Syed Saddiq Nafi Wang RM250,000 Yang Hilang Milik PPBM

KUALA LUMPUR 30 Mac 2020 - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan wang dianggarkan berjumlah RM250,000 yang dicuri di rumahnya adalah milik parti.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau dalam laman Facebook miliknya:

1. Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya.

2. Pihak polis dan forensik telahpun datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam semalam.

3. Saya berterima kasih kepada pihak polis diatas kerjasama yang sangat baik dan berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera.

4. Untuk masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai. Laporan media bahawa RM250 ribu tersebut merupakan wang PPBM adalah tidak benar dan anggaran kecurian masih belum dapat disahkan. 

5. Saya harap semua pihak juga tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kepada orang ramai. 

6. Sila rujuk pada laporan polis yang telah dibuat.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff mengemukakan lima persoalan berkaitan kejadian itu.

Kenyataan penuh beliau seperti dalam Facebook adalah seperti berikut:

MISTERI KEHILANGAN WANG TUNAI RM250,000 MILIK BERSATU: 5 PERTANYAAN UNTUK SYED SADDIQ

Menarik sekali mendengar laporan wang tunai sejumlah RM250,000 milik BERSATU yang disimpan di kediaman Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, didapati hilang pada jam 7.00 malam 28 Mac lalu setelah ia didapati tidak diusik pada 14 Mac.

Fakta kes adalah:

(1) Wang itu disimpan di dalam sebuah peti besi di tingkat atas bilik Syed Saddiq.

(2) Kediaman Syed Saddiq hanya didiami beliau dan pembantu rumahnya yang juga wanita warga Indonesia.

(3) Kata laluan peti besi itu hanya diketahui oleh Syed Saddiq seorang.

Bagaimanapun, lebih menarik dari persoalan siapa yang mencuri wang tunai RM250,000 ini serta bila, mengapa dan bagaimana ia dicuri adalah persoalan mengenai wang tunai RM250,000 ini sendiri, iaitu:

(1) Jika wang tunai RM250,000 ini adalah memang milik BERSATU, dari mana asal wang tunai ini, apakah ia adalah dari yuran keahlian atau dari sumbangan mana-mana pihak? 

(2) Jika wang tunai RM250,000 ini adalah dari sumbangan mana-mana pihak apakah ia telah diisytiharkan dan apakah Syed Saddiq berkuasa menyimpannya sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “setiap sumbangan kewangan atau harta kepada parti hendaklah diisytiharkan dan hendaklah disimpan di dalam akaun parti atau dipegang oleh Pemegang Amanah”?

(3) Atas kapasiti apa Syed Saddiq menyimpan wang tunai RM250,000 ini sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “Bendahari Agung hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu (RM50,000) pada satu-satu masa”? Syed Saddiq bukan Bendahari Agung BERSATU dan jumlah yang disimpan ini, iaitu RM250,000, juga adalah melebihi jumlah yang dibenarkan disimpan, iaitu RM50,000.

(4) Mengapa wang tunai RM250,000 ini disimpan di kediaman Syed Saddiq sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “wang (yang dibenarkan disimpan) mestilah disimpan di tempat yang selamat di dalam Pejabat Berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti”?

(5) Untuk tujuan apa wang tunai RM250,000 ini disimpan oleh Syed Saddiq sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “wang (yang dibenarkan disimpan) mestilah untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti”?






Catat Ulasan

0 Ulasan