Fuziah Minta Media Berhenti Besarkan Isu Berita Palsu, Tunggu Siasatan Selesai



Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menggesa pihak media untuk berhenti membesarkan isu penyebaran berita palsu kononnya berlaku insiden rempuhan di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru sehingga siasatan oleh pihak berkuasa selesai.

Pemimpin PKR itu menjelaskan bahawa beliau telah memberi kerjasama dengan memberi keterangan kepada pihak berkuasa pada 10 April 2020.

"Kini pihak berkuasa sedang membuat siasatan lanjut dan saya menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama sewajarnya.

"Pada masa yang sama, saya menggesa pihak media untuk berhenti membesarkan isu ini sehingga siasatan selesai," katanya melalui kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Parti Keadilan Rakyat. 


Pada 9 April 2020, tular dalam media sosial kononnya berlaku insiden rempuhan melibatkan sekumpulan rakyat Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar.

Walau bagaimanapun, maklumat yang ditularkan bersama video berkenaan adalah tidak benar.

Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Dato' Indera Khairul Dzaimee Daud, video berkenaan adalah suasana ketika latihan kebakaran di BSI pada 18 Disember 2019.

Setelah menyedari kesilapan itu, pengendali laman Facebook Fuziah memadamkan status yang berbunyi: "Sedang berlaku di CIQ JB. Situasi diluar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapore cuba balik ke Malaysia secara beramai2. Harap adalah hotel 5 bintang untuk quarantine mereka."

Kemudian, timbul pula status memohon maaf atas kesilapan itu sambil berharap berita palsu tersebut tidak mencetuskan panik.


Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pihaknya telah membuka siasatan terhadap seorang Ahli Parlimen dan bekas Timbalan Menteri yang didakwa menyebarkan berita palsu.

Laporan dibuat oleh Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir di Balai Polis Larkin, Johor Bahru dan siasatan kes diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.


Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Ayob Khan turut memberi jaminan bahawa tiada dwistandard dalam siasatan kes itu dan sesiapa yang melakukan kesalahan sedemikian akan disiasat di bawah undang-undang yang sama tanpa mengira sama ada dia orang awam atau Ahli Parlimen.











Catat Ulasan

0 Ulasan