Kaedah perikanan haram perlu dihentikan

TAMPIN 18 Mei - Jabatan Perikanan negeri memberi amaran kepada kesemua pihak yang terbabit dalam kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah haram agar menghentikannya serta-merta.

  Pengarahnya, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada penyusutan sumber perikanan di negeri ini.

  Menurut beliau, antara kaedah haram menangkap ikan yang dipraktikkan termasuk menuba, meracun di samping menggunakan renjatan arus elektrik dan bahan letupan.

  Jelasnya, kegiatan berkenaan dilaporkan berlaku di sungai-sungai besar sekitar negeri ini seperti Sungai Muar di sini, Sungai Linggi di Port Dickson serta Sungai Teriang dan Sungai Kenaboi di Jelebu.

  ``Sebagai contoh, penggunaan kaedah menangkap ikan haram di Sungai Kenaboi, Jelebu mengakibatkan populasi ikan kelah di situ menyusut sebanyak 90 peratus," ujar beliau ketika ditemui selepas majlis pelepasan anak ikan ke Sungai Muar di Kampung Pasir Besar, Gemas dekat sini hari ini.

  Kira-kira 70,000 anak ikan jenis lampam jawa, ketutu dan baung dilepaskan pada majlis tersebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gemas, Zainab Nasir.

  Wan Muhammad Aznan menambah, Jabatan Perikanan negeri akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah haram.

  Beliau memberitahu, antara langkah yang diambil untuk mencapai matlamat tersebut termasuk penubuhan unit penguatkuasaan Jabatan Perikanan negeri pada Jun depan.

  Ujarnya, unit berkenaan yang berpengkalan di Kuala Lukut, Port Dickson akan bergerak mengawasi kegiatan perikanan pesisir pantai serta perikanan air tawar di negeri ini.
 
  ``Jabatan Perikanan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Perikanan 1985 ke atas individu-individu yang masih berdegil menangkap ikan menggunakan kaedah haram.

  ``Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali," tegasnya.

  Sehubungan itu, ujarnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan tersebut diminta segera melaporkannya kepada Jabatan Perikanan negeri atau Pejabat Perikanan daerah berhampiran.

(Utusan Malaysia, 19 Mei 2009, m/s 27)

Catat Ulasan

0 Ulasan