Pengalaman baru bagi dua wanita
PORT DICKSON 22 Mac - Kesemua peserta kursus kemahiran asas kimpalan arka anjuran Politeknik Port Dickson (PPD) dan Persatuan Belia 4B Taman Intan Perdana di sini mengakui menerima ilmu dan kemahiran yang amat berharga sebagai tiket mendapat pekerjaan dalam sektor berkaitan.Salah seorang daripada 19 peserta kursus terbabit, Mohd. Nafis Md. Zain, 29, berkata, kemahiran kimpalan membolehkan dia memberi perkhidmatan tambahan kepada pelanggan-pelanggan bengkel membaiki kenderaan yang diusahakannya.
Dia memberitahu, kerja-kerja kimpalan bahagian kenderaan lazimnya dibayar upah yang lumayan oleh pelanggan.
''Saya akan terus memahirkan diri dalam kerja-kerja mengimpal bagi mengembangkan skop perniagaan yang dijalankan," katanya ketika kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut seorang lagi peserta, Mohd. Faisul Ayob, 24, dia pernah mempelajari teknik kimpalan secara tidak formal sebelum mengikuti kursus tersebut.
Namun, katanya, terdapat segelintir pengusaha bengkel yang tidak mengambil berat tentang aspek keselamatan semasa melakukan kerja-kerja kimpalan.
''Saya lebih yakin semasa mengikuti kursus kimpalan di sini kerana aspek keselamatan lebih terjamin," jelasnya.
Sementara itu, Durrahti Sabri, 19, berkata, golongan wanita tidak seharusnya berasa takut untuk mengendalikan peralatan kimpalan.
Durrahti berkata, kursus berkenaan memberi peluang kepada wanita untuk mempelajari kemahiran kimpalan yang didominasi oleh kaum lelaki.
''Justeru, saya berharap lebih ramai kaum wanita menyertai kursus kemahiran asas kimpalan pada masa akan datang," jelasnya.
Seorang peserta wanita lain, Durrahriza Sabri, 18, memberitahu, dia mengikuti kursus berkenaan bagi mengisi masa terluang sementara menunggu jawapan kepada permohonannya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
''Pengajar menggunakan bahasa yang mudah semasa mengendalikan kursus supaya sebahagian besar peserta yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan teknikal senang faham," katanya yang berhasrat untuk mengusahakan sebuah bengkel kimpalan pada masa akan datang.
Kata Durrahriza, dia merancang akan mengikuti kursus asas teknik-teknik kimpalan yang lain bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahirannya.
(Utusan Malaysia, 23 Mac 2009, m/s 26)
0 Ulasan