Kerajaan jangan serah beban harga minyak kepada rakyat dan PMKS - Pemuda PAS

 


Pemuda PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang seolah-olah menyerahkan sepenuhnya beban kenaikan harga bahan bakar, khususnya diesel, kepada rakyat. 

Timbalan Ketuanya, Mohd. Hafez Sabri berkat6a, sejak tercetusnya serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, harga diesel di Semenanjung Malaysia dilihat meningkat secara mendadak. 

Menurut beliau, kenaikan lebih 100% dengan nilai akumulatif yang kini mencecah RM3.68 amat membebankan sebilangan besar pengguna diesel, khususnya pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS telah menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2024, bersamaan 39.6 peratus daripada KDNK Malaysia

"Ini membuktikan bahawa PMKS bukan sektor kecil yang boleh dipandang ringan, sebaliknya merupakan tulang belakang penting kepada ekonomi dan sumber pendapatan jutaan rakyat," katanya dalam kenyataan media pada 13 April 2026.

Mohd. Hafez berkata, antara sektor yang paling terkesan akibat kenaikan diesel adalah pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. 

Menurut beliau, sektor tersebut pada 2024 melibatkan guna tenaga yang sangat besar. 

"Untuk sektor pembuatan melibatkan guna tenaga sekitar 1.31 juta orang, pertanian sekitar 800,000 orang, pembinaan sekitar 678,000 orang, serta sektor perkhidmatan yang melibatkan 5.29 juta orang, termasuk bidang pelancongan. 

"Melihat kepada skala keterlibatan rakyat dalam sektor-sektor ini, kerajaan sepatutnya lebih tangkas menyediakan solusi dan alternatif bagi melindungi sumber pendapatan mereka, khususnya golongan yang bergantung kepada pendapatan harian," katanya.

Mohd. Hafez berkata, kerajaan tidak membawa solusi sebaliknya menambahkan lagi beban. 

Menurut beliau, dalam sektor pembinaan misalnya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meminta pemain industri agar tidak mengambil kesempatan daripada krisis tenaga global

"Namun pada masa yang sama, kerajaan sendiri menjadikan krisis yang sama sebagai alasan untuk menaikkan harga diesel. Sikap ini sangat aneh dan bercanggah. 

"Hakikatnya, sektor pembinaan antara yang paling awal menerima tempias kenaikan kos kerana harga bahan binaan seperti pasir, batu bata, besi dan kadar upah sangat bergantung kepada kos pengangkutan serta operasi yang bertunjangkan diesel," katanya.

Mohd. Hafez berkata, demikian juga dalam sektor perkhidmatan dan pertanian. 

Menurut beliau, pelaksanaan pekeliling larangan pengisian petrol atau diesel ke dalam tong telah menimbulkan kesulitan besar kepada kelompok rakyat yang bergantung kepada mekanisme itu untuk mencari rezeki, seperti pengusaha servis potong rumput, pekebun kecil, pesawah kecil, peniaga pasar malam dan pelbagai lagi. 

"Walaupun dasar itu mungkin dibuat atas alasan membanteras penyelewengan bahan api, pendekatan yang tidak holistik sehingga menyekat periuk nasi rakyat adalah sesuatu yang amat tidak boleh diterima.

"Apa yang sedang berlaku hari ini memperlihatkan beberapa langkah dangkal kerajaan dalam mendepani krisis tenaga global. "Krisis ini membuka mata rakyat terhadap keutamaan sebenar kerajaan di bawah pimpinan PMX, yang suatu ketika dahulu menjadikan isu rakyat dan harga minyak sebagai tangga menuju Putrajaya, namun kini gagal menterjemahkannya dalam bentuk dasar yang melegakan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Hafez berkata, kerajaan digesa segera menggariskan langkah mitigasi yang lebih konkrit berasaskan kerangka  3M iaitu menyerap kejutan, melindungi rakyat, dan memperkasa ekonomi negara. 

"Pertama, kerajaan mesti menyerap kejutan kos melalui mekanisme penstabilan harga yang lebih dinamik, termasuk pengurusan subsidi yang fleksibel serta pelepasan stok makanan dan rizab tenaga secara strategik. 

"Kedua, kerajaan wajib melindungi rakyat dan PMKS daripada tekanan kos melalui bantuan bersasar, insentif sokongan dan peranan aktif institusi kewangan sebagaimana pendekatan yang pernah dilaksanakan ketika pandemik. 

"Ketiga, kerajaan perlu memperkasa daya tahan ekonomi domestik melalui pengukuhan rantaian bekalan, keterjaminan makanan dan tenaga serta sokongan berterusan kepada PMKS," katanya.

Menurut beliau, pada masa yang sama, langkah menangani tekanan fiskal tidak boleh dilakukan dengan memindahkan beban kepada rakyat, sama ada melalui pelarasan harga mahupun mekanisme silang subsidi yang tidak telus. 

Mohd. Hafez berkata, kenaikan berterusan harga diesel berisiko mencetuskan rebakan inflasi yang lebih luas, seterusnya menjejaskan kesejahteraan ekonomi rakyat secara keseluruhan.

"Adapun sekiranya perbendaharaan dan kemampuan negara berada dalam keadaan terhad sehingga kerajaan sukar menyediakan lebih banyak inisiatif kepada rakyat, maka kerajaan mesti berterus terang tentang realiti sebenar yang sedang dihadapi negara. 

"Kejujuran sedemikian penting supaya seluruh rakyat dapat sama-sama memahami keadaan dan berganding bahu membantu negara keluar daripada krisis ini," jelasnya.

Menurut beliau, PAS telah menerima peningkatan aduan dan rungutan  yang ketara melalui pusat khidmat, bilik gerakan dan pimpinan parti di seluruh negara. 

"Dengan kemampuan dan kapasiti yang terhad, kami salurkan bantuan seadanya.

"Justeru, sebagai salah satu ikhtiar Pemuda PAS dalam membawa suara, rungutan dan cadangan penyelesaian rakyat, Pemuda PAS berhasrat untuk mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum dan membincangkan isu ini secara langsung. 

"Selain membawa suara rakyat, kunjungan ini juga bertujuan menyambut sendiri seruan PMX pada 4 April lalu yang membuka ruang kepada mana-mana pihak berbincang," katanya.

Mohd. Hafez berkata, Pemuda PAS menegaskan bahawa rakyat tidak boleh terus dijadikan benteng terakhir untuk menampung kelemahan dasar kerajaan. 

"Kerajaan wajib tampil dengan penyelesaian yang adil, telus dan berkesan sebelum beban ini menjadi lebih parah dan menghimpit kehidupan rakyat terbanyak," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan