Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi PNB yang baharu



Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Jun 2023.

Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad adalah Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Icon Offshore Berhad dan Bumi Armada Berhad. Beliau merupakan bekas pengarah Maxis Berhad dan Khazanah Nasional Berhad.

Raja Arshad adalah bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7. 

Semasa krisis kewangan Asia 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi pertama Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia. 

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan ahli Lembaga Global International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC.

Beliau telah berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Sekuriti semasa ia mula-mula ditubuhkan. 

Beliau juga pernah menganggotai Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dan Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Raja Arshad terlibat secara aktif dengan beberapa institusi kebajikan. 

Beliau mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Yayasan Amir. 

Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan DayaDiri.

Beliau merupakan Canselor Universiti Selangor.

Raja Arshad ialah Felo Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW). Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), berkhidmat dalam Majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya sebagai Presiden.

“Lembaga Pengarah dan Warga PNB berbesar hati mengalu-alukan Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad ke Lembaga Pengarah PNB, membawa bersama-sama pengalaman luas beliau dalam pengawasan syarikat dan institusi. 

"Kami menantikan kepimpinan beliauseiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB.

Catat Ulasan

0 Ulasan