Cabaran mengacau 24 kawah dodol
TAMPIN 2 Sept. - Proses memasak 24 kawah dodol pada Pesta Kacau Dodol Sekampung di Kampung Felda Jelai 3, Gemas dekat sini baru-baru ini diselia oleh seorang tukang kacau dodol berpengalaman, Idris Mohd. Nor.Menurut Idris, 55, kemahiran menyedia adunan serta mengacau dodol dipelajari dari ibunya, Khatijah Kayat sejak 36 tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 300 kilogram (kg) santan, 6 kg gula serta 10 kg tepung pulut digunakan untuk memasak 24 kawah dodol pada program berkenaan.
''Setiap kawah menghasilkan kira-kira 11 kilogram dodol dan mengambil masa antara lima hingga enam jam untuk dimasak," jelasnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Idris memberitahu, sekurang-kurangnya 10 orang diperlukan untuk mengacau sekawah dodol secara bergilir-gilir sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, dodol hendaklah dikacau secara berterusan agar semua bahagian masak dengan sekata di samping mengelakkan ia menjadi berketul-ketul.
''Pada pengalaman saya, tidak terdapat sebarang perbezaan mengenai rasa dodol yang dimasak dengan menggunakan kayu api atau gas.
''Sebahagian peserta memilih menggunakan kayu api mungkin kerana ingin membangkitkan nostalgia mengacau dodol seperti pada zaman dahulu," jelasnya.
Menurut Idris lagi, menyelia 24 kawah dodol yang dimasak serentak agak mencabar kerana dia perlu memantau kerja-kerja mengacau dodol setiap masa.
Beliau menambah, beberapa penduduk lain yang berpengalaman mengacau dodol turut membantunya menyelia proses mengacau dodol pada program berkenaan.
(Utusan Malaysia, 3 September 2009, m/s 26)
0 Ulasan