Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Temerloh pada 13 April 2026 sebulat suara meluluskan usul agar parti itu menerajui Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangannya, Abdullah Hakim Ahmad berkata, usul tersebut adalah manifestasi keyakinan penuh akar umbi terhadap kemampuan parti untuk memimpin dan membawa perubahan yang lebih progresif di kawasan itu.
Menurut beliau, mesyuarat yang berlangsung dalam suasana penuh semangat muafakat dan disiplin organisasi memperlihatkan kesepaduan anggota dalam menyusun langkah strategik ke hadapan.
"Usul yang diluluskan menjadi isyarat jelas bahawa Cabang Temerloh bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar demi memastikan suara rakyat diangkat dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan media.
Abdullah Hakim berkata, PKR Cabang Temerloh komited untuk memperkukuh gerak kerja di semua peringkat, memperluas sokongan rakyat, serta memastikan setiap agenda perjuangan parti benar-benar menyentuh keperluan masyarakat setempat.
"Dengan iltizam yang tinggi dan sokongan padu anggota, PKR yakin PRU16 bakal menjadi titik tolak kepada kebangkitan dan kejayaan besar di Parlimen Temerloh," katanya.

0 Ulasan