Soalan Lazim Moratorium AKPK



SELARAS dengan pemberian morotarium yang diumumkan kerajaan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah mengeluarkan senarai soalan-soalan lazim mengenai perkara tersebut sebagai maklumat untuk para pelanggannya.


1. Adakah AKPK membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman di bawah Program Pengurusan Kredit (PPK) berikutan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac 2020?

Ya. AKPK memberikan penangguhan bayaran ansuran PPK secara automatik untuk tempoh enam (6) bulan dari April 2020 sehingga September 2020.


2. Adakah saya perlu memohon penangguhan itu?

Tidak. Semua pelanggan PPK secara automatik layak untuk penangguhan tersebut.


3. Apakah jenis kemudahan pinjaman yang layak mendapat penangguhan pembayaran automatik ini?

Semua jenis pinjaman yang berada di bawah PPK (termasuk kad kredit).


4. Bagaimana dengan kemudahan pinjaman di bawah PPK yang dibayar melalui potongan gaji? Adakah ia layak untuk penangguhan ini?

Ya, kemudahan tersebut layak untuk penangguhan automatik. Walau bagaimanapun, anda perlu memaklumkan kepada syarikat anda agar menghentikan potongan gaji tersebut.


5. Adakah penangguhan automatik oleh AKPK ini termasuk kemudahan pinjaman daripada institusi bukan kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), TEKUN Nasional dan Koperasi Kredit?

Ya, selagi kemudahan pinjaman tersebut berada di bawah PPK.


6. Bolehkah saya memilih untuk keluar daripada pakej penangguhan automatik ini, dan jika ya, bagaimanakah saya boleh melakukannya?

Ya, anda boleh memilih untuk keluar daripada pakej ini dengan membuat bayaran ansuran PPK sepenuhnya setiap bulan mengikut jadual. Jika anda tidak mengalami masalah aliran tunai ekoran wabak COVID-19 ini, kami menggalakkan anda untuk meneruskan pembayaran bulanan PPK kerana penangguhan pembayaran akan melibatkan bayaran faedah / keuntungan tambahan.


7. Adakah saya akan dikenakan faedah tambahan atas jumlah bayaran balik yang ditangguhkan selama enam (6) bulan mengikut tempoh tersebut?

• Bagi pinjaman konvensional, faedah akan terus dikenakan ke atas baki tertunggak semasa tempoh moratorium.

• Untuk pembiayaan Islam, keuntungan akan terus terakru pada jumlah prinsipal yang belum dijelaskan.

Ini bermakna hanya pembayaran balik yang ditangguhkan dan bukannya pengumpulan bayaran faedah / keuntungan. Tempoh pembayaran balik anda pula akan dilanjutkan selama enam (6) bulan.


8. Saya telah memohon penangguhan untuk bulan Mac 2020 dan permohonan saya telah diluluskan. Adakah saya layak untuk penangguhan automatik, dan bilakah tarikh pembayaran saya berikutnya?

Ya, anda layak untuk penangguhan automatik dan tarikh pembayaran berikutnya adalah selepas tempoh penangguhan enam (6) bulan, iaitu pada bulan Oktober 2020.


9. Saya mempunyai tunggakan satu (1) bulan dalam PPK. Adakah saya layak untuk penangguhan ini, dan jika ya, berapa lamakah tempoh penangguhan?

Ya, anda layak untuk penangguhan automatik selagi akaun PPK anda masih aktif sebelum April 2020. Pembayaran berikutnya adalah pada bulan Oktober 2020 tetapi akaun PPK anda akan menunjukkan satu (1) bulan tunggakan.


10. Bolehkah saya memohon untuk penangguhan lebih daripada enam (6) bulan?

Tidak. Tempoh maksimum penangguhan automatik PPK ini ialah enam (6) bulan sahaja.


11. Permohonan PPK saya baru sahaja diluluskan pada bulan Mac 2020 dan saya belum membuat bayaran pertama untuk mengaktifkan PPK. Adakah saya juga layak untuk penangguhan secara automatik ini?

Ya, tetapi hanya jika anda membuat bayaran pertama dan mengaktifkan PPK sebelum 31 Mac 2020. Penangguhan automatik terpakai untuk semua pelanggan PPK yang aktif.


12. Bagaimana jika saya mengemukakan permohonan PPK semasa tempoh penangguhan, iaitu dari April 2020 sehingga September 2020? Adakah saya akan diberikan penangguhan secara automatik?

Tidak. Permohonan PPK anda akan diproses seperti biasa, dan penangguhan, jika ada, akan diberikan mengikut kes dan bergantung kepada merit kes tersebut.


13. Saya telah membuat bayaran pendahuluan sehingga April 2020. Bolehkah saya meminta bayaran balik?

Tidak. Dana yang diterima akan dibayar kepada penyedia kredit sebaik sahaja ianya diterima (iaitu April 2020).


14. Akaun PPK saya telah ditamatkan pada 1 Mac 2020 dan saya berjanji untuk menyelesaikan semua tunggakan pada 30 April 2020 untuk mengaktifkan kembali akaun PPK saya. Adakah saya layak untuk penangguhan automatik?

Tidak. Penangguhan automatik tidak terpakai untuk akaun PPK yang telah ditamatkan.


15. Adakah saya masih perlu membuat pembayaran untuk bulan Mac 2020?

Penangguhan Pembayaran secara automatik di bawah Program Pengurusan Kredit ( PPK) selama enam (6) bulan hanya akan bermula dari bulan April sehingga September 2020. Walau bagaimanapun, bayaran bulanan PPK untuk Mac 2020 (dan juga sebarang pembayaran tertunggak untuk mengemaskinikan akaun PPK) masih boleh dibuat sebelum bulan April 2020.

Syarikat Telekomunikasi Perlu Pastikan Perkhidmatan Terbaik Untuk Internet Percuma

Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19


Catat Ulasan

0 Ulasan