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi meneguhkan rohani masing-masing.
(Utusan Malaysia, 4 Februari 2009, m/s 26)
0 Ulasan