1. Rakyat Singapura berdisiplin di negara sendiri kerana penguatkuasaan undang-undang yang ketat. Malangnya, sebahagian rakyat Singapura melanggar undang-undang lalu lintas ketika menggunakan lebuh raya di Malaysia. Contohnya,memandu melebihi had laju dan memecut serta memotong kenderaan lain di lorong kecemasan. Apakah penguatkuasaan undang-undang kita terlalu lemah? Sekiranya ada penguatkuasaan, apakah tindakan yang diambil jika rakyat Singapura tidak bayar saman?
2. Had laju untuk bas dan kenderaan berat di lebuh raya adalah 90 kilometer sejam. Yang selalu kita lihat, pemandu bas ekspres, bas pelancongan dan treler melanggar had laju tersebut. Malah, ada yang melanggar peraturan melarang kenderaan berat memotong. Patutkah mereka dibiarkan begitu sahaja tanpa diambil tindakan?
3. Kenderaan yang perlahan sepatutnya menggunakan lorong kiri tetapi ada juga yang berada di lorong tengah atau kanan sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas. Mungkin boleh dikuatkuasakan peraturan had laju minima untuk lorong tengah dan kanan.
4. Ada papan tanda dipasang di lokasi-lokasi tertentu untuk mengingatkan para pengguna lebuh raya agar berhati-hati dengan haiwan ternakan yang berkeliaran. Bukankah haiwan ternakan sepatutnya dikurung dalam kandang?
5. Kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) dipasang untuk mengesan kenderaan yang dipandu melebihi had laju. Persoalannya, mengapa kamera AES diletakkan di kawasan had laju 90 kilometer sejam? Bukankah lebih baik dipasang di kawasan had laju 110 kilometer sejam sahaja? Logiknya, kenderaan yang dipandu pada kelajuan melebihi 110 kilometer sejam lebih berisiko tinggi mengalami kemalangan berbanding pada kelajuan 91 kilometer sejam.
0 Ulasan