Kacau Dodol Sekampung meriah


Kacau Dodol Sekampung meriah



TAMPIN 2 Sept. - Dodol yang juga dikenali sebagai penganan di beberapa daerah sekitar negeri ini merupakan sejenis juadah tradisional popular di kalangan masyarakat Melayu.

Makanan tersebut yang diperbuat daripada adunan tepung pulut, gula melaka dan santan lazimnya dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta sesuai dijadikan buah tangan pada majlis-majlis keramaian.

Proses mengacau dodol sehingga kental memakan masa yang agak lama dan kebiasaannya ia dijalankan secara bergotong-royong di kalangan ahli keluarga atau masyarakat setempat.

Baru-baru ini, seramai 800 penduduk Kampung Felda Jelai 3 di Gemas dekat sini mencipta sejarah tersendiri menjayakan aktiviti mengacau 24 kawah dodol secara bergotong-royong.
Pengurus Felda Jelai 3, Hashim Md. Nor turut bersama menjayakan program tersebut.

Program yang dinamakan Pesta Kacau Dodol Sekampung itu dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Felda Jelai 3 sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Md. Amin Mohd. Riffa, 52, berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama pihak pengurusan Felda Jelai 3.

''JKKK Kampung Felda Jelai 3 mengeluarkan peruntukan sebanyak RM6,000 untuk menjayakan Pesta Kacau Dodol Sekampung," jelas beliau ketika ditemui di kawasan pekarangan Masjid Kariah Kampung Felda Jelai 3 dekat sini baru-baru ini.

Menurut Md. Amin, matlamat utama program adalah untuk mengeratkan hubungan silatur rahim di kalangan penduduk yang mendiami 24 blok di sekitar Kampung Felda Jelai 3.

Katanya, program tersebut turut bertujuan memperkenalkan aktiviti bergotong-royong mengacau dodol sebagai satu tradisi masyarakat di kawasan berkenaan setiap kali menjelang bulan Ramadan.

''Walaupun duduk sekampung, kesibukan menjalankan tugas seharian menyebabkan sebahagian penduduk jarang bersua muka antara satu sama lain.

''Saya gembira apabila melihat penduduk memberi sambutan serta kerjasama yang amat memberangsangkan terhadap program ini," jelas beliau.

Md. Amin memberitahu, dua kaedah memasak dodol digunakan pada program tersebut iaitu dengan menggunakan kayu api atau gas.

Jelas beliau, sebanyak 11 kawah dodol dimasak menggunakan kayu api manakala bakinya sebanyak 13 kawah lagi menggunakan gas.

''Peserta yang mengacau dodol menggunakan kayu api terpaksa menahan kepedihan mata ekoran asap tebal," katanya.
Menurut Md. Amin lagi, dodol yang siap dimasak seterusnya dibungkus dan diagihkan kepada 450 keluarga di sekitar
Kampung Felda Jelai 3.

(Utusan Malaysia, 3 September 2009, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan