Pengupas nanas moden dicipta


Pengupas nanas moden dicipta



PELAJAR dan pensyarah ADTEC Batu Pahat, Johor, bersama pengupas nenas automatik semasa menyertai pameran Pertandingan Kemahiran Kreativiti dan Inovasi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) 2009 di ILP Pedas, Rembau, Negeri sembilan, baru-baru ini. – UTUSAN/ HUSSAINI AMRAN


REMBAU 23 Mac – Rekaan prototaip mesin mengupas nanas automatik melayakkan sekumpulan pensyarah dan pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Batu Pahat muncul johan kategori mekanikal dalam Pertandingan Kemahiran Kreativiti dan Inovasi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) 2009.

Mesin ciptaan dua pensyarah iaitu Asziman Sukran dan Azrul Hisam Abdul Aziz serta lima pelajar iaitu Kawi Sain, Luqman Nur Hakim Zakariah, Abdul Rahman Hussin, Dominic Baki serta Anas Masrol berjaya mengatasi 23 rekaan lain dalam kategori yang sama.

Asziman berkata, mesin berkenaan yang menggunakan kuasa pneumatik berupaya mengupas kira-kira empat tan nanas sehari.

Jelas beliau, mesin itu boleh membantu meningkatkan produktiviti pengusaha industri kecil dan sederhana yang bergiat dalam penghasilan produk berasaskan nanas.

‘‘Mesin ini juga mudah dikendalikan dan kami bercadang menjualnya pada harga RM6,000 seunit,” katanya ketika ditemui selepas acara pertandingan itu di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas dekat sini, baru-baru ini.

Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Sumber Manusia, Mohd. Sharif Hussin dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah JTM, Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali dan Pengarah ILP Pedas, Rahmat Ayob.

Asziman serta ahli kumpulannya menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Mohd. Sharif.

Sebanyak 65 rekaan dipertaruhkan oleh 21 institusi latihan di bawah JTM dalam pertandingan berkenaan.

Selain mesin pengupas nanas automatik, ADTEC Batu Pahat turut mengungguli kategori perisian, perkakasan komputer dan teknologi maklumat menerusi rekaan 3 Firewall mengatasi sembilan rekaan lain.


(Utusan Malaysia, 23 Mac 2009, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan