Jelas sekali apa yang saya cuba lakukan dalam 14 bulan yang lepas gagal apabila Presiden PAS, Hadi Awang percaya yang cadangan saya untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar adalah satu cadangan rasmi dan bukannya satu pendapat peribadi saya yang tidak rasmi.
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin mengatakan “Hakikatnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput PAS menyertai Kerajaan Perpaduan”.
Khairil tersilap. Saya bukanlah penasihat DAP.
Seperti yang saya katakan kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pada 18 Mei,
“Pertamanya, izinkan saya untuk jelaskan yang cadangan kerjasama di antara Kerajaan Perpaduan Anwar dan PAS untuk menyelesaikan isu masalah air dan kekurangan pembangunan yang telah berlanjutan selama 60 tahun di Kelantan, Terengganu, dan Kedah ini adalah idea peribadi saya dan bukannya cadangan DAP memandangkan saya belum membincangkan perkara ini dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, atau mana-mana pemimpin DAP yang lain.
“Malah, perkara ini merupakan sebab mengapa saya menolak cadangan Anthony Loke untuk melantik saya sebagai mentor DAP kerana saya ingin bebas memberikan pandangan dan idea peribadi mengenai situasi politik semasa, baik di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, tanpa perlu melibatkan DAP secara langsung.
“Saya percaya yang usaha saya selama setahun telah membuktikan perkara ini dan penjelasan ini patut mengukuhkan lagi perkara ini tanpa sebarang keraguan.”
Namun, Ketua Penerangan PAS berfikir sebaliknya.
Adakah Hadi bersetuju dengan Ketua Penerangannya?
Saya telah keluarkan satu kenyataan pada 29 Mei yang bertanya kepada Hadi apakah yang difikirkannya apabila dia mendakwa — selepas penerbitan kenyataan Tuan Ibrahim dan penjelasan kedua saya — yang PAS ditawarkan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar tetapi Hadi mahu peranan yang lebih dominan memandangkan PAS mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding dengan mana-mana parti yang lain.
Saya katakan:
“Perkara ini menunjukkan ketiadaan kejujuran Hadi dalam cubaan menyertai kerajaan perpaduan kerana dia lebih berminat dengan dominasi PAS dan bukannya perpaduan.
“Atau adakah Hadi tersilap baca cadangan saya untuk PAS bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar untuk menyelesaikan masalah-masalah yang telah lama berlanjutan, seperti masalah air selama 60 tahun dan masalah kekurangan pembangunan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah sebagai satu jemputan rasmi untuk Hadi atau PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar?
“Tidak mungkin untuk Hadi tidak sedar mengenai penjelasan saya bahawa perkara ini adalah idea peribadi saya dan bukannya cadangan dari DAP atau kerajaan perpaduan Anwar kerana saya tidak berbincang mengenai perkara ini dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, atau mana-mana pemimpin DAP yang lain, apatah lagi dengan para pemimpin atau menteri dari kerajaan perpaduan Anwar.
“Walaupun saya menyokong idea untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar, PAS perlu menunjukkan yang mereka bersedia untuk menunjukkan perubahan dengan menyokong titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam negara.
“Sebagai permulaan, adakah Hadi bersedia untuk menarik semula dan memohon maaf untuk pelbagai tuduhan liarnya sebelum ini yang dibuat terhadap DAP dan saya?
“Kedua, adakah Ahli-ahli Parlimen PAS akan menunjukkan yang mereka akan berhenti memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan dan sebaliknya menjadi contoh tauladan sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kestabilan politik dan perpaduan nasional?
“Ketiga, adakah PAS akan menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia?”
Biarlah Hadi jelaskan sama ada dia memikirkan yang cadangan cadangan saya adalah cadangan rasmi bagi pihak Kerajaan Perpaduan Anwar dan biar jelaskan sama ada dia akan menerima tiga cadangan saya sebelum PAS boleh menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar ini.
Jelas sekali Ketua Penerangan PAS tidak berhubungan dengan Presiden PAS apabila dia mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal yang mengatakan sayalah yang telah terlebih dahulu menjemput PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar.
Hadi gagal untuk menunjukkan akhlak sebagai seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab, jujur, dan dihormati semasa tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 pada bulan November tahun lepas, sebaliknya Hadi dilihat sebagai pemimpin yang paling galak dalam menggunakan naratif berasaskan etnik di media sosial dalam waktu-waktu sebelum PRU15 menurut satu laporan bebas yang diterbitkan semalam.
Laporan yang bertajuk “Pemerhatian Media Sosial dalam Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia” mengatakan Abdul Hadi dan partinya terlibat serta dalam menghasut dengan tidak menegur mahupun menghentikan pengguna media sosial dari terus menyebarkan kebencian hubungan antara kaum.
“Pemain ini terus menghidupkan naratif kebencian, begitu juga dengan komen-komen yang dibuat pengguna yang dibiarkan mereka dengan berdiam diri, jadi, kita boleh katakan yang mereka juga terlibat kerana mereka tidak menegur perbuatan ini.
“Perkara ini dapat dilihat dengan sangat jelas sepanjang tempoh pemantauan ini,” kata pengarah eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ), Wathshlah Naidu, semasa pelancaran laporan ini di Kuala Lumpur.
Dengan sejumlah 99,653 mesej unik di media sosial yang dianalisis di antara 20 Oktober dan 26 November tahun lepas, laporan ini mendapati yang “sejumlah majoriti besar” hantaran media sosial ini menggunakan naratif berasaskan perkauman dan keagamaan.
Wathshlah mengatakan Abdul Hadi sendiri merupakan individu tunggal dengan dua hantaran terlalu buruk yang mencapai “Tahap Tiga”, kerana hantarannya dikategorikan sebagai mengandungi bahasa-bahasa yang tidak berperikemanusiaan dan bermusuhan.
Memetik hantaran media sosial Abdul Hadi yang dibuat sebelum pilihan raya November, laporan tersebut mengatakan yang ahli politik tersebut secara aktif telah menyebarkan sentimen anti-Cina dan menyebarkan permusuhan terhadap DAP melalui bahasa yang digunakan yang kemudiannya ditambah teruk dengan salah maklumat dan pengeliruan.
“Malah, hantaran TikTok Abdul Hadi yang mengatakan orang Melayu yang dicalonkan oleh DAP sebagai “licik dan bahaya” didapati mendapat interaksi tertinggi berbanding dengan mana-mana platform media sosial dengan 2.5 juta interaksi,” tambah lagi laporan tersebut.
Adakah Hadi akan memohon maaf untuk peranan tidak bertanggungjawab dan tidak jujurnya di media sosial dalam tempoh sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 seperti yang didedahkan oleh laporan ini?
(Kenyataan media veteran DAP Lim Kit Siang di Petaling Jaya, pada hari Rabu, 31 Mei 2023)
0 Ulasan