Bahasa jiwa bangsa

1. Hari ini saya membuat liputan program Syarahan Tun Abdul Razak yang disampaikan oleh Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan tajuk 'Mentransformasi Asia Pasifik dan Turki' di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

2. Tidak perlu saya menulis apa yang disyarahkan kerana ia akan dilaporkan dalam media massa.

3. Cuma saya tertarik dengan sikap Erdogan memilih untuk menyampaikan syarahan dalam bahasa ibundanya sendiri, bukannya bahasa Inggeris sehingga menyebabkan hadirin yang tidak tahu bahasa Turki perlu menggunakan khidmat penterjemah untuk memahami intipati syarahan itu.

4. Lazimnya, bangsa yang pernah membina empayar berbangga dengan bahasa ibundanya sendiri; justeru, Turki yang pernah menggegarkan Eropah menerusi kegemilangan Empayar Osmaniyyah juga bersikap begitu.

5. Pemimpin-pemimpin kita khususnya yang berbangsa Melayu sepatutnya mencontohi Erdogan.

6. Sering saya perhatikan, pemimpin-pemimpin Melayu memilih untuk berucap dalam bahasa Inggeris dalam program-program bertaraf antarabangsa di dalam Malaysia.

7. Masalahnya ada di antara mereka yang pertuturan bahasa Inggerisnya kurang jelas sehingga menyukarkan para hadirin untuk memahami ucapan mereka.

8. Jika mereka kurang mahir bertutur dalam bahasa Inggeris, mengapa tidak sahaja berucap dalam bahasa Melayu dan menggunakan khidmat terjemahan untuk hadirin dari negara asing?

9. Tidak perlu rasa rendah diri jika berucap dalam bahasa Melayu kerana tamadun Melayu tidak kurang hebatnya malah kita pernah menguasai Nusantara.

10. Jika kita tidak berbangga dengan bahasa sendiri, siapa lagi?

Catat Ulasan

0 Ulasan