Gambar hiasan: Facebook Malaysia Airports |
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yang mewakili 14,000 orang pegawai Imigresen di seluruh negara ingin melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tingkah laku seorang pegawai tertinggi awam kerajaan berjawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang sedang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata, kejadian berlaku pada 3 Ogos 2022 antara pukul 8.40 pagi hingga 9.40 pagi di Balai Berlepas, KLIA.
Menurut beliau, insiden bermula apabila tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA.
Khairil Niza berkata, sememangnya pegawai Imigresen tidak ditempatkan di kaunter bilik VIP secara 24 jam kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih memerlukan berbanding kaunter bilik VIP yang hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.
"Pegawai ini yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen KLIA telah dipanggil dan ditengking, diherdik dan diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh KPPA.
"Tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dengan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai dan kakitangan Imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.
"Pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan KPPA tersebut," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau menambah, sikap KPPA yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sifat pentingkan diri dan tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur dan menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa yang lain.
Khairil Niza menjelaskan, pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian rupa adalah merupakan seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja.
"Pegawai ini bertugas dengan penuh dedikasi dalam memastikan urusan keluar masuk dan operasi pemeriksaan penumpang di KLIA berjalan dengan lancar.
"Kejadian ini amat mengguris hati pegawai Imigresen lain keseluruhannya," ujarnya.
Sehubungan itu, Khairil Niza menegaskan, KPISM menggesa kepada kerajaan dan CUEPACS agar memandang serius perkara itu dan satu tindakan perlu diambil kepada penjawat awam yang sombong serta angkuh tersebut.
Beliau memberitahu, KPISM juga menyokong penuh segala tindakan yang akan diambil oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dalam perkara ini demi memartabatkan maruah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia.
"Seharusnya seorang pegawai tertinggi perkhidmatan awam perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik dan positif kepada penjawat awam yang lain serta kepada rakyat keseluruhannya," katanya.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan media yang dikeluarkan awal pagi ini menafikan tuduhan tersebut.
Katanya, JPA memandang serius perkara ini dan ingin menegaskan bahawa segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan.
"Untuk makluman, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya Encik James Lee akan ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.
"Malahan mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.
"JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi udang-undang.
"Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib.
"JPA juga ingin menegaskan bahawa teguran tersebut tidak dibuat di khalayak ramai.
"Malah KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.
"Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen," jelas JPA.
JPA amat kesal dengan kenyataan-kenyataan palsu yang ditularkan dalam media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengesyorkan supaya perkara itu disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
0 Ulasan