KDNK Malaysia 2020 Antara -2% Hingga 0.5% - Bank Negara



KUALA LUMPUR 3 APRIL 2020 - Bank Negara Malaysia menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada antara -2.0% hingga + 0.5% pada tahun 2020. 

Keadaan ini berpunca daripada permintaan global yang lemah, gangguan rantaian bekalan dan langkah-langkah untuk membendung virus COVID-19 di dalam dan di luar negara. 

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah untuk menggalakkan penjarakan sosial akan melembapkan aktiviti ekonomi buat sementara waktu, namun penularan virus perlu terus dibendung. 

Pakej rangsangan Kerajaan akan membantu mengurangkan kesan negatif ke atas ekonomi. 

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat serta langkah-langkah kewangan Bank akan menyediakan sokongan yang agak besar kepada isi rumah dan perniagaan. 

Langkahlangkah ini dijangka menambah 2.8 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK pada tahun 2020. 

Selain itu, projek-projek infrastruktur berskala besar yang sedang berjalan turut menyokong pertumbuhan, dan dijangka memberikan tambahan satu mata peratusan kepada pertumbuhan pada tahun 2020. 

Masih terdapat ketidakpastian yang ketara berhubung dengan prospek pertumbuhan, dengan wujudnya risiko positif dan negatif kepada prospek tersebut. 

Risiko negatif berpunca daripada penyebaran COVID-19 yang lebih berpanjangan dan lebih luas di seluruh dunia dan dalam negeri, gangguan bekalan komoditi yang berulang dan keadaan kewangan yang lebih ketat berikutan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan. 

Walau bagaimanapun, terdapat juga risiko yang positif, yang berpunca daripada kesan yang mungkin lebih besar daripada jangkaan berikutan langkahlangkah propertumbuhan, aktiviti yang kembali normal dengan lebih cepat dalam keadaan permintaan terpendam serta ekonomi global yang lebih baik daripada jangkaan, berikutan pelbagai langkah rangsangan. 

Bank menjangkakan ekonomi Malaysia akan pulih semula pada tahun 2021, sejajar dengan jangkaan pemulihan global. 

Krisis kesihatan semakin meningkat dengan pesat dan Bank akan terus memantau dan menilai perkembangan pandemik ini dan kesannya ke atas ekonomi. 

Sumber : Bank Negara Malaysia

Soalan Lazim Moratorium AKPK

Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19


Catat Ulasan

0 Ulasan