Terapi sambil beriadah


Terapi sambil beriadah



PENGUNJUNG wanita melakukan tekan tubi dengan menggunakan buah kelapa sebagai beban di Akademi Pelancongan Kesihatan dan Pemulihan Yasmin di Lembah Sepri, Pedas, Rembau, baru-baru ini. - UTUSAN/HUSSAINI AMRAN


REMBAU 2 Mac - Pelancongan kesihatan merupakan satu konsep yang masih asing bagi sebahagian besar masyarakat di negara ini.

Namun ia tidak mematahkan semangat sekumpulan usahawan untuk menubuhkan Akademi Pelancongan Kesihatan dan Pemulihan Yasmin di Lembah Sepri, Pedas dekat sini.

Usaha tersebut adalah sebagai salah satu daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara ke Negeri Sembilan yang kaya dengan adat budaya dan tradisi.

Diuruskan oleh Perkasa World Corporation Sdn. Bhd., akademi tersebut beroperasi sejak November tahun lalu dengan memperkenalkan kaedah rawatan alternatif yang dikenali sebagai terapi kelajuan darah.

Pengarah Urusannya, Mohd. Ruzainie Zainal Abidin, 24, berkata, setiap pengunjung akan melalui pengalaman unik semasa menjalani terapi kesihatan sambil beriadah.

Katanya, sehingga kini, seramai 130 pengunjung dari seluruh negara telah mengikuti terapi kelajuan darah di akademi tersebut.

Menurutnya, terapi tersebut bertujuan melancarkan perjalanan darah di dalam tubuh dan sesuai dipraktikkan oleh mereka yang menghadapi masalah lemah tenaga batin, kencing manis, darah tinggi, gout, angin ahmar, penyakit sendi serta kebas anggota badan.

Katanya, terapi kelajuan darah turut membantu mencergaskan tubuh yang lesu serta menguatkan minda serta semangat penerima rawatan.

''Bagaimanapun kami tidak mengesyorkan terapi tersebut kepada penghidap penyakit jantung kronik atau individu yang lumpuh seluruh anggota badan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, terapi yang diamalkan memberi penekanan kepada aktiviti senaman seperti melompat, berjalan, tekan tubi serta meranduk air sungai.

Menurut Mohd. Ruzainie, selain senaman, kesemua pengunjung diberi pendedahan tentang amalan pemakanan yang sesuai dengan terapi kelajuan darah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Akademi Pelancongan Kesihatan dan Pemulihan Yasmin dilengkapi kemudahan chalet, dewan makan, surau serta berupaya menampung seramai 50 pengunjung pada setiap sesi.

Jelasnya, dua sesi dikendalikan setiap minggu di mana setiap sesi berlangsung selama tiga hari dan dua malam dengan kadar bayaran RM500 meliputi kos penginapan, rawatan serta makanan bagi setiap pengunjung.

''Pengunjung yang berdaftar sebagai ahli Koperasi Perkasa World Corporation Sdn. Bhd. cuma perlu membayar sebanyak RM250 sahaja bagi setiap sesi," katanya.

Beliau berkata, aktiviti di Akademi Pelancongan Kesihatan dan Pemulihan Yasmin bermula seawal pukul 6 pagi dan berakhir pada pukul 11 malam di bawah kendalian 10 pemudah cara.

''Aktiviti senaman dilakukan secara berasingan mengikut jantina di bawah seliaan lima fasilitator lelaki atau lima fasilitator wanita," jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Ruzainie berkata, syarikatnya merancang untuk menjalankan terapi khusus bagi merawat golongan penagih dadah tegar di akademi berkenaan.

Menurutnya, terapi rawatan penagih dadah tegar dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

Orang ramai yang berminat untuk menginap dan mengikuti terapi di akademi itu boleh membuat tempahan dengan menghubungi Bahagian Pentadbiran, Perkasa World Corporation Sdn. Bhd. di talian 06-6854724 atau faks 06-6854725.

Maklumat lanjut mengenai akademi itu juga boleh diperoleh dengan melayari laman webhttp://www.perkasaworld.com.

(Utusan Malaysia, 3 Mac 2009, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan