Zuraida sepatutnya dirujuk Lembaga Disiplin Bersatu, tetapi...

Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

Datuk Zuraida Kamaruddin bakal berdepan Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran laporan beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti tersebut.

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan media malam ini.

Walau bagaimanapun, tindakan itu kini tidak dapat diteruskan kerana Zuraida hari ini mengumumkan beliau meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM.

Berikut adalah kenyataan penuh Muhyiddin: 

Kedudukan YB Datuk Zuraida binti Kamaruddin sebagai ahli BERSATU telah dibincangkan dalam mesyvarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU baru-baru ini. 

Terdapat laporan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti tersebut.

Susulan itu, satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei 2022 telah dihantar kepada beliau. 

Beliau telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei 2022.

Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti.

Namun demikian, memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam BERSATU telah gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan BERSATU.

Saya mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan beliau kepada BERSATU selama ini.

Saya akan mengemukakan satu nama baru kepada YAB Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota kabinet memandangkan kedudukan YB Zuraida sebagai Menteri adalah atas kuota BERSATU.

Catat Ulasan

0 Ulasan