Wujudkan Semula Projek Rundingan Terus & Tender Terhad - PKBM Sarawak



KUALA LUMPUR 30 Mac 2020 - Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Sarawak berharap kerajaan berharap agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan kembali projek rundingan secara terus dan tender-tender terhad bagi menyegerakan pelaksanaan projek-projek di luar bandar Sabah dan Sarawak.

Berikut adalah kenyataan penuh Yang Dipertuanya, Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi:

1. Bagi saya pakej rangsangan ini memang prihatin rakyat dan menyeluruh dan telah memberi harapan dan nafas baharu yang diperlukan oleh rakyat negara ini yang terkesan akibat wabak C-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Dalam pembentangan pakej rangsangan PRIHATIN, Perdana Menteri telah mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion iaitu RM20 bilion daripada PRE 2020 yang terdahulu dan RM230 bilion rangsangan tambahan.

3. Daripada jumlah RM230 bilion ini, RM22 bilion adalah suntikan fiskal langsung, RM100 bilion dalam bentuk moratorium pinjaman, RM55 bilion dalam bentuk jaminan, RM40 pengeluaran KWSP dan RM13 bilion sumber lain. Ini menjadikan jumlah keseluruhan suntikan fiskal langsung sebanyak RM25 bilion, 1.6 peratus daripada KDNK (pada nilai semasa yang sama).

3. Pakej rangsangan yang bermatlamat ini melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi yang telah diumumkan adalah bertepatan dalam keadaan yang amat sukar, tidak pernah dilalui dan tidak menentu ini.

4. Difahamkan, jika proses merangka belanjawan tahunan negara mengambil masa 10 bulan, namun pakej rangsangan kecemasan ini dirangka dalam tempoh kurang seminggu.

5. Tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind, termasuklah Makcik Kiah di Tanjong Manis

6. Pakej PRIHATIN ini adalah manifestasi kerajaan yang mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.

7. Pakej ini juga menyaksikan pemberian tunai yang besar kepada golongan B40, dan kali pertama kepada M40, subsidi upah serta langkah merangsang dan membantu perniagaan.

8. Adalah penting memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 kerana jika sekatan berkenaan lebih cepat ditamatkan, maka ia adalah amat baik untuk ekonomi negara.

9. Seperti dijangka selain rakyat biasa, fokus diberikan kepada petugas, kementerian dan agensi barisan hadapan yang terbabit dalam mendepani wabak COVID-19.

10. Turut dihargai pengorbanan kakitangan kesihatan, anggota tentera, polis, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam dan RELA yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

11. Selain prihatin dengan beban rakyat, kerajaan juga menyedari pemberian tunai akan memberi kesan langsung meningkatkan penggunaan swasta dan perniagaan, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi.

12. Untuk itu, kerajaan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara sekali sahaja atau one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion.

13. Ia turut merangkumi bantuan untuk pelajar institusi pengajian tinggi, warga emas, pemandu e-hailing, orang kurang upaya, golongan gelandangan dan orang asal.

14. Sekiranya kerajaan tidak mengadakan pakej rangsangan ini dan terlalu berhati-hati tidak mahu mengambil risiko supaya defisit kerajaan tidak bertambah, kemungkinan keadaan akan menjadi lebih teruk.Ini bukan masalah khusus kepada ekonomi sahaja, tetapi ia gabungan beberapa perkara lain iaitu kesihatan dan politik.

15. PKBM Sarawak menyambut baik dan berterima kasih kepada Kerajaan kerana telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion untuk projek kecil seperti menambah baik jalan, naiktaraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak selain membersihkan rumah ibadat serta balai polis, ia turut merangkumi usaha meningkatkan kemudahan pelancongan yang akan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4.Saya juga amat berharap agar perlaksanaan dan agihan kerja untuk kontraktor kelas G5 hingga G7 juga perlu dijelaskan secara terperinci dan diberi keutamaan kerana golongan kontraktor ini turut terjejas dengan pandemik covid 19 ini.

16. PKP menyebabkan ramai rakyat terkesan dengan sebahagian besar sumber pendapatan mereka terjejas, kerana tidak dapat keluar bekerja atau berniaga untuk menyara hidup keluarga.

17. Dengan pelbagai jenis bantuan secara “one-off” selain pemberian insentif lain, maka seluruh sektor masyarakat termasuk para peniaga, pekerja swasta, penjawat awam, pesara kerajaan, pelajar, petani, penternak, nelayan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan lain-lain terbela sekaligus dapat meringankan beban mereka.

18. Tan Sri Muhyiddin telah menunjukkan satu kepimpinan yang begitu baik dan berjiwa rakyat, sehingga memeranjatkan pengkritik Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

19 .Dalam konteks negeri Sarawak, rakyat negeri ini amat memerlukan bantuan seperti itu, kerana terkesan akibat wabak C-19 yang terus menular setiap hari.

20. Dengan adanya bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, rakyat akan berasa gembira dan lega terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam yang akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan pada akhir April dan Aidilfitri pada akhir bulan Mei 2020 dan Hari Gawai pada awal Jun nanti.

21. Akhir sekali, PKBM SARAWAK juga berharap agar YAB Perdana Menteri dapat mewujudkan kembali projek rundingan secara terus dan tender-tender terhad bagi menyegerakan pelaksanaan projek-projek di luar bandar Sabah dan Sarawak.

Pembakaran Sampah Punca Bau Busuk Di Sungai Petani

Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19


Catat Ulasan

0 Ulasan