Jangan perdaya rakyat dengan fitnah Malaysia jual diesel kepada Filipina - PKR

 

PKR Melaka menegaskan bahawa dakwaan kononnya Malaysia menjual diesel kepada Filipina adalah tidak benar dan mengelirukan.

Ketua Penerangannya, Eddiarman Yunos berkata, berdasarkan penjelasan rasmi pihak berautoriti termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta Petronas, adalah jelas bahawa tiada sebarang urus niaga jualan diesel antara kerajaan Malaysia atau Petronas dengan kerajaan Filipina.

Menurut beliau, fakta sebenar menunjukkan bahawa bekalan diesel yang tiba di Filipina adalah daripada syarikat perdagangan antarabangsa Vitol, yang beroperasi dari Singapura. 

"Diesel tersebut berasal dari India dan Asia Utara, dan hanya melalui proses transit kapal ke kapal di perairan Malaysia sebelum dihantar ke Filipina. 

"Ini adalah amalan perdagangan antarabangsa yang biasa dan tidak melibatkan penjualan diesel oleh Malaysia," katanya dalam kenyataan media pada 13 April 2026.

Malangnya, Eddiarman berkata, terdapat pihak pembangkang yang terus memainkan naratif tidak bertanggungjawab dengan memutarbelitkan fakta bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Menurut beliau, tindakan itu jelas menunjukkan sikap terdesak dan tidak beretika, serta sanggup memperdaya rakyat demi kepentingan politik sempit.

"PKR Melaka ingin mengingatkan bahawa politik berasaskan fitnah dan separuh kebenaran hanya akan merosakkan kematangan demokrasi serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

"Sehubungan itu, rakyat diseru agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat yang tidak disahkan. 

"Semak sumber, rujuk laporan media yang sahih dan elakkan menjadi ejen penyebar berita palsu yang akhirnya memudaratkan masyarakat sendiri," tegasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan