CUEPACS Kecewa Keputusan LPPSA, Mohon Pertimbangkan Moratorium 3 Bulan



KUALA LUMPUR 8 APRIL 2020 - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa dengan keputusan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang tidak memberi moratorium untuk bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, adalah tidak adil apabila LPPSA menggunakan alasan penjawat awam menerima gaji atau pencen bagi mewajarkan keputusan tersebut.

Beliau menjelaskan, situasi semasa akibat pandemik COVID-19 telah menganggu rutin kerja dan menjejaskan pendapatan penjawat awam. 

"Harus diingatkan sekali lagi bahawa tidak semua pasangan penjawat awam turut sama-sama bekerja di sektor kerajaan. 

"Ada dalam kalangan pasangan merupakan suri rumah sepenuh masa, bekerja sendiri seperti penjaja kecil serta bekerja di sektor swasta yang mungkin turut terjejas pendapatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tiada Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Perumahan Penjawat Awam - LPPSA

Adnan menambah, penjawat awam yang berada dalam kumpulan B40 menerima kesan lebih-lebih lagi jika pasangan mereka bukan bekerja dalam sektor kerajaan, berniaga atau menjadi suri rumah.

Beliau memberitahu, penjawat awam terutamanya di peringkat pelaksana mempunyai gaji bersih sekitar 20 peratus setelah ditolak bayaran balik pinjaman perumahan dan pinjaman-pinjaman lain.

Sehubungan itu, Adnan berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian moratorium selama tiga bulan mulai bulan ini untuk bayaran balik pinjaman perumahan di bawah LPPSA.

"Dengan penangguhan bayaran balik pinjaman LPPSA yang merangkumi separuh daripada gaji, penjawat awam dan isi rumah mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan sewaktu kecemasan ketika ini," jelasnya.

CUEPACS Ulangi Rayuan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman LPPSA

CUEPACS Mohon LPPSA Pertimbang Pengecualian Potongan Pinjaman Perumahan

Catat Ulasan

0 Ulasan