Anwar kemaruk kuasa, kena setepek dengan Wan Saiful Wan Jan

Agak-agak sapa yang kena cantas? Gambar: FB Anwar Ibrahim


GARA-GARA mahu mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, Anwar Ibrahim kena tuduh oleh Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan sebagai manusia yang mementingkan diri sendiri.

Mana tidaknya, orang lain berhempas-pulas berperang lawan COVID-19, Anwar pulak sibuk dengan komplot nak jadi PM.

Apa dia tak boleh tunggu sampai habis tempoh darurat habis ke?

Muhyiddin pun dah janji akan buat pilihan raya selepas darurat tamat dan COVID-19 reda.

Kalau betul-betul anak jantan, berentaplah masa PRU-15 nanti. Biar rakyat tentukan siapa yang layak jadi PM dan pegang kuasa.

Berikut adalah kenyataan penuh Wan Saiful:

Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal fokus mengutamakan keperluan rakyat walaupun dilimpahi pelbagai tuduhan tidak berasas dari pembangkang.

Tindakan Anwar Ibrahim melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin sebagai langkah yang hanya menyusahkan rakyat.

Ditambah dengan cakap kosong dari Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tanpa menyuarakan sebarang cadangan yang baik untuk negara, Anwar hanya mementingkan diri sendiri.

Selepas Anwar mengaku mendapat sokongan yang “formidable and convincing” untuk kesekian kalinya, kali ini beliau mahu bawa kerajaan ke mahkamah pula.

Rakyat sepatutnya boleh lega kerana dalam tempoh darurat, orang politik sepatutnya kurangkan politik. Boleh tumpu usaha bantu rakyat yang dilanda banjir dan Covid-19.

Tetapi Anwar masih tak habis-habis nak rampas kuasa. Sejauh mana dia boleh tersasar dari kenyataan? Apakah Anwar sudah terlupa agenda rakyat sebab mengejar jawatan?

Sebelum ini Anwar dalam satu kenyataan di media sosial menuduh bahawa Muhyiddin telah mengkhianati Tun Dr. Mahathir selain terdesak setelah tidak mampu melakukan apa-apa untuk negara.

Sedangkan semasa Pakatan Harapan berkuasa, yang mengkhianati Dr. Mahathir ialah Anwar sendiri yang tak habis-habis menggerakkan pendewa-pendewanya menyuruh Tun meletak jawatan.

Dahulu di depan Dr. Mahathir, Anwar menyatakan beliau sokong Tun, tapi di luar aktif menggerakkan jentera untuk mengkhianati Tun.

Jangan nak bersihkan nama sendiri dengan cara tuduh Muhyiddin pula. Kata dulang paku serpih.

Anwar turut menuduh pula bahawa kerajaan tak ada rancangan yang jelas, namun hakikatnya ketua PKR itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Kalau ada pandangan yang lebih baik, cuba sebut apa cadangan itu! Bukan bermain cakap kosong saja.

Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri kini merupakan kerajaan yang istiqamah dan fokus untuk mengutamakan keperluan rakyat.

Catat Ulasan

0 Ulasan