Segera tubuh LPUN selaras isu harga, kualiti dan bekalan ayam


Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan agar menubuhkan segera badan yang dinamakan Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) untuk menyelaraskan isu harga, kualiti dan bekalan ayam di negara ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini:

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mencadangkan sebuah Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) bagi menyelia dan mengawal industri unggas di dalam negara. Penubuhan Lembaga ini perlu disegerakan bagi memastikan segala usaha mengawal kestabilan stok, kualiti dan harga ayam bagi penggunaan rakyat Malaysia dapat diselaraskan sebaiknya. 

Pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan memainkan peranan berbeza namun jika ditubuhkan Lembaga ini dapat memastikan ekosistem industri unggas dapat berfungsi dengan lebih jelas, berstruktur dan berkesan. Ia juga dapat melihat secara terperinci permasalahan makro atau mana-mana ‘loopholes’ yang timbul untuk diselesaikan secara bersama. 

Sebagai contoh jika kita melihat pengeluaran ayam contohnya tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah untuk melihat harga ayam dan menetapkan harga siling supaya harga ayam tidak mudah dimanipulasi. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pula melihat kepada bekalan dan kualiti ayam yang dikeluarkan. Kementerian Alam Sekitar dan Air bertanggungjawab terhadap pengurusan najis ayam dan Kementerian Perladangan dan Komoditi pula melihat dari aspek pemakanan ayam seperti jagung yang juga memberi impak besar kepada pengeluaran dan harga ayam. 

Tidak kurang pentingnya juga, agensi seperti JAKIM dalam memperincikan tentang isu Halal yang boleh dikoordinasi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang melihat sepenuhnya tentang pengurusan eksport-import ayam daripada pelbagai negara yang mempunyai takrifan Halal yang berbeza.

Justeru, penubuhan Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) ini adalah amat penting dan perlu disegerakan bagi memastikan langkah yang diambil Kerajaan diselaras dan mampu menangani isu pengeluaran dan harga ayam yang semakin kronik di dalam negara. 

Pemuda UMNO berharap Lembaga ini dapat melihat peluang-peluang baharu dalam industri unggas amnya dan ayam khususnya bagi memperkasa serta menambah baik sistem penternakan untuk menjadi lebih efisien, meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk penggunaan dalam negara, memastikan kos pada harga yang optimum dan paling utama memastikan rantaian pengeluaran unggas dapat diperkemas dan diselaras dengan lebih teratur. 

Semoga dengan langkah ini, ia bukan akan sahaja memperbaiki struktur rantaian di dalam industri unggas malah ia sekali gus dapat mengawal usaha sesetengah pihak dalam pengeluaran serta harga ayam yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. 

Catat Ulasan

0 Ulasan