Duta pelancongan bermotosikal





REMBAU 24 Dis. - Sebanyak 200 motosikal berkuasa besar menyertai Konvoi Eksplorasi Rembau anjuran bersama Kelab Motor Rembau, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) dan Tourism Malaysia Negeri Sembilan baru-baru ini.

  Penaung Kelab Motor Rembau, Datuk Dr. Awaludin Said berkata, konvoi yang dianjurkan buat julung-julung kalinya itu bertujuan memperkenalkan produk-produk pelancongan di sekitar daerah ini kepada peserta.

  Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, laluan konvoi sepanjang 100 kilometer itu bermula di Dataran Rembau sebelum bertolak ke destinasi-destinasi pelancongan yang ditetapkan.

  ``Antara kawasan yang dikunjungi termasuk hutan lipur Gunung Datuk di Kampung Batang Nyamor dan replika istana serta makam istana Raja Melewar di Astana Raja, Kota dekat sini," ujarnya.

  Dr. Awaludin berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan peserta Konvoi Eksplorasi Rembau di Dataran Rembau dekat sini baru-baru ini.

  Hadir sama Yang Dipertua Kelab Motor Rembau, Maidin Mohammed; Pengurus Besar MTPNS, Badrulhisham Abd. Rahman dan Pegawai Daerah Rembau, Mohd. Rawi Baharom.

  Jelas beliau lagi, peserta-peserta konvoi turut melawat destinasi-destinasi lain seperti Masjid Lama Kampung Selemak, Taman Tema Wet World Pedas, Kompleks Pertanian Ulu Sepri serta Kompleks Perkampungan Kristal Rembau.

  ``Taklimat ringkas diberikan kepada peserta-peserta konvoi di setiap destinasi pelancongan yang dikunjungi. Mereka juga dapat menyaksikan demonstrasi pembuatan produk kristal di Kompleks Perkampungan Kristal Rembau.

  ``Peserta-peserta konvoi juga menyampaikan sumbangan derma kilat kepada Masjid Lama Kampung Selemak," katanya.
   
  Dr. Awaludin berharap peserta-peserta konvoi khususnya dari negeri-negeri lain membantu mempromosi produk-produk pelancongan di sekitar daerah ini.

  Menurut beliau lagi, secara tidak langsung langkah itu boleh meningkatkan bilangan pelancong yang berkunjung ke sini.

  ``Daerah ini kaya dengan nilai sejarah terutamanya berkaitan dengan adat perpatih yang diamalkan oleh masyarakat berketurunan Minangkabau di sini sejak turun-temurun.

  ``Justeru saya berharap peserta-peserta konvoi yang datang dari Johor, Melaka, Selangor, Pahang dan Perak akan bertindak selaku duta pelancongan bermotosikal bagi mempopularkan produk-produk pelancongan di Rembau," ujarnya.
   
  Di samping itu, kata Dr. Awaludin, aktiviti itu juga melatih peserta tentang semangat kerja berpasukan serta patuh kepada peraturan-peraturan jalan raya.
 
  Sehubungan itu, beliau meminta Kelab Motor Rembau menggiatkan usaha menarik lebih ramai ahli di kalangan remaja supaya mereka mempunyai ruang untuk mengikuti aktiviti bermotosikal yang dianjurkan.
     
  habis/

(Utusan Malaysia, 25 Disember 2008, m/s 26) 

Catat Ulasan

0 Ulasan