Pelanggan-pelanggan CIMB mempersoalkan tentang transaksi 'direct debit' dalam akaun mereka. Gambar: Facebook CIMB
Hari ini ramai pelanggan-pelanggan CIMB yang bengang apabila sejumlah wang daripada akaun mereka ditolak begitu tanpa diketahui jenis transaksi yang dilakukan.
Perkara itu berlaku ekoran transaksi-transaksi tersebut hanya dikategorikan sebagai 'direct debit' tanpa butiran terperinci.
Sehubungan itu, CIMB dalam kenyataan melalui Facebook memberi jaminan kepada pelanggan-pelanggan terbabit bahawa transaksi-transaksi kad debit itu adalah sah dan telah dibuat oleh pelanggan.
"Insiden-insiden terpencil ini adalah berkenaan dengan transaksi-transaksi tidak lengkap yang dibuat oleh pelanggan-pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan / perkhidmatan penstriman dalam talian.
"Walau bagaimanapun, transaksi-transaksi tersebut telah dilabel semula sebagai ‘direct debits’, menyebabkan kekeliruan kepada pelanggan-pelanggan kami," jelas CIMB.
CIMB turut memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan mereka akan menghubungi pelanggan-pelanggan yang terbabit secara langsung.
Walau bagaimanapun, berdasarkan komen-komen netizen, sebahagian besar daripada mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh CIMB.
Mereka berpandangan, CIMB sepatutnya menyatakan butiran terperinci tentang transaksi yang dilakukan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan.
Gambar: Facebook CIMB
Selain itu, adalah lebih mudah bagi pelanggan untuk membuat semakan jika setiap transaksi debit disertakan dengan butiran terperinci.
Malah, sebahagian pelanggan yang mengalami masalah tersebut mendakwa mereka tidak berurusan dengan peniaga di luar negara.
Gambar: Facebook CIMB
0 Ulasan