Pembakaran Sampah Punca Bau Busuk Di Sungai Petani


Gambar hiasan. - Tom Fisk / Pexels

SUNGAI PETANI 29 Mac 2020 – Kementerian Alam Sekitar (KAS) sentiasa peka dengan pelestarian alam sekitar dan memastikan tidak berlaku pencemaran alam sekitar, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Menurut Timbalan Menteri Alam Sekitar, Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, sebarang aduan tentang pencemaran alam sekitar akan disiasat dan diambil tindakan segera oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau mengulas tentang tindakan pantas JAS Cawangan Sungai Petani menyiasat dan mengenal pasti sumber pencemaran setelah mendapat aduan mengenai bau pembakaran yang berpanjangan oleh penduduk di sekitar Sungai Petani.

Ahmad Masrizal menjelaskan  bahawa bau terbakar tersebut adalah berpunca daripada Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling yang terletak di Bedong, Kedah.

Bau busuk itu bukan berpunca daripada kilang kitar semula plastik seperti yang sering diadu oleh penduduk kerana kilang yang dimaksudkan sudah tidak beroperasi.

Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling yang kerap kali terbakar telah dipadamkan oleh pihak bomba beberapa kali sebelum ini dan pada masa ini, tapak tersebut masih berasap. 

JAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas seandainya pihak-pihak yang terlibat masih berdegil.

JAS telah mengarahkan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) untuk memastikan operator tapak menimbus lapisan tanah di permukaan tapak pelupusan sampah tersebut bagi menghapuskan asap dan bau.

JAS Cawangan Sungai Petani akan menjalankan rondaan dan pemantauan termasuk menggunakan dron di sekitar Sungai Petani bagi memastikan tiada kilang kitar semula plastik beroperasi.

Selain itu, Ahmad Masrizal menegaskan bahawa kementerian akan terus komited menjalankan penguatkuasaan bersepadu secara berterusan terhadap sebarang pembakaran terbuka, kilang kitar semula sisa plastik haram dalam memastikan Malaysia tidak menjadi tempat lambakan sisa plastik haram dan mencegah pencemaran yang berpunca dari kilang kitar semula plastik haram.

Menurut beliau juga, rakyat dan semua pihak perlu lebih peka bahawa bermula dari bulan April hingga Julai ini, negara kita akan mula berhadapan dengan situasi  panas berjerebu. 

Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan sebaik mungkin agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh memudaratkan lagi keadaan persekitaran negara.







Catat Ulasan

0 Ulasan