Kenaikan berterusan harga diesel jejas keselamatan makanan negara - Takiyuddin

 

Perikatan Nasional (PN) memandang serius rayuan pesawah yang semakin tertekan akibat kenaikan berterusan harga diesel yang meningkatkan kos penanaman padi dan mengancam kelangsungan pengeluaran makanan domestik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, laporan terkini menunjukkan peningkatan ketara kos operasi pesawah, terutamanya melibatkan kerja-kerja membajak, pam air, penuaian dan pengangkutan hasil.

Beliau berkata, menurut Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), petani mempunyai keupayaan terhad untuk menyerap peningkatan kos bajak/tuai melebihi 50% dan kos keseluruhan, termasuk baja dan racun, sehingga 65% yang akan meningkatkan risiko kelewatan musim penanaman, pengurangan keluasan tanaman dan kemerosotan pengeluaran padi tempatan.

"Perkembangan ini berpotensi menjejaskan keselamatan makanan negara sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada import.

"Kerajaan menyasarkan tahap sara diri beras negara mencecah angka 75% pada 2025 daripada 62.6% pada 2022. 

"Namun jika diperhatikan secara lebih teliti, angka ini sebenarnya telah menurun kepada 56.2% pada 2023 dan 52.9% pada 2024. Ia dijangka terus menurun pada 2025 dan 2026," katanya dalam kenyataan media pada 11 April 2026.

Takiyuddin berkata, kebimbangan peningkatan kos bukan sahaja disuarakan oleh pesawah, malah turut dikongsi pelbagai sektor, termasuk logistik, pengangkutan, pembinaan, perladangan, perikanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau, peningkatan kos operasi dalam sektor-sektor ini dijangka memberi kesan rantaian kepada harga barangan dan perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat.

"Umum mengetahui bahawa tekanan harga semasa sebahagiannya dipengaruhi oleh ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik di Asia Barat yang menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.

"Walaupun begitu, semua pihak dan pelbagai sektor terlibat turut menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera dan konkrit bagi mengurangkan kesan buruknya terhadap ekonomi domestik sehingga ke tahap melumpuhkan daya tahan serta kemampuannya untuk pulih," jelasnya.

Takiyuddin berkata, perkembangan global tidak boleh terus dijadikan alasan untuk lewat bertindak. 

Menurut beliau, kerajaan perlu melaksanakan langkah segera dan konkrit untuk melindungi sektor kritikal, khususnya pengeluaran makanan dan rantaian bekalan domestik sebelum tekanan kos menjadi lebih serius.

"Keadaan ini turut berlaku ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang berterusan, termasuk kesan pelarasan tarif elektrik, kenaikan kos bahan mentah lain serta peningkatan caj perkhidmatan.

"Kenaikan harga gas juga akan memburukkan keadaan kerana ia akan meningkatkan kos penjanaan elektrik, pengeluaran industri serta sektor pembuatan yang berpotensi mencetuskan kenaikan harga yang lebih meluas dalam ekonomi.

"Harga gas industri misalnya telah meningkat lebih 20% bagi tong 15kg daripada RM70 kepada RM84 dan bagi tong 50kg naik lebih 22% (RM220 ke RM270)," katanya.

Takiyuddin berkata, kerajaan antara lain perlu memperkenalkan mekanisme penstabilan harga bagi sektor kritikal seperti pertanian, logistik dan pengeluaran makanan, memperluas bantuan bersasar kepada pesawah, nelayan dan pengusaha kecil, menyediakan sokongan kos input bagi mengelakkan gangguan musim penanaman, menimbangkan potongan cukai kepada industri yang terkesan, selain mengadakan libat urus segera dengan industri bagi merangka langkah mitigasi yang berkesan.

"Kegagalan bertindak berisiko memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan harga makanan, kesejahteraan hidup rakyat serta ketahanan ekonomi negara dan akan benar-benar menjadi krisis yang sukar ditangani," katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan