Dalam Belanjawan 2021 yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, terkandung pengenalan cukai terhadap vape merangkumi peranti dan cecairnya.
Namun, Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip berpandangan, cukai yang bakal dilaksanakan kerajaan itu tidak merangkumi semua aspek.
Beliau menyatakan, kerajaan seolah-olah terlepas pandang apabila tidak mengenakan cukai ke atas cecair vape bernikotin, sebaliknya hanya menguatkuasakan cukai ke atas peranti dan cecair tanpa nikotin.
Tambah Muhammad Zahid, langkah mengenakan eksais 10 peratus ke atas semua jenis peranti vape dan 40 sen bagi setiap mililiter cecair tanpa nikotin adalah bagus tetapi bukan menyeluruh dan tidak mencapai matlamat sebenar cukai.
"Persoalan utama di sebalik saranan agar kerajaan mengenakan cukai ke atas vape ini sepatutnya bukan hanya terfokus kepada peranti dan cecair tanpa nikotin sahaja. Sebaliknya, ia perlu diperluaskan kepada cecair yang mempunyai nikotin.
"Ini kerana cecair bernikotin jauh lebih besar penggunaannya dalam kalangan penggemar vape dan jika cecair bernikotin dikenakan cukai, kerajaan boleh menjana pendapatan antara RM3 hingga RM4 bilion setahun," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan eksais 10 peratus ke atas peranti dan 40 sen ke atas cecair tanpa nikotin akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan.
Dalam perkembangan yang sama, Muhammad Zahid meminta Bahagian Kawalan Penyakit, Sektor Kawalan Tembakau, Kementerian Kesihatan agar lebih proaktif dalam menentukan jumlah peratusan kandungan nikotin yang dibenarkan dalam cecair vape.
Beliau mendakwa, disebabkan tindak-tanduk bahagian tersebut yang perlahan, pihak Kastam tidak dapat mengenakan cukai ke atas vape walaupun isu berkenaan sudah dibangkitkan sejak 2015 lagi.
"Kita tidak mahu ada 'little Napoleon' dalam agensi kerajaan kerana tidak mahu dek kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis sekandang terpalit, dek kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga," ujarnya.
Memang wajar kerajaan mempertimbangan cadangan ini kerana ia dilihat lebih menyeluruh dan boleh meningkatkan kutipan cukai.
0 Ulasan