CUEPACS Ulangi Rayuan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman LPPSA



KUALA LUMPUR 4 APRIL 2020 - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengulangi rayuan kepada kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam.

Kenyataan penuh Presiden CUEPACS, Adnan Mat adalah seperti berikut:

CUEPACS sekali lagi memohon dan merayu kepada kerajaan dan LPPSA agar menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam yang dibuat melalui LPPSA. 

CUEPACS berpandangan penangguhan berkenaan wajar dibuat agar selari dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan yang dilakukan oleh institusi-institusi perbankan.

CUEPACS mengambil maklum keluhan dan harapan ramai penjawat awam termasuklah kesatuan-kesatuan pekerja perkhidmatan awam yang mahukan penangguhan bayaran pinjaman kepada LPPSA. 

Harus diingatkan tidak semua penjawat awam di negara ini mempunyai pasangan yang sama-sama bekerja. 

Ada dalam kalangan pasangan penjawat awam merupakan suri rumah, peniaga kecil atau bekerja di sektor swasta. 

Rata-rata penjawat awam take home pay pula adalah sekitar 20% sekiranya mempunyai pinjaman perumahan atau ditolak dengan pinjaman perumahan dan lain-lain pinjaman. 

Situasi semasa yang melanda negara ketika ini disebabkan penularan wabak Covid-19 telah mengganggu rutin kerja dan menjejaskan pendapatan isi rumah penjawat awam. 

Dengan penangguhan bayaran balik pinjaman LPPSA yang merangkumi separuh daripada gaji, penjawat awam dan isi rumah mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan sewaktu kecemasan ketika ini.

CUEPACS berharap keluhan dan permintaan penjawat awam ini mendapat pertimbangan khas YAB Perdana Menteri dan LPPSA sendiri memandangkan perkara ini telah dimohon oleh CUEPACS sebelum pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac lalu. 

Walaupun permohonan ini sedikit sebanyak memperlahankan sumber dana LPPSA, namun adalah diharapkan kerajaan melalui bank dan institusi kewangan dalam negara dapat membantu mengukuhkan aliran tunai LPPSA. 

CUEPACS yakin penangguhan ini akan memperkukuhkan semula pergerakan ekonomi dalam negara.

KDNK Malaysia 2020 Antara -2% Hingga 0.5% - Bank Negara

Wujudkan Semula Projek Rundingan Terus & Tender Terhad - PKBM Sarawak

Catat Ulasan

0 Ulasan