"Oh, sanggup dia tinggalkan abah" - Bossku perli Zuraida

Gambar: Facebook Zuraida Kamaruddin


Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Datuk Zuraida Kamaruddin ekoran tindakannya keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu secara sinis memperli Ahli Parlimen Ampang tersebut kerana tergamak meninggalkan Presiden PPBM merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Oh. Sanggup dia tinggalkan abah.

"Masuk PKR keluar PKR.

"Masuk PPBM keluar PPBM.

"Masuk PBM... dan seterusnya dan seterusnya dan seterusnya.

"Begitulah politik Malaysia.

"Demi rakyat," katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Memetik laporan Warta Rakyat, Zuraida mengambil keputusan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan langkah itu dibuat selepas mengambil pertimbangan mendalam.

“Saya telah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang. Sepanjang penglibatan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat, khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua Kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat.

“Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklumbalas dari penyokong rapat saya, pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara. Insya Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam barisannya,” katanya.

Beliau bersyukur kerana pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah selari dengan pendirian PBM.

Zuraida akan bertemu Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Beliau juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.


Catat Ulasan

0 Ulasan