Usahawan muda udang galah
KUALA PILAH 9 April - Setiap insan yang bergelar siswazah pasti mengimpikan pekerjaan yang sesuai dengan tahap kelulusan masing-masing sama ada di sektor awam atau swasta.
Bagi yang telah membina karier yang stabil, sudah tentu agak keberatan untuk meletakkan jawatan semata-mata kerana ingin menceburi bidang keusahawanan yang penuh cabaran dan risiko lebih-lebih lagi dalam suasana kelembapan ekonomi global.
Namun, lain pula kisahnya empat anak muda lulusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang nekad meninggalkan pekerjaan masing-masing di sektor swasta untuk mengusahakan ternakan udang galah air tawar.
Dengan modal permulaan sebanyak RM50,000 hasil simpanan sendiri, A. Fadzil Zainun, 30, Azlan Azmin, 30, Syaiful Nazwan Izati, 27, dan Mohd. Radzi Yusoff, 27, menubuhkan TrueAqua Enterprise pada Oktober 2007 bagi menguruskan tiga kolam ternakan udang galah di Kampung Ulu Bendul dekat sini.
Kini sebanyak 10 kolam udang galah beroperasi di kawasan seluas 0.1 hektar manakala tujuh kolam lagi dalam proses penyediaan.
Menurut Fadzil, pada mulanya dia berasa kurang selesa kerana terpaksa bergelumang dalam selut dan 'bertarung' dengan pacat yang sentiasa mencari peluang menghisap darah dari tubuhnya.
''Lama-kelamaan, alah bisa tegal biasa. Segala penat lelah hilang apabila melihat udang galah segar yang baru dituai dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Lulusan Sarjana Pengurusan Kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini memberitahu, dia pernah bekerja selama lima tahun sebagai jurutera di sebuah syarikat automotif terkemuka di negara ini sebelum menceburi bidang penternakan udang galah.
Fadzil yang merupakan anak jati Kampung Ulu Bendul menambah, kesemua kolam udang galah TrueAqua Enterprise disewa daripada penduduk setempat dengan kadar RM350 setahun bagi setiap kolam.
Jelasnya, pada masa ini, kira-kira 500 kilogram udang galah dituai dari kolam TrueAqua Enterprise setiap bulan dengan anggaran nilai pasaran RM20,000.
''Sehingga kini, kolam milik TrueAqua Enterprise telah mengeluarkan kira-kira empat tan udang galah dan sebahagian besarnya dijual kepada pengusaha kolam pancing di sekitar negeri ini, Perak serta Johor.
''Kami menyasarkan pengeluaran udang galah sebanyak lima tan sebulan menjelang 2012 bagi membolehkan TrueAqua Enterprise mengembangkan sayap ke pasaran global," ujar Fadzil.
Dalam pada itu, Azlan berkata, Jabatan Perikanan negeri memberi bantuan sebanyak RM30,000 kepada syarikatnya pada tahun lalu.
Dia yang memiliki enam tahun pengalaman bekerja sebagai seorang jurutera di dua syarikat gergasi dalam bidang elektronik dan automotif menjelaskan, peruntukan berkenaan adalah untuk pembersihan parit buangan, pembelian peralatan, penyelenggaraan, makanan serta benih udang galah sebanyak 150,000 ekor.
''Di samping itu, TrueAqua Enterprise turut menerima khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan negeri," ujarnya yang juga pemegang ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Sementara itu, menurut Syaiful Nazwan, dia dan tiga rakan kongsi yang lain pernah hampir putus asa setelah banjir kilat melanda kawasan kolam ternakan udang galah TrueAqua Enterprise pada penghujung tahun 2007 dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM30,000.
Ujar lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, mereka berempat kemudian reda dengan bencana tersebut dan menguatkan semangat untuk bangkit semula.
Dia yang pernah bekerja selama empat tahun di sebuah syarikat automotif berkata, selain semangat cekal pemilik-pemiliknya, sokongan padu daripada keluarga merupakan antara faktor lain yang banyak membantu TrueAqua Enterprise terus bertahan sehingga hari ini.
(Utusan Malaysia, 10 April 2009, m/s 26)
0 Ulasan