Gambar: Facebook Zahid Hamidi |
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan bertindak segera bagi menangani gejala bunuh diri atau cubaan bunuh diri yang kerap dilaporkan kebelakangan ini.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau dalam laman Facebook hari ini:
Banyak insiden bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilaporkan kebelakangan ini. Terjun jambatan, gantung diri dan sebagainya suatu berita yang sangat mendukacitakan.
Permasalahan ini pernah pun saya bangkitkan beberapa kali sebelum ini. Saya fikir keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan pasca pandemik Covid-19.
Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikannya. Seperti saya katakan nyawa setiap rakyat Malaysia adalah berharga. Ia tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil.
Kajian dan semakan secara mendalam perlulah dilakukan oleh pihak berwajib. Keadaan dikhuatiri semakin memburuk jika tiada inisiatif yang serius dari sekarang.
Seperti diketahui pelbagai faktor mendorong kepada perbuatan bunuh diri dan kebanyakannya berkait dengan isu kesihatan mental disebabkan tekanan hidup dan sebagainya.
Dengan demikian suatu mekanisme yang lebih efektif dan mudah akses perlu diwujudkan untuk membantu orang ramai mengenal pasti tahap kesihatan mental mereka sekali gus mendapatkan bantuan jika perlu.
Ia kerana dalam sebilangan kes mangsa dikatakan tidak menyedari diri sedang berdepan isu kesihatan mental atau berasa segan untuk tampil mendapatkan rawatan.
Bagi jangka masa panjang Pendidikan Kesihatan Mental perlu dilaksanakan dengan lebih khusus dan efisien di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi.
Tahap kesihatan mental murid dan pelajar perlu diukur dengan kekerapan paling munasabah dari semasa ke semasa untuk melindungi mereka daripada gejala itu.
Nilai rohaniah perlu diterapkan sebagai salah satu elemen untuk memperhebatkan jiwa dan fikiran mereka dalam menelusuri kehidupan yang penuh dengan cabaran kelak.
Masyarakat juga perlu didedahkan secara meluas tentang aspek kesihatan mental supaya mereka dapat saling bantu membantu.
Insiden bunuh diri bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa, tetapi turut memberi kesan kepada psikologi ahli keluarga mangsa.
Saya mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia dan ingatlah bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian kepada apa jua permasalahan.
0 Ulasan