Perlembagaan Persekutuan

 




BAHAGIAN I - NEGERI-NEGERI, AGAMA DAN UNDANG-UNDANG BAGI PERSEKUTUAN




Perkara 1. Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan.

(1) Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.

(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4), wilayah-wilayah bagi setiap Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.

(4) Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan.

_________________________________________
CATATAN:

Per. 1:

Perkara asal sebagaimana yang terdapat pada Hari Merdeka berbunyi seperti yang berikut:

"1. (1) Persekutuan hendaklah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu (dalam bahasa Inggeris Federation of Malaya).

(2) Negeri-Negeri Persekutuan ialah Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu (yang dahulunya dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu) dan Melaka dan Pulau Pinang (yang dahulunya dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat Melaka dan Pulau Pinang).

(3) Wilayah bagi setiap satu Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah yang termasuk di dalam Negeri itu sebaik sebelum Hari Merdeka.".


Per. 1(2):

Perkara yang ada sekarang, tanpa Fasal (4), dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 4, berkuat kuasa dari 16-9-1963 (iaitu apabila Malaysia ditubuhkan). Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965 (iaitu tarikh Singapura meninggalkan Malaysia) meminda Fasal (2) dengan memotong daripadanya perenggan (c) yang berbunyi seperti berikut:

"(c) Negeri Singapura.".


Fasal (2) yang ada sekarang digantikan oleh Akta A354, seksyen 2, berkuat kuasa dari 27-8-1976. Fasal ini sebelum digantikan oleh Akta A354 dipinda oleh Akta 26/1963, seksyen 4, berkuat kuasa dari 16-9-1963 (iaitu apabila Malaysia ditubuhkan) berbunyi seperti yang berikut:

"(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada-

(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu;

(b) Negeri-Negeri Borneo, iaitu, Sabah dan Sarawak; dan

(c) Negeri Singapura.".


Per. 1(3):

Perkataan "Tertakluk kepada Fasal (4)," dimasukkan sebelum perkataan "wilayah-wilayah bagi setiap Negeri" oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.


Per. 1(4):

1. Fasal asal yang ditambahkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974 (iaitu tarikh penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) berbunyi seperti berikut:

"(4) Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973.".


2. Kemudiannya pula, Fasal ini dipinda pleh Akta A566, subseksyen 2(1), berkuat kuasa dari 1-2-1974, dengan memasukkan selepas angka "1973" perkataan ", dan Wilayah Persekutuan hendaklah dikira suatu wilayah di dalam Persekutuan".

Subseksyen 2(2) Akta A566 juga memperuntukkan mulai dari 1-2-1974 bahawa-

"Apa-apa sebutan dalam Perlembagaan dan mana-mana undang-undang bertulis lain mengenai Persekutuan Malaya, Malaysia, Negeri-Negeri Persekutuan, Negeri-Negeri Tanah Melayu, atau Malaysia Barat, bagaimana jua pun digunakan, sama ada atau tidak digunakan berhubungan dengan atau sebagai sebahagian daripada suatu ungkapan lain, hendaklah ditafsirkan termasuk suatu sebutan mengenai Wilayah Persekutuan, melainkan jika terdapat peruntukan ayata yang berlawanan atau terdapat sesuatu dalam perkara atau konteksnya yang tak konsisten atau bertentangan dengan pentafsiran itu.".


3. Fasal yang di atas digantikan oleh Akta A585, seksyen 11, berkuat kuasa dari 16-4-1984.

4. Fasal ini telah digantikan sekali lagi oleh Akta A1095, seksyen 11, berkuat kuasa dari 1-2-2001.


Perkara 2. Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan.

Parlimen boleh melalui undang-undang--

(a) menerima masuk Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan;

(b) mengubah sempadan mana-mana Negeri,


tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

___________________________________________
CATATAN:

Per. 2:

Lihat Per. 22, 113(3), 159(4)(bb).


Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 3(2):

Perkataan "Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja" dalam baris satu dan dua menggantikan "Melaka dan Pulau Pinang" menurut Akta 26/1963, subseksyen 7(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Per. 3(3):

Perkataan "Negeri-Negeri Melaka dan Pulau Pinang" digantikan dengan "Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354, seksyen 3, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

1. Akta 26/1963, subseksyen 7(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan "dan Pulau Pinang" dengan "Pulau Pinang dan Singapura". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memasukkan semula versi asal "dan Pulau Pinang".

2. Lihat Per. 5 Perlembagaan Negeri Melaka dan Pulau Pinang.

 

Per. 3(5):

 

1. Ditambahkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.

2. Perkataan "Wilayah Persekutuan" digantikan dengan "Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan" oleh Akta A585, Jadual, berkuat kuasa dari 16-4-1984.

3. Perkataan "Kuala Lumpur dan Labuan" digantikan dengan "Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 12, berkuat kuasa dari 1-2-2001.


Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan.

(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

(2) Kesahan mana-mana undang-undang tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa--

(a) undang-undang itu mengenakan sekatan-sekatan ke atas hak yang disebut dalam Perkara 9(2) tetapi tidak berhubungan dengan perkara-perkara yang disebut dalam Perkara itu; atau

(b) undang-undang itu mengenakan mana-mana sekatan yang disebut dalam Perkara 10(2) tetapi sekatan-sekatan itu tidak disifatkan perlu atau suai manfaat oleh Parlimen bagi maksud-maksud yang disebut dalam Perkara itu.

(3) Kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengannya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Bahan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau--

(a) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen, dalam prosiding antara Persekutuan dengan satu atau beberapa Negeri;

(b) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dalam prosiding antara Persekutuan dengan Negeri itu.

(4) Prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah atas alasan yang disebut dalam Fasal (3) (iaitu prosiding yang tidak termasuk dalam perenggan (a) atau (b) Fasal itu) tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan; dan Persekutuan berhak menjadi satu pihak dalam mana-mana prosiding itu, dan begitulah juga dengan mana-mana Negeri yang akan atau mungkin menjadi satu pihak dalam prosiding yang dibawa bagi maksud yang sama di bawah perenggan (a) atau (b) Fasal itu.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 4(1):

 

Lihat Per. 159A.

Per. 4(3):

 

Perkataan "dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau" yang terdapat sebelum perenggan (a) dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 40, berkuat kuasa dari 16-9-1994.

 

Per. 4(4):

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 40, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



BAHAGIAN II - KEBEBASAN ASASI




Perkara 5. Kebebasan diri

(1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

(2) Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi atau mana-mana hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang sedang ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan jika mahkamah itu berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah, hendaklah memerintahkan supaya orang itu dibawa ke hadapan mahkamah itu dan melepaskannya.

(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihanraya.

(4) Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu) dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi penangkapan atau penahanan mana-mana orang di bawah undang-undang yang sedia ada yang berhubungan dengan kediaman terhad, dan kesemua peruntukan Fasal ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai hari Merdeka:

Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam pemakaiannya bagi seseorang, selain seorang warganegara, yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini hendaklah dibaca seolah-olah perkataan "tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu)" telah digantikan dengan perkataan "dalam tempoh empat belas hari":

Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, sebutan dalam Fasal ini mengenai majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan mengenai hakim mahkamah Syariah.

(5) Fasal (3) dan (4) tidaklah terpakai bagi orang asing musuh.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 5(1):


Lihat Per. 149(1).

Per. 5(2):

Perkataan "Mahkamah Tinggi" yang terdapat di baris satu menggantikan perkataan "Mahkamah Agung" menurut Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Per. 5(4):

Proviso ditambahkan oleh Akta A354, seksyen 4, berkuat kuasa dari 31-8-1957.

Proviso selanjutnya ditambahkan oleh Akta A704, seksyen 2, berkuat kuasa dari 10-6-1988.

 

Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang.

(1) Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi.

(2) Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang, tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan mengenai perkhidmatan wajib bagi maksud-maksud negara.

(3) Kerja atau khidmat yang dikehendaki daripada mana-mana orang sebagai akibat daripada sesuatu sabitan atau dapatan bahawa dia bersalah di mahkamah tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian Perkara ini, dengan syarat kerja atau khidmat itu dijalankan di bawah pengawasan dan kawalan suatu pihak berkuasa awam.

(4) Jika menurut mana-mana undang-undang bertulis kesemua atau mana-mana bahagian daripada fungsi mana-mana pihak berkuasa awam dikehendaki dijalankan oleh suatu pihak berkuasa awam yang lain, bagi maksud membolehkan fungsi-fungsi itu dilaksanakan, maka pekerja-pekerja pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut adalah terikat untuk berkhidmat dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut, dan perkhidmatan mereka dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut itu tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian Perkara ini, dan tiada seorang pun pekerja itu berhak menuntut apa-apa hak sama ada daripada pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut atau kedua disebut itu oleh sebab pertukaran pekerjaannya.

_____________________________________________
CATATAN:

Per. 6(3):

Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A1130, seksyen 2, berkuat kuasa dari 28-9-2001, dan menggantikan Fasal dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

"(3) Kerja yang bersampingan dengan penjalanan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian Perkara ini."


Per. 6(4):

Ditambahkan oleh Akta A354, seksyen 5, berkuat kuasa dari 27-8-1976.


Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang.

(1) Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat, dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.

(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.


Perkara 8. Kesamarataan.

(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

(3) Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak kepada mana-mana orang atas alasan bahawa dia seorang rakyat Raja bagi mana-mana Negeri.

(4) Tiada pihak berkuasa awam boleh mendiskriminasikan mana-mana orang atas alasan bahawa dia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.

(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang--

(a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri;

(b) apa-apa peruntukan atau amalan yang mengehadkan jawatan atau pekerjaan yang berkaitan dengan hal ehwal mana-mana agama, atau sesuatu institusi yang diuruskan oleh sekumpulan orang yang menganuti mana-mana agama, kepada orang yang menganuti agama itu;

(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang asli sesuatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam;

(d) apa-apa peruntukan yang menetapkan kemastautinan di sesuatu Negeri atau di sebahagian sesuatu Negeri sebagai suatu kelayakan bagi pemilihan atau pelantikan kepada mana-mana pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa hanya di Negeri atau di bahagian itu sahaja, atau bagi pengundian dalam pemilihan itu;

(e) apa-apa peruntukan Perlembagaan sesuatu Negeri, yang adalah atau yang bersamaan dengan suatu peruntukan yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka;

(f) apa-apa peruntukan yang mengehadkan pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 8:

Lihat Per. 12, 161A(5).

Fasal (2): Perkataan "keturunan, tempat lahir atau jantina" menggantikan "keturunan atau tempat lahir" menurut Akta A1130, seksyen 3, berkuat kuasa dari 28-9-2001.

Fasal (5)(c): Perkataan "Semenanjung Tanah Melayu" menggantikan "Persekutuan" menurut Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (5)(f)Lihat seksyen 6, Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77.]


Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.

(1) Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan.

(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.

(3) Selagi mana-mana Negeri lain berada dalam kedudukan istimewa di bawah Perlembagaan ini berbanding dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu, Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara Negeri itu dengan Negeri-Negeri yang lain, ke atas hak-hak yang diberikan oleh Fasal (2) berkenaan dengan pergerakan dan kemastautinan.

_____________________________________________
CATATAN:

Per. 9:

Lihat Per. 149(1).

Fasal 2:

1. Perkataan "Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya" yang terdapat pada permulaan Fasal itu menggantikan perkataan "Tertakluk kepada apa-apa sekatan yang dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan" menurut Akta 26/1963, subseksyen 60(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 4(2)(a):

Fasal (3):

1. Fasal ini ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 60(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Suatu proviso yang ditambahkan pada masa yang sama dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966. Sebagaimana yang terdapat pada tarikh pemansuhan, proviso itu berbunyi seperti yang berikut:

"Dengan syarat bahawa tiada sekatan ke atas hak bergerak antara Negeri Singapura dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu boleh dikenakan menurut kuasa Fasal ini kecuali melalui suatu undang-undang yang berhubungan dengan buruh atau pendidikan atau dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengannya, oleh sebab kedudukan istimewa Negeri Singapura, ternyata kepada Parlimen wajar ditahan penikmatan hak-hak itu di kedua-dua Negeri Singapura dan Negeri-Negeri Tanah Melayu."


2. Fasal 3 ini terpakai bagi undang-undang yang diluluskan sebelum Hari Malaysia supaya dapat dikenakan sekatan mulai dari Hari Malaysia -- Akta 26/1963, subseksyen 60(2).

3. Proviso kepada Fasal (3) dipinda dengan menambahkan "dan apa-apa sekatan seperti itu hendaklah dipakai bersalingan kepada Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri Singapura" di hujungnya oleh Akta 19/1964, seksyen 2, berkuat kuasa dari 30-7-1964.


Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)--

(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;

(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan--

(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

________________________________________________
CATATAN:

Per. 10:

Lihat Per. 149(1).

Fasal (1): Perkataan "Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)" menggantikan "Tertakluk kepada Fasal (2) dan (3)" menurut Akta A30, seksyen 2, berkuat kuasa dari 10-3-1971.

Fasal 2:

1. Perkataan "atau mana-mana bahagiannya" yang terdapat dalam perenggan (a), (b) dan (c) selepas perkataan "Persekutuan" dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 60(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 4(2)(b).

Fasal (3) ditambahkan oleh Akta 26/1965, subseksyen 60(4), berkuat kuasa dari 16-9-1963, yang juga meminda Fasal (1) dengan menggantikan perkataan "Fasal (2)" yang terdapat di baris satu Fasal itu dengan "Fasal (2) dan (3)".

Fasal (4) ditambahkan oleh Akta A30, seksyen (2), berkuat kuasa dari 10-3-1971.

 

                                                                                                                                                          


Perkara 11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak--

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;

(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan

(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.


(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 11(4):

1. Perkataan "dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan, undang-undang persekutuan" dimasukkan selepas "Undang-undang Negeri" di baris satu oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.

2. Kemudiannya pula, perkataan "Wilayah Persekutuan" digantikan dengan "Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan" oleh Akta A585, Jadual, berkuat kuasa dari 16-4-1984.

3. Perkataan "Kuala Lumpur dan Labuan" digantikan dengan "Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 13, berkuat kuasa dari 1-2-2001.

 

                                                                                                                                                          


Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.

(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir--

(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau

(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).


(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaga.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 12(2):

1. Fasal (2) yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A354, seksyen 6, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dan menggantikan Fasal dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

"(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi untuk pendidikan kanak-kanak serta mengadakan di dalamnya ajaran-ajaran dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidaklah boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu, tetapi undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri boleh mengadakan bantuan kewangan khas untuk menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau untuk ajaran-ajaran dalam agama Islam bagi orang yang menganuti agama itu."

2. Perkataan "atau undang-undang Negeri" yang terdapat di baris lima dan enam selepas perkataan "undang-undang persekutuan" dimasukkan oleh Akta 25/1963, subseksyen 2(1), berkuat kuasa dari 31-8-1957 melalui subseksyen 3(3). 

                                                                                                                                


Perkara 13. Hak terhadap harta.

(1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

                                                                                                                            


BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 14. Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:

(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan

(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.

(c) (dimansuhkan)

(2) (Dimansuhkan)

(3) (Dimansuhkan)

____________________________________________
CATATAN:

Per. 14:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 23, berkuat kuasa dari 16-9-1963, tetapi Fasal (1)(c), (2) dan (3), yang diturunkan di bawah ini, dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:

"(1) (c) tiap-tiap warganegara Singapura.


(2) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, peruntukan mengenai kewarganegaraan Singapura boleh dibuat oleh Perlembagaan Negeri itu, dan boleh dipinda melalui undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri itu dan diluluskan melalui Akta Parlimen.

(3) Kewarganegaraan Singapura tidaklah boleh dipisahkan daripada kewarganegaraan Persekutuan, tetapi jika seseorang warganegara Singapura kehilangan salah satu kewarganegaraan itu maka hilanglah kewarganegaraannya yang satu lagi (tertakluk kepada peruntukan yang dibuat oleh Bahagian ini untuk pendaftaran seseorang warganegara Singapura sebagai seorang warganegara yang bukan warganegara Singapura)."

2. Perkara yang dahulu, seperti yang terdapat pada tarikh pemansuhan, berbunyi seperti yang berikut:

"14. (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:

(a) tiap-tiap orang yang, sebaik sebelum Hari Merdeka, menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, sama ada melalui kuat kuasa undang-undang atau selainnya;

(b) tiap-tiap orang yang lahir di dalam Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka;

(c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara dan juga telah lahir di dalam Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan di bawah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan sesuatu Negeri;

(d) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara jika kelahiran itu ialah seorang warganegara jika kelahiran itu didaftarkan di Konsulat Tanah Melayu atau, dalam hal mana-mana orang yang lahir di dalam mana-mana wilayah ditetapkan, dengan Kerajaan Persekutuan, dalam tempoh satu tahun berlakunya kejadian itu, atau dalam suatu tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mana-mana hal tertentu.


Bagi maksud perenggan (d) Fasal ini "wilayah ditetapkan" ertinya Singapura, Sarawak, Brunei atau Borneo Utara, atau mana-mana wilayah lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud itu.

(2) Seseorang bukanlah seorang warganegara menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1) jika, pada masa dia lahir--

(a) bapanya, yang bukan seorang warganegara Persekutuan, mempunyai apa-apa kekebalan daripada guaman dan proses undang-undang sebagaimana yang diberikan kepada utusan sesuatu kuasa berdaulat yang diwatikahkan kepada Yang di-Pertuan Agong; atau

(b) dalam hal kelahiran yang berlaku di suatu tempat di bawah pendudukan musuh, bapanya ialah seorang orang asing musuh; atau

(c) kedua-dua ibu bapanya bukan warganegara Persekutuan dan kedua-duanya bukan pemastautin tetap di dalam Persekutuan:

Dengan syarat bahawa perenggan (c) Fasal ini tidak terpakai--

(i) bagi mana-mana orang yang lahir di dalam Persekutuan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1962;

(ii) bagi mana-mana orang jika, akibat daripada pemakaian perenggan itu, dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.

(3) Bagi maksud Perkara ini, seseorang yang lahir di dalam sesuatu kapal atau pesawat udara berdaftar hendaklah disifatkan telah lahir di tempat di mana kapal atau pesawat udara itu telah didaftarkan, dan seseorang yang lahir di dalam sesuatu kapal atau pesawat udara tidak berdaftar kepunyaan Kerajaan mana-mana negara hendaklah disifatkan telah lahir di negara itu.

(4) Bagi maksud perenggan (c) Fasal (2), seseorang hendaklah dikira telah bermastautin secara tetap pada bila-bila masa di Persekutuan jika, tetapi hanya jika, dia ketika itu bermastautin di Persekutuan dan sama ada--

(a) dia ketika itu mendapat kebenaran, yang diberikan tanpa had masa di bawah mana-mana undang-undang persekutuan, untuk bermastautin di Persekutuan; atau

(b) diperakui oleh Kerajaan Persekutuan bahawa dia akan dikira bagi maksud perenggan (c) tersebut sebagai seorang pemastautin tetap di Persekutuan.

(5) Suatu perakuan Kerajaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang itu disingkirkan atau telah disingkirkan daripada pemakaian perenggan (e) Fasal (2) oleh perenggan (ii) dalam proviso kepada Fasal itu hendaklah menjadi keterangan muktamad akan perkara yang diperakukan itu."

                                                                                                                


Perkara 15. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara).

(1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud dan suaminya itu seorang warganegara pada permulaan bulan Oktober 1962, atau jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap; dan

(b) bahawa dia berkelakuan baik.


(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya adalah sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara.

(3) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia dilahirkan sebelum permulaan bulan Oktober 1962 dan bapanya adalah sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara dan juga seorang warganegara pada permulaan bulan itu (jika hidup pada masa itu), dan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.

(4) Bagi maksud Fasal (1), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.

(5) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan, termasuklah mana-mana undang-undang sedemikian yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai jika perempuan itu memohon supaya didaftarkan sebagai warganegara sebelum permulaan bulan September 1965, atau apa-apa tarikh kemudiannya sebagaimana yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, dan jika pada tarikh permohonan itu dia biasanya bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak.

(6) (Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per. 15:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 25, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memindanya--

(a) dengan memansuhkan Fasal (6) yang berbunyi seperti yang berikut:

"(6) Dalam Fasal (1) perkataan "di luar Singapura" tidaklah mempunyai kuat kuasa dalam hal seseorang perempuan yang suaminya ialah seorang warganegara melalui penaturalisasian di bawah Fasal (2) Perkara 19."


(b) dengan memotong sebutan mengenai Singapura dan warganegara Singapura dalam Fasal (1) hingga (5).


Fasal (1): Lihat Per. 24(4), 26(2). 28(1)(b), 28A(3).

Fasal (3): Lihat Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 18.

2. Perkara asal seperti yang terdapat pada Hari Merdeka berbunyi seperti yang berikut:

"15. (1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada pihak berkuasa pendaftaran oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai seorang warganegara.

(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada pihak berkuasa pendaftaran oleh ibu atau bapa ataupun penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang bapanya ialah seorang warganegara atau, jika telah mati, ialah seorang warganegara pada masa kematiannya maka orang itu berhak didaftarkan sebagai seorang warganegara jika pihak berkuasa itu berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.

(3) Sebutan dalam Perkara ini mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan termasuk mana-mana undang-undang sedemikian itu yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka.

Fasal (1) dan (2) dipinda oleh Akta 10/1960, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-12-1960, dengan menggantikan "pihak berkuasa pendaftaran" dan "pihak berkuasa itu" masing-masing dengan "Kerajaan Persekutuan". Kedua-dua Fasal ini sebagaimana yang digantikan oleh Akta 14/1962, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-10-1962, berbunyi seperti yang berikut:

"15. (1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai seorang warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan terus-menerus selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu;

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan; dan

(c) bahawa dia berkelakuan baik.

(2) Tertakluk kepada Perkara 18, Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan supaya mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, yang ialah anak mana-mana warganegara, didaftarkan sebagai warganegara, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa ataupun penjaganya."

Per. 15(4) & (5):

Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3) hingga (6): Lihat catatan di atas. 

                                                                                                                        

Perkara 15A. Kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak.

Tertakluk kepada Perkara 18, Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara.



___________________________________________________
CATATAN

Per. 15A:

Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 4, berkuat kuasa dari 1-10-1962.

                                                                                                        


Perkara 16. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada hari Malaysia).

Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa tujuh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lima tahun;

(b) bahawa dia berniat hendak berbuat demikian secara tetap;

(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 16:

1. Akta 10/1960, perenggan 2(a) dan (b), berkuat kuasa dari 1-12-1960, menggantikan perkataan "pihak berkuasa pendaftaran" dan "pihak berkuasa itu" dengan "Kerajaan Persekutuan".

2. Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963, memotong perkataan "kecuali jika permohonan dibuat dalam masa satu tahun selepas Hari Merdeka," yang terdapat di permulaan perenggan (d).

3. Akta 26/1963, subseksyen 29(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963--

(a) memasukkan perkataan "di luar Singapura" selepas "Persekutuan" dalam perenggan (a). Perkataan ini dimansuhkan kemudiannya oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

(b) menggantikan perkataan "hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan" dalam perenggan (b) dengan "hendak berbuat demikian secara tetap". 

                                                                                                                 


Perkara 17. (Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Persekutuan pada hari Merdeka)-Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).



____________________________________________
CATATAN

Per. 17:

1. Perkataan "pihak berkuasa pendaftaran" digantikan dengan "Kerajaan Persekutuan" oleh Akta 10/1960, perenggan 2(a), berkuat kuasa dari 1-12-1960.

2. Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta 14/1962, seksyen 5, berkuat kuasa dari 1-7-1963, pemansuhan itu hendaklah tanpa menyentuh kuat kuasa Perkara itu mengenai mana-mana permohonan untuk pendaftaran di bawahnya yang dibuat sebelum permulaan kuat kuasa seksyen 5 tersebut:

"17. Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih yang bermastautin di Persekutuan pada Hari Merdeka maka orang itu layak tertakluk kepada peruntukan Jadual Kedua didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lapan tahun;

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan;

(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(d) kecuali jika permohonan dibuat dalam masa satu tahun selepas Hari Merdeka dan pemohon itu telah mencapai umur empat puluh lima tahun pada tarikh permohonan bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu."

3. Sebutan mengenai Perkara termansuh ini terdapat dalam Per. 25(1), (1A), (2), 28(1)(a), 28A(4), 43(7) dan dalam Jadual Kelapan seksyen 2(3), 20(3).

                                                                                             


Perkara 18. Peruntukan am tentang pendaftaran.

(1) Tiada seorang pun yang berumur lapan belas tahun atau lebih boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

(2) Kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan, tiada seorang pun yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini atau yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraan persekutuan atau kewarganegaraan bagi Persekutuan sebelum Hari Merdeka di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini.

(3) Seseorang yang didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini menjadi warganegara melalui pendaftaran mulai dari hari dia didaftarkan sedemikian.

(4) (Dimansuhkan).



__________________________________________________
CATATAN:

Per. 18:

1. Perkataan "Perlembagaan ini" yang terdapat dalam Fasal (1), di hujung Fasal (2) dan dalam Fasal (3) dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 29(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan menggantikan sebutan mengenai Perkara 15 dan 16. Akta itu juga memasukkan perkataan "atau Perlembagaan Negeri Singapura" selepas perkataan "dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini" dalam Fasal (2) tetapi perkataan ini dipotong oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

2. Fasal (4) yang berbunyi, seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

"(4) Bagi maksud mana-mana permohonan untuk pendaftaran di bawah mana-mana Perkara tersebut, seseorang hendaklah disifatkan sebagai berkelakuan baik melainkan jika dalam tempoh tiga tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu--

(a) dia telah disabitkan oleh suatu mahkamah berwibawa di mana-mana negara atas suatu kesalahan jenayah yang kerananya dia telah dihukum mati; atau

(b) dia telah ditahan kerana dihukum penjara selama dua belas bulan atau lebih yang dikenakan ke atasnya apabila dia disabitkan atas kesalahan jenayah (sama ada dalam masa atau sebelum tempoh tersebut) oleh mahkamah yang sedemikian itu,

dan dalam kedua-dua hal itu dia belum mendapat pengampunan bebas berkenaan dengan kesalahan itu."

3. Lihat Per. 15(1), (2), (3), 15A, 16, 16A.

                                                                                        


Perkara 19. Kewarganegaraan melalui penaturalisasian.

(1) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--

(a) bahawa--

(i) dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;

(ii) (dimansuhkan);

(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.

(2) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--


(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;

(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.

(3) Tempoh pemastautinan di Persekutuan atau bahagiannya yang berkaitan yang dikehendaki bagi pemberian suatu perakuan naturalisasi ialah tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan bagi perakuan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu.

(4) Bagi maksud Fasal (1) dan (2), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan; dan bagi maksud Fasal (2), kemastautinan di SIngapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.

(5) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi warganegara melalui penaturalisasian mulai dari tarikh perakuan itu diberikan.

(6) (Dimansuhkan).

(7) (Dimansuhkan).

(8) (Dimansuhkan).

(9) Tiada perakuan naturalisasi boleh diberikan kepada mana-mana orang sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

____________________________________________
CATATAN

Per. 19:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 27, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, membuat pindaan yang berikut kepadanya:

(a) Fasal (1):

(i) perkataan "Fasal (7) dan (9)" di baris satu digantikan dengan Fasal (9)".

(ii) perkataan "di luar Singapura" yang terdapat dalam subperenggan (a)(i) selepas "Persekutuan" dipotong;

(iii) subperenggan (a)(ii) yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan:

"(ii) dia telah bermastautin di Singapura selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;";

(b) Fasal (4): perkataan "di luar Singapura" yang terdapat selepas "Persekutuan" di baris empat dipotong dan perkataan "sebelum Hari Malaysia di Singapura" digantikan dengan "di Singapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia".

Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354,seksyen 43, berkuat kuasa dari 27-8-1976;

(c) Fasal 6 hingga (8) yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan:

"(6) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi seorang warganegara Singapura jika tetapi hanya jika perakuan itu diberikan menurut kuasa perenggan (a)(ii) Fasal (1).

(7) Sesuatu perakuan naturalisasi sebagai seorang warganegara Singapura tidak boleh diberikan tanpa persetujuan Kerajaan Singapura.

(8) Mana-mana permohonan untuk penaturalisasian sebagai warganegara Singapura yang telah dibuat tetapi belum dibereskan sebelum Hari Malaysia hendaklah mulai dari hari itu dikira seolah-olah permohonan itu suatu permohonan yang telah dibuat dengan wajar untuk penaturalisasian di bawah Perkara ini, dan seolah-olah apa-apa jua yang dilakukan berkaitan dengannya sebelum hari itu di bawah atau bagi maksud undang-undang Singapura telah dilakukan sewajarnya di bawah atau bagi maksud Perkara ini.".

2. Perkara yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

"19. Tertakluk kepada Perkara 21, apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa dua belas tahun sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun;

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan jika diberi perakuan itu;

(c) bahawa dia berkelakuan baik;

(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu; dan

(e) bahawa dia telah bermastautin terus-menerus di Persekutuan bagi tempoh yang tidak kurang daripada satu tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu.".

                                                                                            


Perkara 19A. (Pemindahan kewarganegaraan ke Singapura atau dari Singapura -- Dimansuhkan)

(Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per. 19A:

1. Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 28, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:

"19A. (1) Apabila permohonan dibuat oleh mana-mana warganegara Singapura yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih, Kerajaan Persekutuan boleh mendaftarkannya sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura, jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa, kalaulah permohonannnya adalah untuk diberi suatu perakuan naturalisasi di bawah Perkara 19 sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura, syarat-syarat perenggan (a)(i), (b) dan (c) Fasal (1) Perkara itu bagi pemberian perakuan itu tetap akan ditunaikan.

(2) Berhubung dengan warganegara Singapura, Perkara 15 dan 15A hendaklah terpakai bagi memberikan hak kepada mereka atau membenarkan mereka didaftarkan sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura dengan cara yang sama sebagaimana Perkara-Perkara itu terpakai berhubung dengan orang yang bukan warganegara bagi memberikan hak kepada mereka atau membenarkan mereka didaftarkan sebagai warganegara, kecuali bahawa sebutan mengenai Perkara 18 dan juga Fasal (6) Perkara 15 tidaklah terpakai.

(3) Seseorang warganegara yang didaftarkan sebagai menjadi atau tidak menjadi warganegara Singapura menurut kuasa Perkara ini atau menurut kuasa mana-mana peruntukan yang bersamaan dalam Perlembagaan Negeri Singapura hendaklah menjadi atau tidaklah menjadi warganegara Singapura dengan sewajarnya dari hari dia didaftarkan sedemikian.

(4) Jika seseorang yang bukan warganegara Singapura telah didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perkara ini, dan Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa pendaftaran itu--

(a) telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau

(b) telah dibuat dengan silap;

maka Kerajaan Persekutuan boleh membatalkan pendaftaran itu:

Dengan syarat bahawa Perkara 27 hendaklah terpakai berhubung dengan pembatalan itu sebagaimana Perkara itu terpakai berhubung dengan sesuatu perintah di bawah Perkara 24, 25 atau 26 yang melucutkan seseorang akan kewarganegaraannya.

(5) Jika pendaftaran seseorang yang bukan warganegara Singapura sebagai warganegara telah dibatalkan di bawah perenggan (a) Fasal (4), dan disebabkan oleh pendaftaran itu anak orang itu telah juga didaftarkan sebagai warganegara yang sedemikian menurut Fasal (2) Perkara 15 sebagaimana yang terpakai menurut Perkara ini, maka Kerajaan Persekutuan boleh juga membatalkan pendaftaran anak itu melainkan jika anak itu telah mencapai umur dua puluh satu tahun.

(6) Jika di bawah Perkara ini atau di bawah mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri Singapura pendaftaran seseorang sebagai warganegara di bawah mana-mana satu perihalan dibatalkan, hal itu tidaklah melepaskannya daripada liabiliti berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukan sebelum pembatalan itu, tetapi kecuali berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukan sedemikian dia hendaklah kembali kepada tarafnya yang dahulu sebagai seorang warganegara.".

2. Sebutan mengenai Perkara termansuh ini terdapat dalam Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(3).

                                                                                              


Perkara 20. (Naturalisasi bagi anggota-anggota angkatan Persekutuan -- Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

_____________________________________________
CATATAN

Per. 20:

1. (a) Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 14/1962, seksyen 7, berkuat kuasa dari 1-2-1964:

"20. (1) Tertakluk kepada Perkara 21, apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang mengikut Fasal (2), Kerajaan Persekutuan hendaklah memberikan suatu perakuan naturalisasi kepada orang itu jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--

(a) bahawa dia telah berkhidmat dengan memuaskan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dalam perkhidmatan sepenuh masa, atau selama tempoh tidak kurang daripada empat tahun dalam perkhidmatan sambilan, dalam mana-mana angkatan tentera Persekutuan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi maksud Perkara ini; dan

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Negeri-Negeri Tanah Melayu jika perakuan itu diberikan.

(2) Permohonan di bawah Perkara ini boleh dibuat sama ada semasa pemohon sedang berkhidmat dalam mana-mana perkhidmatan yang disebut terdahulu atau dalam tempoh lima tahun, atau sesuatu tempoh lanjutan sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam apa-apa hal tertentu, selepas pelepasannya.

(3) Sebutan dalam Perkara ini mengenai perkhidmatan dalam angkatan tentera Persekutuan termasuklah sebutan mengenai perkhidmatan sebelum Hari Merdeka; dan pada membuat hitungan bagi maksud Perkara ini akan tempoh perkhidmatan sepenuh masa seseorang dalam angkatan tentera itu yang telah berkhidmat sepenuh masa dan juga sambilan maka dua bulan perkhidmatan sambilan hendaklah dikira sebagai satu bulan perkhidmatan sepenuh masa.".

(b) Perkataan "Negeri-Negeri Tanah Melayu" yang terdapat di hujung Fasal (1)(b) dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 29(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Persekutuan".

2. Berkenaan dengan senarai angkatan tentera yang ditetapkan di bawah Perkara 20(1)(a) lihat L.N. 261/1958.

                                                                                                   


Perkara 21. (Peruntukan am tentang naturalisasi -- Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per. 21:

Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963, tetapi terus berkuat kuasa bagi maksud Perkara 20 yang dimansuhkan itu:

"21. (1) Perakuan naturalisasi tidaklah boleh diberikan kepada mana-mana orang sehingga dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

(2) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi seorang warganegara melalui penaturalisasian mulai dari tarikh perakuan itu diberikan.".

                                                                           



Perkara 22. Kewarganegaraan melalui penggabungan wilayah.

Jika mana-mana wilayah baru diterima masuk ke dalam Persekutuan selepas Hari Malaysia menurut Perkara 2, maka Parlimen boleh melalui undang-undang menentukan siapakah orang yang akan menjadi warganegara oleh sebab hubungan mereka dengan wilayah itu dan tarikh atau tarikh-tarikh mereka itu akan menjadi warganegara.

____________________________________________
CATATAN

Per. 22:

Dipinda oleh Akta 26/1963, seksyen 34, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dengan memasukkan perkataan "selepas Hari Merdeka" selepas "diterima masuk ke dalam Persekutuan".

                                                           


Bab 2 - Penamatan Kewarganegaraan




Perkara 23. Pelepasan kewarganegaraan.

(1) Mana-mana warganegara yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih dan yang sempurna akal yang juga ialah seorang warganegara negara lain atau yang hampir menjadi seorang warganegara negara lain boleh melepaskan kewarganegaraannya bagi Persekutuan melalui akuan yang didaftarkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan hendaklah sesudah itu terhenti menjadi warganegara.

(2) Akuan yang dibuat di bawah Perkara ini dalam masa apa-apa peperangan yang dalamnya Persekutuan terlibat tidaklah boleh didaftarkan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

(3) Perkara ini terpakai bagi seseorang perempuan yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang telah berkahwin sebagaimana Perkara ini terpakai bagi seseorang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih.

____________________________________________
CATATAN

Per. 23(1):

Akta 10/1960, perenggan 2(a), berkuat kuasa dari 1-12-1960, menggantikan perkataan "pihak berkuasa pendaftaran" dengan "Kerajaan Persekutuan" dan Akta 14/1962, seksyen 8, berkuat kuasa dari 31-8-1957, memasukkan "atau yang hampir menjadi seorang warganegara negara lain" selepas "yang juga ialah seorang warganegara negara lain".

Per. 23(2):

Akta 10/1960, perenggan 2(c), berkuat kuasa dari 1-12-1960, memotong ", tetapi kecuali sebagaimana yang disebut terdahulu pihak berkuasa pendaftaran hendaklah mendaftarkan apa-apa akuan yang dibuat dengan sewajarnya di bawahnya" yang terdapat di hujung Fasal.

                                                                                                                         

Perkara 24. Pelucutan kewarganegaraan kerana memperoleh atau menggunakan kewarganegaraan asing, dsb.

(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(2) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(3) (Dimansuhkan).

(3A) Tanpa menjejaskan keluasan Fasal (2), penggunaan hak undi dalam mana-mana pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan yang sukarela suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu; dan bagi maksud Fasal (2), seseorang yang, selepas tarikh yang ditetapkan* oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud Fasal ini--

(a) memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport dikeluarkan atau dibaharui; atau

(b) menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sebagai dokumen perjalanan,

hendaklah disifatkan dengan sukarela menuntut dan menggunakan suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu, iaitu suatu hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara tempat itu.

(4) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan oleh sebab perkahwinannya dengan seseorang yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan perempuan itu.

____________________________________________
CATATAN

Per. 24:

Akta 14/1962, seksyen 9, berkuat kuasa dari 1-10-1962, menggantikan perkataan "negara Komanwel" dengan "mana-mana bahagian Komanwel" dan perkataan "negara itu" dengan "bahagian Komanwel itu" dalam Fasal (3) dan menambahkan Fasal (3A), Akta 26/1963, subseksyen 33(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963, memotong perkataan "pada bila-bila masa selepas Hari Merdeka" yang terdapat selepas "mana-mana warganegara telah" dalam Fasal (1) dan (2).

Per. 24(2):

1. Perkataan "negara asing" digantikan dengan "mana-mana negara di luar Persekutuan" oleh Akta A354, seksyen 7, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Lihat Per. 27(1), 28A(2).

Fasal (1): Lihat Per. 26A, 28(3).

Fasal (2): Lihat Per. 28(3).

Fasal (4) Lihat Per. 28A(3).

Per. 24(3):

Perkataan "negara itu" digantikan dengan "bahagian Komanwel itu" oleh Akta 14/1962, seksyen 9, berkuat kuasa dari 1-10-1962. Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta A354, seksyen 7, berkuat kuasa dari 27-8-1976:

"Jika ada peruntukan yang berkuat kuasa di bawah undang-undang mana-mana bahagian Komanwel yang memberi warganegara di dalam bahagian Komanwel itu hak yang tidak terdapat bagi warganegara Komanwel lain, maka Fasal (2) hendaklah terpakai, berhubung dengan hak itu, ,seolah-olah bahagian Komanwel itu ialah suatu negara asing.".

Per. 24(3A):

Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 9, berkuat kuasa dari 1-10-1962, dan dipinda oleh Akta A354, seksyen 7, berkuat kuasa dari 27-8-1976 dengan memotong "dan Fasal itu sebagaimana yang terpakai menurut Fasal (3)," dan memotong "dan Fasal itu sebagaimana yang terpakai seperti yang disebut terdahulu" yang terdapat selepas perkataan "maksud Fasal (2),".

                                                                     


Perkara 25. Pelucutan kewarganegaraan melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau melalui penaturalisasian.

(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati--

(a) bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan;

(b) bahawa orang itu, dalam masa apa-apa peperangan yang dalamnya Persekutuan sedang atau telah terlibat, telah dengan menyalahi undang-undang berdagang dengan atau menghubungi musuh atau melibatkan diri atau menjadi sekutu dalam apa-apa perniagaan yang pada pengetahuannya telah dijalankan mengikut apa-apa cara sehingga dapat membantu musuh dalam peperangan itu; atau

(c) bahawa orang itu, dalam tempoh lima tahun mulai dari tarikh pendaftaran atau dari tarikh perakuan diberikan, telah dihukum dengan pemenjaraan di mana-mana negara selama tempoh tidak kurang daripada dua belas bulan atau denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit atau yang senilai dengannya dalam mata wang negara itu, dan telah tidak mendapat pengampunan bebas berkenaan dengan kesalahan yang kerananya dia telah dihukum sedemikian.

(1A) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu, tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan, telah menerima, berkhidmat dalam, atau melaksanakan tugas apa-apa jawatan, perjawatan atau pekerjaan di bawah Kerajaan mana-mana negara di luar Persekutuan atau mana-mana subbahagian politiknya, atau di bawah mana-mana agensi Kerajaan itu, dalam apa-apa hal jika suatu sumpah, ikrar atau akuan setia dikehendaki berkenaan dengan jawatan, perjawatan atau pekerjaan itu:

Dengan syarat bahawa seseorang tidaklah boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal ini oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum permulaan bulan Oktober 1962, berhubung dengan suatu negara asing, dan sebelum permulaan bulan Januari 1977, berhubung dengan suatu negara Komanwel, walaupun pada masa itu dia telah menjadi seorang warganegara.

(2) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di negara-negara di luar Persekutuan bagi tempoh terus-menerus selama lima tahun dan dalam tempoh itu orang itu--

(a) tidak pernah pada bila-bila masa berada dalam perkhidmatan Persekutuan atau dalam perkhidmatan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Kerajaan Persekutuan; dan juga

(b) tidak mendaftarkan tiap-tiap tahun di konsulat Persekutuan niatnya hendak mengekalkan kewarganegaraannya:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi apa-apa tempoh kemastautinan di mana-mana negara Komanwel sebelum permulaan bulan Januari 1977.

(3) (Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per. 25:

1. Lihat Per. 26B(2), 27(1), 28(2), 28A(2), (4), (5), (6).

Fasal (1): Akta 14/1962, Jadual, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-10-1962, memotong perkataan "Tertakluk kepada Fasal (3)" yang terdapat di permulaan. Akta 26/1963, perenggan 33(2)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Perkara 17" dengan "Perkara 16A atau 17".

Fasal (1)(c): Perkataan "dollar" digantikan dengan "ringgit" oleh Akta 160, seksyen 2, berkuat kuasa dari 29-8-1975.

Fasal (1A): 1. Ditambahkan oleh Akta 14/1962, subseksyen 10(2), berkuat kuasa dari 1-10-1962. Akta 26/1963, perenggan 33(2)(a) dan (b), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Perkara 17" dengan "Perkara 16A atau 17", memotong perkataan "selepas pendaftaran atau penaturalisasian atau permulaan kuat kuasa Fasal ini, mengikut mana-mana yang terkemudian," dan menambahkan proviso itu.

2. Dipinda oleh Akta A354, seksyen 8, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dengan menggantikan "negeri asing" dengan "negeri luar Persekutuan", dan dengan memasukkan selepas "Oktober, 1962," dalam proviso perkataan "berkaitan dengan suatu negeri asing, dan sebelum permulaan bulan Januari, 1977, berkaitan dengan suatu negeri Komanwel,".

Fasal (2): Akta 14/1962, Jadual, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-10-1962, memotong perkataan "Tertakluk kepada Fasal (3)" yang terdapat di permulaan dan menggantikan perkataan "tujuh tahun" dengan "lima tahun (sama ada bermula sebelum, pada atau selepas Hari Merdeka)" yang dimasukkan oleh Akta 14/1962, dan menggantikan perkataan "Konsulat Malaya" dengan "konsulat Persekutuan" di perenggan (b).

3. Perkataan "negeri-negeri asing" digantikan dengan "negeri-negeri di luar Persekutuan" dan suatu proviso baru kepada Fasal (2) ditambahkan oleh Akta A354, seksyen 8, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Perenggan (c): Lihat Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(1).

Lihat Per. 28(3).

Fasal (3): Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 14/1962, Jadual, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-10-1962:

"(3) Tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara ini melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tidak berfaedah kepada kebaikan awam untuk orang itu terus menjadi warganegara; dan tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Fasal (1) jika, akibat daripada pelucutan itu, dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara di luar Persekutuan.".

                                                                                           


Perkara 26. Peruntukan lain bagi melucutkan kewarganegaraan melalui pendaftaran atau penaturalisasian.

(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana warganegara yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa pendaftaran atau perakuan naturalisasi itu--

(a) telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau

(b) telah dibuat atau diberikan dengan silap.

(2) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang disebabkan olehnya perempuan itu didaftarkan telah dibubarkan, melainkan disebabkan oleh kematian, dalam tempoh dua tahun mulai dari tarikh perkahwinan itu.

(3) (Dimansuhkan).

(4) (Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per.26:

1. Akta 14/1962, Jadual, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-10-1962, memotong Fasal (3) dan meminda Fasal (1) dan (2) dengan memotong perkataan "Tertakluk kepada Fasal (3)" yang terdapat di permulaan Fasal itu, dan mengikut subseksyen 27(3) pula membuat peruntukan yang berikut:

"(3) Jika dalam masa satu bulan selepas permulaan kuat kuasa seksyen ini Menteri menjalankan kuasa pewakilan yang diberikan oleh seksyen 4 Jadual Kedua tersebut sebagaimana yang dipinda oleh seksyen ini, mana-mana perintah di bawah Perkara 26 Perlembagaan yang dibuat sebelum penjalanan kuasa itu (sama ada dibuat sebelum atau selepas lulusnya Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960) sama sahnya seolah-olah seksyen 4 tersebut telah berkuat kuasa pada masa perintah itu dibuat sebagaimana seksyen itu berkuat kuasa selepas permulaan kuat kuasa seksyen ini, dan seolah-olah penjalanan kuasa pewakilan tersebut telahpun berkuat kuasa pada masa itu.".

2. Akta 19/1964, seksyen 3, berkuat kuasa dari 30-7-1964, memansuhkan Fasal (4). Fasal (3) dan (4) yang dimansuhkan itu berbunyi seperti yang berikut:

"(3) Tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara ini melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tidak berfaedah kepada kebaikan awam untuk orang itu terus menjadi warganegara; dan tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah perenggan (b) Fasal (1) melainkan jika notis yang dikehendaki oleh Perkara 27 diberikan dalam masa dua belas bulan bermula dengan tarikh pendaftaran atau pemberian perakuan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini, pendaftaran seseorang sebagai warganegara atau pemberian perakuan naturalisasi kepada mana-mana orang tidaklah boleh dipersoalkan atas alasan kesilapan.".

3. Lihat Per. 26B(2), 27(1), 28A(2), Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(1), (3).

Fasal (1)(a): Lihat Per. 26A.

Fasal (1)(b): Lihat Per. 26B(2).

Fasal (2): Lihat Per. 28A(3).

Fasal (3) dan (4): Lihat catatan di atas.

                                                                      

Perkara 26A. Pelucutan kewarganegaraan anak orang yang hilang kewarganegaraannya.

Jika seseorang telah melepaskan kewarganegaraannya atau telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal (1) Perkara 24 atau perenggan (a) Fasal (1) Perkara 26, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana anak orang itu yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang telah didaftarkan sebagai warganegara menurut Perlembagaan ini dan telah didaftarkan sedemikian sebagai anak orang itu atau anak isteri atau anak suami orang itu.

________________________________________________
CATATAN

Per. 26A:

1. Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 11, berkuat kuasa dari 1-10-1962. Akta 26/1963, subseksyen 29(4), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Fasal (2) Perkara 15" dengan perkataan "Perlembagaan ini atau Perlembagaan Negeri Singapura, dan telah didaftarkan sedemikian sebagai anak orang itu atau anak isteri atau suami orang itu". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memotong perkataan dalam huruf condong.

2. Lihat Per. 26B(2), 28A(2).

                                                                               



Perkara 26B. Peruntukan am tentang kehilangan kewarganegaraan.

(1) Pelepasan atau pelucutan kewarganegaraan tidaklah melepaskan seseorang daripada liabiliti berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukan sebelum dia terhenti menjadi warganegara.

(2) TIada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25, 26 atau 26A melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tidak berfaedah bagi kebaikan awam untuk dia terus menjadi warganegara; dan tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25, perenggan (b) Fasal (1) Perkara 26, atau Perkara 26A jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa akibat daripada pelucutan itu dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.


_____________________________
CATATAN

Per. 26B:

Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 11, berkuat kuasa dari 1-10-1962.

Fasal (2): Lihat Per 28A(6).

                                                                  

Perkara 27. Tatacara bagi pelucutan.

(1) Sebelum membuat sesuatu perintah di bawah Perkara 24, 25 atau 26, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberikan notis secara bertulis kepada orang yang terhadapnya perintah itu dicadangkan hendak dibuat memberitahu orang itu tentang alasan perintah itu dicadangkan hendak dibuat dan tentang haknya untuk merujukkan kes itu kepada suatu jawatankuasa siasatan di bawah Perkara ini.

(2) Jika mana-mana orang yang kepadanya notis itu diberikan memohon supaya kes itu dirujukkan seperti yang disebut terdahulu, maka Kerajaan Persekutuan hendaklah, dan dalam apa-apa kes lain Kerajaan Persekutuan boleh, merujukkan kes itu kepada suatu jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada seorang pengerusi (iaitu seorang yang mempunyai pengalaman kehakiman) dan dua orang anggota lain yang dilantik oleh Kerajaan itu bagi maksud itu.

(3) Dalam hal mana-mana rujukan sedemikian, jawatankuasa itu hendaklah mengadakan suatu siasatan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan mengemukakan laporannya kepada Kerajaan itu; dan Kerajaan Persekutuan hendaklah mengambil kira laporan itu dalam memutuskan sama ada hendak membuat perintah itu atau tidak.


_________________________________
CATATAN

Per. 27:

Lihat Per. 28A(6), Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(1), 9.

                                                                                    


Perkara 28. Pemakaian Bab 2 bagi warganegara tertentu melalui kuat kuasa undang-undang.

(1) Bagi maksud peruntukan yang terdahulu dalam Bab ini--

(a) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara atau berikutan dengan pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, atau melalui pemberian perakuan kewarganegaraan, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran dan, jika dia tidak dilahirkan di dalam Persekutuan, sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 17;

(b) seseorang perempuan yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara, atau berikutan dengan pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian tersebut atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri yang membenarkan pendaftaran perempuan yang berkahwin dengan warganegara bagi Persekutuan atau dengan rakyat Raja hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15;

(c) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka telah dinaturalisasikan sebagai warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan di bawah Perjanjian tersebut atau yang menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan berikutan dengan penaturalisasiannya sebagai rakyat seseorang Raja di bawah mana-mana undang-undang Negeri hendaklah (tertakluk kepada Fasal (2)) dikira sebagai warganegara melalui penaturalisasian,

dan sebutan dalam peruntukan itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

(2) Tiada seorang pun yang dilahirkan di dalam Persekutuan boleh menurut kuasa Perkara ini dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25.

(3) Seseorang yang pada Hari Merdeka menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang oleh sebab telah menjadi warganegara bagi Persekutuan sebaik sebelum hari itu tidak boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Fasal (1) atau (2) Perkara 24 oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan pada atau sebelum hari itu; tetapi dalam hal mana-mana orang sedemikian Fasal (2) Perkara 25 hendaklah terpakai juga berhubung dengan tempoh kemastautinan di negara-negara asing yang bermula sebelum Hari Merdeka dan berhubung dengan sesuatu tempoh sedemikian yang bermula pada atau selepas hari itu.


_________________________________
CATATAN

Per. 28:

Lihat jadual Kedua Bahagian III, seksyen 10(2).

Lihat Enakmen Kerakyatan Negeri 1952 bagi Negeri masing-masing.

                                                                                      


Perkara 28A. Pelucutan kewarganegaraan orang yang menjadi warganegara pada Hari Malaysia.

(1) (Dimansuhkan).

(2) Bagi maksud Perkara 24, 25, 26 dan 26A seseorang yang pada Hari Malaysia menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang kerana sebaik sebelum hari itu dia mempunyai taraf warganegara United Kingdom dan Tanah-Tanah Jajahan hendaklah dikira--

(a) sebagai warganegara melalui pendaftaran jika dia memperoleh taraf itu melalui pendaftaran; dan

(b) sebagai warganegara melalui penaturalisasian jika dia memperoleh taraf itu melalui atau berikutan dengan penaturalisasian,

dan sebutan dalam Perkara itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

(3) Jika di bawah Perkara ini seseorang perempuan hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran, dan taraf yang berikutan dengannya dia hendaklah dikira sedemikian telah diperolehnya oleh sebab perkahwinan, maka bagi maksud Fasal (4) Perkara 24 dan Fasal (2) Perkara 26 dia hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15.

(4) Jika di bawah Perkara ini seseorang yang dilahirkan sebelum Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran oleh sebab hubungan dengan Negeri Sabah atau Sarawak dan dia tidak dilahirkan di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak, maka Perkara 25 hendaklah terpakai baginya seolah-olah dia ialah seorang warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17.

(5) Walaupun di bawah Perkara ini seseorang hendaklah dikira sebagai warganegara melalui penaturalisasian, dia tidaklah boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perkara 25 jika dia dilahirkan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak, dan dia hendaklah dikira sedemikian oleh sebab taraf yang diperoleh melalui atau berikutan dengan penaturalisasian di wilayah-wilayah itu.

(6) Tanpa menjejaskan Fasal-Fasal yang terdahulu, jika pada Hari Malaysia seseorang menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang oleh sebab apa-apa taraf yang dimilikinya sebaik sebelum hari itu, tetapi taraf itu boleh dilucutkan daripadanya di bawah undang-undang yang berhubungan dengan pelucutan itu berkenaan dengan perkara-perkara yang dilakukan sebelum hari itu, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraannya, jika prosiding bagi maksud itu dimulakan sebelum bulan September 1965; tetapi Fasal (2) Perkara 26B dan, tertakluk kepada Fasal (7), Perkara 27 hendaklah terpakai bagi perintah di bawah Fasal ini sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi perintah di bawah Perkara 25.

(7) Jika seseorang boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal (6) dan prosiding telah dimulakan sebelum Hari Malaysia untuk melucutkan taraf yang disebabkan olehnya dia memperoleh kewarganegaraannya, maka prosiding itu hendaklah dikira sebagai prosiding untuk melucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal itu, dan hendaklah diteruskan sebagai yang demikian; tetapi prosiding itu hendaklah diteruskan mengikut undang-undang yang berhubungan dengan taraf itu sebaik sebalum Hari Malaysia, dan fungsi Kerajaan Persekutuan berhubung dengannya hendaklah diwakilkan kepada mana-mana pihak berkuasa Negeri yang berkenaan sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.


________________________________________
CATATAN

Per. 28A(1), (4) & (5):

1. Fasal (1) yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:

 

"(1) Bagi maksud Perkara 24, 25, 26 dan 26A seseorang yang menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang kerana mempunyai taraf warganegara Singapura hendaklah dikira-

 

(a)

sebagai warganegara melalui pendaftaran jika dia memperoleh taraf itu melalui pendaftaran, atau jika dia memperolehnya melalui pendaftaran apabila dia pernah menjadi (atau bagi maksud itu dikira menjadi) warganegara Persekutuan melalui pendaftaran; dan

(b)

sebagai warganegara melalui penaturalisasian, jika dia memperoleh taraf itu melalui penaturalisasian, atau jika memperolehnya melalui pendaftaran apabila dia pernah menjadi (atau bagi maksud itu dikira menjadi) warganegara Persekutuan melalui penaturalisasian,

 

dan sebutan dalam Perkara itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.".

2. Fasal (4) dan (5) ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 30, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

3. Perkataan "atau dengan Singapura" yang terdapat selepas "Negeri Borneo" dan perkataan "atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, di dalam Negeri Singapura," yang terdapat selepas "Negeri-Negeri Borneo" dipotong oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

4. Perkataan "suatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" yang terdapat dalam Fasal (4) oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

5. Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" yang terdapat dalam Fasal (4) dan (5) oleh Akta A354, seksyen 43, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (6): Lihat Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(2).

Fasal (7): Lihat Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(2).

                                                                                             


Perkara 29. Kewarganegaraan Komanwel.

(1) Mengikut kedudukan Persekutuan di dalam Komanwel, tiap-tiap orang yang menjadi warganegara Persekutuan menikmati, oleh sebab kewarganegaraannya itu, taraf warganegara Komanwel bersama-sama dengan warganegara negara-negara Komanwel yang lain.

(2) Kecuali setakat yang diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, mana-mana undang-undang yang sedia ada hendaklah terpakai berhubung dengan warganegara Republik Ireland yang bukan juga warganegara Komanwel sebagaimana undang-undang itu terpakai berhubung dengan warganegara Komanwel.

                                                                                



Bab 3 - Tambahan




Perkara 30. Perakuan kewarganegaraan.

(1) Apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berkenaan dengan kewarganegaraannya terdapat keraguan, sama ada mengenai fakta atau mengenai undang-undang, Kerajaan Persekutuan boleh memperakui bahawa orang itu ialah seorang warganegara.

(2) Sesuatu perakuan yang dikeluarkan di bawah Fasal (1), melainkan jika dibuktikan bahawa perakuan itu telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material, hendaklah menjadi keterangan konklusif bahawa orang yang dimaksudkan olehnya ialah seorang warganegara pada tarikh perakuan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa keterangan bahawa dia ialah seorang warganegara pada tarikh yang lebih awal.

(3) Bagi maksud menentukan sama ada seseorang dilahirkan sebagai warganegara Persekutuan, apa-apa soal sama ada dia dilahirkan sebagai warganegara suatu negara lain hendaklah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan dan perakuan Kerajaan Persekutuan mengenai soal itu adalah konklusif (melainkan jika dibuktikan bahawa perakuan itu telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian sesuatu fakta material).

(4) (Dimansuhkan).


___________________________________
CATATAN

Per. 30:

1. Akta 10/1960, perenggan (2)(a), berkuat kuasa dari 1-12-1960, menggantikan perkataan "pihak berkuasa pendaftaran" dengan "Kerajaan Persekutuan" dalam Fasal (1). Akta 26/1963, subseksyen 24(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menambahkan Fasal (3) dan (4) dan meminda Fasal (2) dengan menggantikan perkataan "Perkara ini" dengan "Fasal (1)". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memotong perkataan "dan Fasal ini hendaklah terpakai bagi soalan-soalan yang berbangkit di bawah Perlembagaan Negeri Singapura dan juga bagi soalan-soalan yang berbangkit di bawah Perlembagaan ini" yang terdapat di hujung Fasal (3) dan memansuhkan Fasal (4) yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(4) Mana-mana perakuan yang dikeluarkan di bawah Fasal (1) boleh menyatakan bahawa orang yang dimaksudkan itu ialah atau bukanlah seorang warganegara Singapura, dan Fasal (2) hendaklah terpakai dengan sewajarnya; dan jika Perlembagaan Negeri Singapura membuat peruntukan bagi kerajaan Negeri mengeluarkan perakuan kewarganegaraan Singapura. Fasal (2) hendaklah terpakai berhubungan dengan perakuan yang dikeluarkan di bawah peruntukan itu sebagaimana Fasal itu terpakai bagi perakuan yang dikeluarkan di bawah Fasal (1).".

 

2. Lihat Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 16(2)(c).

Fasal (1): Lihat Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 10(1)(c).

                                                                                                            


Perkara 30A. (Hak mengundi, dsb., bagi warganegara Singapura dan warganegara lain -- Dimansuhkan)

(Dimansuhkan).


____________________________________
CATATAN

Per. 30A:

Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 31, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:

 

"30A. (1) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara 47, seseorang warganegara Singapura tidak layak untuk menjadi ahli dipilih mana-mana satu Majlis Parlimen kecuali sebagai ahli bagi atau dari Singapura; dan seseorang warganegara yang bukan warganegara Singapura tidak layak untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis bagi atau dari Singapura.

(2) Seseorang warganegara Singapura tidaklah layak menjadi ahli dipilih bagi Dewan Undangan mana-mana Negeri selain Singapura, dan seseorang warganegara yang bukan warganegara Singapura tidaklah layak menjadi ahli Dewan Undangan bagi Singapura.

(3) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara 119, seseorang warganegara tidak berhak untuk mengundi di dalam bahagian pilihan raya dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan jika-

 

(a)

bahagian pilihan raya itu tidak terletak di dalam Negeri Singapura dan dia seorang warganegara Singapura pada tarikh kelayakan (sebagaimana ditakrifkan dalam Perkara itu); atau

(b)

jika bahagian pilihan raya itu terletak di dalam Negeri Singapura dan dia bukan seorang warganegara Singapura pada tarikh itu.

 

(4) Mana-mana pemilihan seseorang ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan yang berlawanan dengan Fasal (1) atau (2) adalah tidak sah; dan jika seseorang ahli mana-mana Majlis atau Dewan Undangan (yang bukannya seorang ahli dilantik) menukarkan tarafnya sebagai atau bukan menjadi warganegara Singapura, kerusinya hendaklah menjadi kosong.".

                                                                                                    



Perkara 30B. (Perhubungan tentang kewarganegaraan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Singapura -- Dimansuhkan)

(Dimansuhkan).


_______________________________________
CATATAN

Per. 30B:

Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 32,berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:

 

"30B. (1) Jika di bawah Perlembagaan ini, seseorang menjadi warganegara Singapura melalui penaturalisasian, atau didaftarkan sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura, atau selaku warganegara Singapura melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraannya, atau jika perakuan kewarganegaraan atau perakuan lain dikeluarkan di bawah Perkara 30 berhubung dengan kewarganegaraan Singapura, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberitahu Kerajaan Singapura hakikat itu.

(2) Jika di bawah Perlembagaan Negeri Singapura, seseorang menjadi warganegara Singapura melalui pendaftaran atau didaftarkan sebagai warganegara Singapura, atau dilucutkan kewarganegaraannya, atau jika perakuan kewarganegaraan dikeluarkan di bawah Perlembagaan itu, Kerajaan Singapura hendaklah memberitahu Kerajaan Persekutuan hakikat itu.".

                                                                                                          

Perkara 31. Pemakaian Jadual Kedua.

Sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, peruntukan tambahan yang terkandung dalam Bahagian III Jadual Kedua hendaklah berkuat kuasa bagi maksud Bahagian ini.


___________________________________
CATATAN

Per. 31:

Dipinda oleh Akta 26/1963, perenggan 24(1)(b), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dengan memasukkan perkataan "Bahagian III" sebelum "Jadual Kedua"

                                                                        

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 1 - Ketua Utama Negara




Perkara 32. Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isterinya.

(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

(2) Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

(3) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja atau boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

(4) Peruntukan Bahagian I dan III Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong.


________________________________________
CATATAN

Per. 32(1):

Perkataan "kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV" dimasukkan selepas perkataan "mahkamah" oleh Akta A848, seksyen 2, berkuat kuasa dari 30-3-1993.



Per. 32(2):

Perkataan "dikenali sebagai" digantikan dengan "digelar" oleh Akta A354, seksyen 9 berkuat kuasa dari 27-8-1976.

                                                                                                    


Perkara 33. Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan.

(1) Maka hendaklah ada seorang Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan (digelar Timbalan Yang di-Pertuan Agong) yang hendaklah menjalankan fungsi dan mempunyai keistimewaan Yang di-Pertuan Agong selama apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong dan selama apa-apa tempoh semasa Yang di-Pertuan Agong tidak dapat menjalankan fungsi jawatannya kerana sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain, tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi itu semasa Yang di-Pertuan Agong tidak berdaya atau tidak ada di dalam Persekutuan selama tempoh yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu atau suai manfaat untuk menjalankan fungsi itu.

(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, atau jika dipilih dalam tempoh yang baginya Yang di-Pertuan Agong dipilih, bagi baki tempoh itu, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

(3) Jika dalam tempoh yang baginya Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu dipilih berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka tempoh jawatannya hendaklah tamat apabila kekosongan itu diisi.

(4) Peruntukan Bahagian II Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

(5) Parlimen boleh melalui undang-undang* membuat peruntukan supaya fungsi Yang di-Pertuan Agong dijalankan oleh seorang Raja dalam hal jika fungsi itu kena menurut Fasal (1) dijalankan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak dapat dijalankan sedemikian kerana jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kosong atau kerana Timbalan Yang di-Pertuan Agong sakit, tidak ada di dalam Persekutuan atau kerana apa-apa sebab lain; tetapi undang-undang sedemikian tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

____________________________________________
CATATAN:

* Lihat Akta Yang di-Pertuan Agong (Penjalanan Fungsi) 1957 [Akta 373].

Per. 33:

Fasal (1): Perkataan "dikenali sebagai" digantikan dengan "digelar", dan perkataan "tetapi Timbalan Kepala Utama Negara tidak boleh menjalankan tugas-tugas itu dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak ada dalam Persekutuan selama yang dijangka kurang daripada lima belas hari" digantikan dengan "tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi itu semasa Yang di-Pertuan Agong tidak berdaya atau tidak ada di dalam Persekutuan selama tempoh yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu atau suai manfaat untuk menjalankan fungsi itu" oleh Akta A354, seksyen 10, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (2): Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3): Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (5): Lihat: (a) Per. 37(4).

(b) Akta Yang di-Pertuan Agong (Penjalanan Fungsi) 1957 [Akta 373].

                                                                                                                           



Perkara 34. Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong, dsb.

(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali fungsinya sebagai Ketua agama Islam.

(2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya ada apa-apa saraan.

(3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersil.

(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana undang-undang Negeri.

(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali semasa lawatan Negara ke suatu negara lain.

(6) Fasal (2) dan (3) hendaklah juga terpakai bagi Raja Permaisuri Agong.

(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama tempoh melebihi lima belas hari, maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah terpakai baginya sepanjang tempoh itu sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan apa-apa kuasa yang terletak hak padanya sebagai Raja Negerinya sama ada berseorangan atau bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa lain--

(a) bagi meminda Perlembagaan Negeri itu; atau

(b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja sebagai ganti mana-mana Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya kerana apa-apa sebab untuk masing-masing melaksanakan tugas jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja.



____________________________
CATATAN

Per. 34(2):

Perkataan "jawatan berpendapatan" digantikan dengan "jawatan yang baginya ada apa-apa saraan" oleh Akta A354, seksyen 12, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 34(6):

Fasal (6) yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A354, seksyen 12, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(6) Raja Permaisuri Agong tidaklah boleh memegang apa-apa jawatan di bawah Persekutuan atau mana-mana Negeri.".



Per. 34(7):

Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh AKta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 34(8):

Fasal ini dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 3(2), berkuat kuasa dari 11-9-1960. Fasal ini menggantikan Fasal yang dahulu yang ditambahkan oleh Ordinan P.T.M. 42/1958, berkuat kuasa dari 5-12-1958, yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan sebagai Raja bagi Negerinya apa-apa kuasa yang terletak hak padanya sama ada berseorangan atau bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa yang lain-

 

(a) bagi meminda Perlembagaan Negeri itu bagi maksud-

 

(i)

memasukkan ke dalamnya semua atau mana-mana peruntukan perlu yang disebut dalam Fasal (4) Perkara 71, atau peruntukan yang sebahagian besar isinya mempunyai maksud yang sama;

(ii)

menghapuskan mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan perlu itu daripada Perlembagaan Negeri itu; atau

(iii)

mendapatkan keadaan peralihan yang memuaskan tentang perkiraan di sisi perlembagaan yang dijangkakan disebabkan oleh peruntukan perlu itu; atau

 

(b)

bagi melantik seorang Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja menggantikan mana-mana Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berdaya kerana apa-apa sebab untuk melaksanakan tugas-tugas jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja.".

                                                                                                            



Perkara 35. Peruntukan Diraja bagi Yang di-Pertuan Agong dan Isterinya dan saraan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

(1) Parlimen hendaklah melalui undang-undang* memperuntukkan suatu Peruntukan Diraja bagi Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah termasuk peruntukan untuk membayar anuiti kepada Raja Permaisuri Agong, dan Peruntukan Diraja itu hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan dan tidak boleh dikurangkan semasa Yang di-Pertuan Agong memegang jawatannya.

(2) Parlimen hendaklah melalui undang-undang** membuat peruntukan bagi saraan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama apa-apa tempoh semasa dia menjalankan fungsi itu, dan saraan yang diperuntukkan menurut Fasal ini hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.


_______________________________
CATATAN

Per. 35(1):

Perkataan "dan Peruntukan Diraja bagi Raja Permaisuri Agong dan Peruntukan-Peruntukan Diraja itu" digantikan dengan "yang hendaklah termasuk peruntukan untuk membayar anuiti kepada Raja Permaisuri Agong, dan Peruntukan Diraja itu" oleh Akta 14/1962, seksyen 12, berkuat kuasa dari 21-6-1962.



Per. 35(2):

1. Perkataan ", dan saraan yang diperuntukkan menurut Fasal ini hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan" di hujung Fasal ditambahkan oleh Akta 19/1964, subseksyen 4(1), berkuat kuasa dari 1-1-1965.

2. Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara" dan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

                                                                                                                     


Perkara 36. Mohor Besar.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah menyimpan dan menggunakan Mohor Besar Persekutuan.*

                                                                                              


Perkara 37. Sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-Raja.

(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya, selain fungsi yang boleh dijalankan bagi maksud memanggil Majlis Raja-Raja bermesyuarat, mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada).

(3) Sumpah-sumpah tersebut, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, adalah dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Keempat.

(4) Apa-apa undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (5) Perkara 33 hendaklah membuat peruntukan yang bersamaan dengan Fasal (2) (dengan ubah suaian yang perlu).


___________________________
CATATAN

Per. 37:

1. Perkataan "Hakim Besar bagi Persekutuan" dan "Mahkamah Agung" yang terdapat dalam Fasal (1) dan (2) digantikan dengan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" dan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

3. Perkataan "Agung" dan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" digantikan dengan "Persekutuan" dan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 3, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 37(2):

Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

                                                                                                                 


Bab 2 - Majlis Raja-Raja




Perkara 38. Majlis Raja-Raja.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang hendaklah ditubuhkan mengikut Jadual Kelima.

(2) Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan tugasnya bagi--

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga;

(b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.

(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(d) melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.

(e) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,

dan boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.

(3) Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka; dan penimbangtelitian itu adalah antara fungsi yang dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri, dan oleh Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri itu mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan mereka.

(4) Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

(5) Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.

(6) Anggota-anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya, atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong;

(b) memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan;

(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu Negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;

(d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;

(e) pelantikan anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau

(f) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.

(7) (Dimansuhkan).


___________________________________
CATATAN

Per. 38(2)(a):

Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan 'Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 38(2)(d) (e):

Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 3, berkuat kuasa dari 30-3-1993.



Per. 38(3):

Perkataan "Gabenor-Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 38(6):

Perkataan "Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 38(6)(e) (f):

Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 3, berkuat kuasa dari 30-3-1993.



Per. 38(7):

1. Fasal ini yang dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 7(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta A354, seksyen 13, berkuat kuasa dari 27-8-1976, berbunyi seperti yang berikut:

 

"(7) Fungsi Majlis Raja-Raja mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh tidaklah boleh diperluas ke Sabah dan Sarawak, dan dengan demikian Negeri-Negeri tersebut hendaklah dikira terkecuali daripada sebutan dalam Fasal (2) Perkara 3 dan dalam Perkara ini mengenai Persekutuan secara menyeluruh.".

 

2. Lihat Per. 159(5).

                                                                                                                                  


Bab 3 - Badan Eksekutif




Perkara 39. Kuasa eksekutif Persekutuan.

Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.


___________________________________
CATATAN

Per. 39:

Perkataan "dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh jemaah Menteri" yang terdapat selepas "Yang di-Pertuan Agong" dimasukkan oleh Akta 14/1962, seksyen 13, berkuat kuasa dari 31-8-1957.

                                                                                                                                                 


Perkara 40 - Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

(3) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain--


(a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;

(b) fungsi yang berkenaan dengan penjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.



_________________________________
CATATAN

Per. 40:

1. Lihat Per. 153(2).

2. Fasal (3): Lihat Per. 42(4)(a).

3. Fasal (1A) ditambahkan oleh Akta A885, seksyen 4, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                  


Perkara 41. Pemerintah tertinggi angkatan tentera.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.

                                                                                   


Perkara 42. Kuasa pengampunan, dsb.

(1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.

(2) Tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan dalam apa-apa hal lain, kuasa itu bolehlah dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri tempat kesalahan itu telah dilakukan.

(3) Jika sesuatu kesalahan telah dilakukan keseluruhannya atau sebahagiannya di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu Negeri atau dalam hal keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu telah dilakukan, maka bagi maksud Perkara ini kesalahan itu hendaklah dikira telah dilakukan di Negeri tempat kesalahan itu telah dibicarakan. Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah masing-masingnya dikira sebagai suatu Negeri.

(4) Kuasa yang disebut dalam Perkara ini--

(a) adalah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, antara fungsi yang peruntukan berkenaan dengannya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40;

(b) hendaklah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5).

(5) Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang hendaklah dilantik olrh Raja atau Yang di-Pertua Negeri; tetapi Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa melalui surat cara secara bertulis mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada mana-mana orang lain, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri boleh melantik mana-mana orang untuk menjalankan buat sementara fungsi mana-mana anggota Lembaga yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak dapat menjalankan fungsinya.

(6) Anggota-anggota Lembaga Pengampunan yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah dilantik bagi tempoh selama tiga tahun dan layak dilantik semula, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga.

(7) Seseorang ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri atau ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri untuk menjadi anggota Lembaga Pengampunan atau untuk menjalankan buat sementara fungsi anggota Lembaga.

(8) Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(9) Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.

(10) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara ini, kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan, atau untuk meremitkan, menggantung atau meringankan, hukuman yang dikenakan oleh mana-mana mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang mengawal selia hal ehwal agama Islam di Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di dalam Negeri itu.

(11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai "Raja atau Yang di-Pertua Negeri" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai "Ketua Menteri Negeri itu" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

(12) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa yang disebut dalam Perkara ini--

(a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang hendaklah dipengerusikan olehnya;

(b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Isterinya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan peruntukan yang berikut hendaklah terpakai:

(i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar mereka;

(ii) sebelum membuat keputusannya tentang apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara tentang perkara itu;

(c) dikehendaki dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau anak perempuannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang berkenaan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.

(13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja.


_________________________________
CATATAN

Per. 42(1), (2) & (10):

1. Perkataan "Wilayah Persekutuan" digantikan dengan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan" oleh Akta A585, perenggan 12(a), berkuat kuasa dari 16-4-1984.

2. Kemudiannya pula, perkataan "Kuala Lumpur dan Labuan" digantikan dengan "Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, perenggan 14(a), berkuat kuasa dari 1-2-2001.



Per. 42(1):

Perkataan "dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan" yang terdapat selepas "mahkamah tentera" dimasukkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 42(2):

1. Perkataan "atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan" yang terdapat selepas "mahkamah tentera" dimasukkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Perkataan "dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas," dimasukkan selepas 'Tertakluk kepada Fasal (10)," oleh Akta A514, seksyen 2, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Akta A514, subseksyen 2(2), berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2) Apa-apa remitan kerana kelakuan baik atau khidmat khas yang dibenarkan oleh undang-undang persekutuan dan yang diberi sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini hendaklah disifatkan sebagai telah diberi dengan sahnya.".

 

3. Lihat nota di bawah Per. 42(10).



Per. 42(3):

1. Perkataan "Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai suatu Negeri." dimasukkan di hujung Fasal oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.

2. Perkataan "Wilayah Persekutuan hendaklah disifatkan sebai suatu Negeri" digantikan dengan perkataan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan Labuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah masing-masingnya dikira sebagai suatu Negeri" oleh Akta A585, perenggan 12(b), berkuat kuasa dari 16-4-1984.

3. Kemudiannya pula, perkataan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan Labuan" digantikan dengan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya" oleh Akta A1095, perenggan 4(b), berkuat kuasa dari 1-2-2001.



Per. 42(4), (5), (6), (7) & (8):

Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 42(7):


Perkataan "oleh Raja atau Gabenor" dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.



Per. 42(10):

Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 4, berkuat kuasa dari 31-5-1960, yang juga meminda Fasal (2) dengan memasukkan perkataan "Tertakluk kepada Fasal (10)," di permulaan Fasal. Akta 26/1963, subseksyen 7(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "atau Pulau Pinang" dengan "Pulau Pinang atau Singapura". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memasukkan semula perkataan "atau Pulau Pinang" yang ada pada asalnya. Perkataan "atau Wilayah Persekutuan' dimasukkan selepas "Melaka atau Pulau Pinang" oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.



Per. 42(11):

1. Ditambahkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974, dipinda oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dengan menggantikan "Gabenor" dengan "Yang di-Pertua Negeri". Fasal ini sebagaimana yang digantikan oleh Akta A585, perenggan 12(c), berkuat kuasa dari 16-4-1984 berbunyi seperti yang berikut:

 

"(11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai "Raja atau Yang di-Pertua Negeri" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai "Ketua Menteri Negeri itu" hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.".

 

3. Kemudiannya pula, perkataan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan" di mana-mana jua terdapat digantikan dengan "Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, perenggan 14(c), berkuat kuasa dari 1-2-2001.



Per. 42(12) & (13):

Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 4, berkuat kuasa dari 30-3-1993.

                                                                                                                



Perkara 43. Jemaah Menteri.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen,

tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(3) Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

(4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(5) Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya.

(6) Sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

(7) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 tidak boleh dilantik menjadi Perdana Menteri.

(8) (Dimansuhkan).

(9) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota-anggota Jemaah Menteri.


_____________________________________
CATATAN

Per.43

Lihat Per.57(1A).

Fasal (5):

1.

Perkataan "melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri," dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 5, berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2.

Lihat Per. 43A(3).


Fasal (6) dan (8): Lihat Per. 43A(3).

Fasal (8) dimansuhkan oleh Akta A857, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-8-1993.

Fasal (9): Lihat Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

                                                                                                       


 Perkara 43A. Timbalan-Timbalan Menteri.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Perdana Menteri melantik Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidaklah boleh memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(2) Timbalan-Timbalan Menteri hendaklah membantu Menteri-Menteri pada menunaikan tugas-tugas dan fungsi-fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri.

(3) Peruntukan Fasal (5) dan (6) Perkara 43 hendaklah terpakai bagi Timbalan Menteri sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi Menteri.

(4) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Timbalan-Timbalan Menteri.


____________________________________
CATATAN

Per. 43A:

1. Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 6, berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2. Lihat Per. 57(1A).

3. Fasal (1), (2), (3) dan (4): Perkataan "Menteri-Menteri Muda" digantikan dengan "Timbalan-Timbalan Menteri" oleh Akta A31, seksyen 10, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

4. Fasal (2): Perkataan ", dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri" yang terdapat selepas perkataan "fungsi-fungsi mereka" dimasukkan oleh Akta A566, seksyen 3, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

5. Fasal (3): Perkataan "Fasal (5), (6) dan (8)" digantikan dengan perkataan "Fasal (5) dan (6)" oleh Akta A885, seksyen 5, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 43A(4):

Lihat Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

                                                                                                                            


Bab 3 - Badan Eksekutif




Perkara 43B. Setiausaha-Setiausaha Parlimen.

(1) Perdana Menteri boleh melantik Setiausaha-Setiausaha Parlimen daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidaklah boleh memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(2) Setiausaha-Setiausaha Parlimen hendaklah membantu Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri pada menunaikan tugas-tugas dan fungsi-fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri dan Timbalan Menteri.

(3) Seseorang Setiausaha Parlimen boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya, dan pelantikannya sebagai yang demikian boleh ditamatkan pada bila-bila masa oleh Perdana Menteri.

(4) Sebelum seseorang Setiausaha Parlimen menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Perdana Menteri sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

(5) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Setiausaha-Setiausaha Parlimen.



_____________________________________
CATATAN

Per. 43B:

1. Ditambahkan oleh Akta 19/1964, subseksyen 5(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 57(1A).

3. Fasal (2):

 

(a)

Perkataan "Menteri-Menteri Muda" digantikan dengan "Timbalan-Timbalan Menteri" oleh Akta A31, seksyen 10, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

(b)

Perkataan", dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri dan Timbalan Menteri" yang terdapat selepas perkataan "fungsi-fungsi mereka" dimasukkan oleh Akta A566, seksyen 4, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

 

4. Fasal (4): Lihat Per. 43C(3).

5. Fasal (5): Lihat Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

                                                                                                                              


Perkara 43C. Setiausaha-Setiausaha Politik.

(1) Perdana Menteri boleh melantik apa-apa bilangan orang yang difikirkannya patut untuk menjadi Setiausaha-Setiausaha Politik.

(2) Seseorang yang dilantik sebagai Setiausaha Politik menurut kuasa Perkara ini--

(a) tidak semestinya seorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;

(b) boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa;

(c) tertakluk kepada perenggan (b), hendaklah terus memegang jawatan sehingga masa pelantikannya ditamatkan oleh Perdana Menteri.

(3) Peruntukan Fasal (4) Perkara 43B hendaklah terpakai bagi Setiausaha-Setiausaha Politik sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi Setiausaha-Setiausaha Parlimen.

(4) Tugas-tugas dan fungsi-fungsi Setiausaha-Setiausaha Politik, dan saraan mereka, hendaklah ditentukan oleh Jemaah Menteri.


___________________________________
CATATAN

Per. 43C:

Ditambahkan oleh Akta 19/1964, subseksyen 5(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

                                                                                   


Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 44. Keanggotaan Parlimen.

Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

                                                                                                        


Perkara 45. Keanggotaan Dewan Negara.

(1) Tertakluk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah terdiri daripada ahli-ahli dipilih dan dilantik seperti yang berikut:

(a) dua orang ahli bagi setiap Negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh; dan

(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan

(b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah orang yang pada pendapatnya telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan orang asli.

(3) Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh itu tidaklah tersentuh dengan pembubaran Parlimen.

(3A) Seseorang ahli Dewan Negara tidak boleh memegang jawatan selama lebih daripada dua penggal sama ada terus-menerus atau selainnya:

Dengan syarat bahawa jika seseorang yang telahpun tamat dua tempoh jawatan atau lebih sebagai ahli Dewan Negara ialah sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Fasal ini seorang ahli Dewan Negara, maka dia boleh terus berkhidmat sebagai ahli sedemikian selama baki tempoh jawatannya.

(4) Parlimen boleh melalui undang-undang--

(a) menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri menjadi tiga;

(b) memperuntukkan bahawa ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri dipilih sedemikian melalui undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu;

(c) mengurangkan bilangan ahli dilantik atau menghapuskan ahli dilantik.



____________________________________
CATATAN

Per. 45(1)(aa):

Perenggan ini dimasukkan oleh Akta A442, seksyen 2, berkuat kuasa dari 31-12-1978, kemudiannya pula perenggan itu digantikan oleh Akta A585, seksyen 12, berkuat kuasa dari 16-4-1984 dan sekali lagi oleh Akta A1095, seksyen 15, berkuat kuasa dari 1-2-2001 untuk membolehkan seorang ahli Dewan Negara dilantik untuk mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya. Perenggan (aa) yang asal berbunyi seperti yang berikut:

 

"(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan".



Per. 45(1)(b):

Pada asalnya perenggan ini memperuntukkan bahawa 16 orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Akta 26/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 16-9-1963, memindanya kepada 22. Akta 19/1964, seksyen 6, berkuat kuasa dari 30-7-1964, selanjutnya memindanya kepada 32; dan seterusnya dipinda dengan menggantikan "tiga puluh dua" dengan "empat puluh" oleh Akta A442, seksyen 2, berkuat kuasa dari 31-12-1978.



Per. 45(3):

Dipinda oleh Akta A442, seksyen 2, berkuat kuasa dari 31-12-1978, dengan menggantikan "enam" dengan "tiga". Kemudiannya pula, Fasal ini dipinda oleh Akta A1130, seksyen 4, berkuat kuasa dari 28-9-2001, dengan menggantikan perkataan "Tertakluk kepada peruntukan Jadual Ketujuh, tempoh" dengan perkataan "Tempoh".



Per. 45(3A):

Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 3, berkuat kuasa dari 15-5-1981.



Per. 45(4):

Lihat Per.120. 

                                                                                             


Perkara 46. Keanggotaan Dewan Rakyat.

(1) Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada dua ratus sembilan belas orang ahli dipilih.

(2) Maka hendaklah ada--

(a) dua ratus enam orang ahli dari Negeri-negeri di Malaysia seperti yang berikut:

(i) dua puluh enam orang ahli dari Johor;

(ii) lima belas orang ahli dari Kedah;

(iii) empat belas orang ahli dari Kelantan;

(iv) enam orang ahli dari Melaka;

(v) lapan orang ahli dari Negeri Sembilan;

(vi) empat belas orang ahli dari Pahang;

(vii) tiga belas orang ahli dari Pulau Pinang;

(viii) dua puluh empat orang ahli dari Perak;

(ix) tiga orang ahli dari Perlis;

(x) dua puluh lima orang ahli dari Sabah;

(xi) dua puluh lapan orang ahli dari Sarawak;

(xii) dua puluh dua orang ahli dari Selangor; dan

(xiii) lapan orang ahli dari Terengganu; dan

(b) tiga belas orang ahli dari Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya seperti yang berikut:

(i) sebelas orang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur;

(ii) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Labuan;

(iii) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Putrajaya.



______________________________________________
CATATAN

Per. 46:

1. Perkara ini seperti yang terdapat pada Hari Merdeka berbunyi seperti yang berikut:

 

"46. (1) Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada seratus orang ahli dipilih kecuali bahawa Dewan Rakyat yang pertama hendaklah terdiri daripada seratus empat orang ahli.

(2) Selepas selesainya banci pertama yang dijalankan selepas Hari Merdeka Parlimen boleh melalui undang-undang mengubah bilangan ahli Dewan Rakyat.".

 

2. Perkara ini dipinda oleh Akta 14/1962, seksyen 14, berkuat kuasa dari 21-6-1962, dengan menggantikan "seratus orang ahli dipilih kecuali bahawa Dewan Rakyat yang pertama hendaklah terdiri daripada seratus empat orang ahli" dengan "seratus empat orang ahli dipilih" dalam Fasal (1), dan memansuhkan Fasal (2).

3. Perkara ini digantikan oleh Akta 26/1963, seksyen 9, berkuat kuasa dari 16-9-1963 yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"46. (1) Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada seratus lima puluh sembilan orang ahli dipilih.

(2) Maka hendaklah ada-

(a)

seratus empat orang ahli dari Negeri-Negeri Tanah Melayu;

(b)

enam belas orang ahli dari Sabah;

(c)

dua puluh empat orang ahli dari Sarawak;

(d)

lima belas orang ahli dari Singapura.".

 

4. Perkara ini dipinda oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, dengan menggantikan "lima puluh sembilan" dalam Fasal (1) dengan "empat puluh empat" dan memansuhkan perenggan (d) Fasal (2).

5. Perkara ini dipinda lagi oleh Akta A206, seksyen 12, berkuat kuasa dari 23-8-1973, dengan menggantikan seluruh Perkara itu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"46. (1) Dewan Rakyat hendaklah mengandungi seratus lima puluh empat orang ahli yang dipilih.

(2) Daripada bilangan itu-

 

(a) seratus empat puluh sembilan orang ahli ialah dari Negeri-Negeri dalam Malaysia seperti yang berikut:

(i)

enam belas orang ahli dari Johor;

(ii)

tiga belas orang ahli dari Kedah;

(iii)

dua belas orang ahli dari Kelantan;

(iv)

empat orang ahli dari Melaka;

(v)

enam orang ahli dari Negeri Sembilan:

(vi)

lapan orang ahli dari Pahang;

(vii)

sembilan orang ahli dari Pulau Pinang;

(viii)

dua puluh satu orang ahli dari Perak;

(ix)

dua orang ahli dari Perlis;

(x)

enam belas orang ahli dari Sabah;

(xi)

dua puluh empat orang ahli dari Sarawak;

(xii)

sebelas orang ahli dari Selangor;

(xiii)

tujuh orang ahli dari Terengganu; dan

 

(b) lima orang ahli dari Wilayah Persekutuan.".

 

6. Perkara yang ada sekarang digantikan oleh Akta A566, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-12-1983 dan dipinda oleh Akta A585, perenggan 14(b), berkuat kuasa dari 16-4-1984. Walau bagaimanapun, penggantian dan pemindaan itu tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat itu sehingga pembubaran Parlimen yang berlaku pada atau selepas 31-12-1984. (Lihat P.U. (A) 475 dan 476/1984).

7. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A631, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-2-1986, dengan menggantikan perkataan "tujuh puluh tujuh" dengan "lapan puluh".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A631, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-2-1986, dengan menggantikan perkataan "enam puluh sembilan" dalam perenggan (a) dengan "tujuh puluh dua" dan perkataan "dua puluh empat" dalam subperenggan (xi) perenggan perenggan (a) dengan "dua puluh tujuh".

8. Perkara ini, sebagaimana yang dipinda, tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat sehingga pembubaran Parlimen. Lihat Per. 57(1A).

9. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A837, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-11-1992, dengan menggantikan perkataan "lapan puluh" dengan perkataan "sembilan puluh dua".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A837, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-11-1992-

 

(i)

dengan menggantikan perkataan "tujuh puluh dua" dalam perenggan (a) dengan perkataan "lapan puluh satu";

(ii)

dengan menggantikan perkataan "lapan belas" dalam subperenggan (i) perenggan (a) dengan perkataan "dua puluh";

(iii)

dengan menggantikan perkataan "empat belas" dalam subperenggan (ii) perenggan (a) dengan perkataan "lima belas";

(iv)

dengan menggantikan perkataan "tiga belas" dalam subperenggan (iii) perenggan (a) dengan perkataan "empat belas";

(v)

dengan menggantikan perkataan "sepuluh" dalam subperenggan (vi) perenggan (a) dengan perkataan "sebelas";

(vi)

dengan menggantikan perkataan "dua" dalam subperenggan (ix) perenggan (a) dengan perkataan "tiga";

(vii)

dengan menggantikan perkataan "empat belas" dalam subperenggan (xii) perenggan (a) dengan perkataan "tujuh belas";

(viii)

dengan menggantikan perkataan "lapan" dalam perenggan (b) dengan perkataan "sebelas"; dan

(ix)

dengan menggantikan perkataan "tujuh" dalam subperenggan (i) perenggan (b) dengan perkataan "sepuluh".



Catatan:

Pindaan di atas tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat itu sehingga pembubaran Parlimen yang berlaku pada atau selepas tarikh permulaan kuat kuasa Perintah yang dibuat di bawah seksyen 12 Jadual Ketiga Belas- Lihat seksyen 4 Akta A837.

10. Perkara yang ada sekarang dipinda lagi oleh Akta A945, seksyen 2, berkuat kuasa dari 7-6-1996, untuk menambahkan keanggotaan Dewan Rakyat daripada seratus sembilan puluh dua kepada seratus sembilan puluh tiga, iaitu khususnya menambahkan keanggotaan ahli dari Negeri Sarawak daripada dua puluh tujuh kepada dua puluh lapan.



Catatan:

Walau bagaimanapun pindaan ini tidaklah menjejaskan keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat itu sehingga pembubaran Parlimen yang berlaku pada atau selepas tarikh permulaan kuat kuasa Perintah yang dibuat di bawah seksyen 12 Jadual Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan berikutan dengan kajian semula yang dijalankan menurut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Ketiga Belas tersebut.

11. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A1095, perenggan 16(a), berkuat kuasa dari 1-2-2001, dengan menggantikan perkataan "sembilan puluh tiga" dengan perkataan "sembilan puluh empat".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A1095, perenggan 16(b), berkuat kuasa dari 1-2-2001, untuk membolehkan seorang ahli Dewan Rakyat dipilih untuk mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya.

12. Fasal (1): Dipinda oleh Akta A1198, perenggan 2(a), berkuat kuasa dari 15-8-2003, dengan menggantikan perkataan "seratus sembilan puluh empat" dengan perkataan "dua ratus empat belas".

Fasal (2): Dipinda oleh Akta A1198, perenggan 2(b), berkuat kuasa dari 15-8-2003, menambahkan bilangan ahli Dewan Rakyat ekoran persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dari 8 Ogos 2002 hingga 7 September 2002. Tambahan adalah seperti berikut:

 

(a) enam orang ahli dari Johor;

(b) seorang ahli dari Melaka;

(c) seorang ahli dari Negeri Sembilan;

(d) tiga orang ahli dari Pahang;

(e) dua orang ahli dari Pulau Pinang;

(f) seorang ahli dari Perak;

(g) lima orang ahli dari Sabah;

(h) lima orang ahli dari Selangor; dan

(i) seorang ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

                                                                                      


Perkara 47. Kelayakan menjadi ahli Parlimen.

Tiap-tiap warganegara yang bermastautin di Persekutuan layak menjadi ahli--

(a) Dewan Negara, jika dia berumur tidak kurang daripada tiga puluh tahun;

(b) Dewan Rakyat, jika dia berumur tidak kurang daripada dua puluh satu tahun,

melainkan jika dia hilang kelayakan untuk menjadi ahli mengikut Perlembagaan ini atau mengikut mana-mana undang-undang yang dibuat menurut Perkara 48.

                                                                                     


Perkara 48. Kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika--

(a) dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal; atau

(b) dia seorang bankrap belum lepas; atau

(c) dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan; atau

(d) setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian; atau

(e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau

(f) dia telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan, atau telah dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan atau telah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negera di luar Persekutuan.

(2) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghilangkan kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen selama tempoh yang dinyatakan oleh undang-undang itu orang yang melakukan kesalahan berkaitan dengan pilihan raya; dan mana-mana orang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan sedemikian atau dibuktikan dalam prosiding yang berhubungan dengan sesuatu pilihan raya sebagai bersalah atas perbuatan yang menjadi kesalahan itu, adalah dengan demikian itu hilang kelayakan selama tempoh yang dinyatakan sedemikian.

(3) Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan (d) atau perenggan (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan, jika tidak dibatalkan sedemikian, hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun yang bermula dari tarikh penyata yang disebut dalam perenggan (d) tersebut dikehendaki diserahkan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, dari tarikh orang yang disabitkan sebagaimana yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dilepaskan daripada jagaan atau dari tarikh denda yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dikenakan ke atas orang itu dan seseorang tidaklah boleh dihilangkan kelayakannya di bawah perenggan (f) Fasal (1) semata-mata oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum dia menjadi warganegara.

(4) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam peruntukan yang terdahulu dalam Perkara ini, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan untuk terus menjadi ahli Majlis itu menurut perenggan (e) Fasal (1) atau di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2)--

(a) kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh dia--

(i) disabitkan dan dihukum sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (e) yang disebut terdahulu; atau

(ii) disabitkan atas suatu kesalahan atau dibuktikan bersalah atas suatu perbuatan di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2); atau

(b) jika dalam tempoh empat belas hari yang dinyatakan dalam perenggan (a) suatu rayuan atau apa-apa prosiding mahkamah yang lain dibawa berkenaan dengan sabitan atau hukuman itu, atau berkenaan dengan pensabitan atau pembuktian bersalah sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh rayuan itu atau prosiding mahkamah yang lain itu dibereskan oleh mahkamah; atau

(c) jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau tempoh selepas pemberesan rayuan atau prosiding mahkamah yang lain yang dinyatakan dalam perenggan (b) ada difailkan suatu petisyen bagi pengampunan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan.

(5) Fasal (4) tidaklah terpakai bagi maksud penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen, yang bagi maksudnya kehilangan kelayakan itu hendaklah berkuat kuasa sebaik sahaja berlakunya kejadian yang disebut dalam perenggan (e) Fasal (1) atau dalam Fasal (2), mengikut mana-mana yang berkenaan.

(6) Seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.


_________________________________________
CATATAN

Per. 48:

1. Lihat Per. 47.

2. Fasal (1): (a) Akta 10/1960, seksyen 7, berkuat kuasa dari 31-5-1960, memasukkan perkataan "atau ke Dewan Undangan sesuatu negeri" dalam perenggan (d) dan menggantikan perkataan "dua tahun" dalam perenggan (e) dengan "satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit". Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963, memasukkan perkataan "(atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam sesuatu Negeri Borneo atau di Singapura)" dalam perenggan (e).

(b) Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976, menggantikan perkataan "sesuatu Negeri Borneo" dalam perenggan (e) dengan "Negeri Sabah atau Sarawak".

(c) Akta A354, seksyen 15, berkuat kuasa dari 27-8-1976, menggantikan perkataan "satu negara asing" dalam perenggan (f) dengan "mana-mana negara di luar Persekutuan".

3. Fasal (2): Lihat Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

4. Fasal (3): Perkataan "atau dari tarikh denda yang disebut dalam perenggan (e) tersebut dikenakan ke atas orang itu" dimasukkan oleh Akta 10/1960, perenggan 7(c), berkuat kuasa dari 31-5-1960.

5. Fasal (4) dan (5): Ditambahkan oleh Akta A566, seksyen 6, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

6. Fasal 6: Ditambahkan oleh Akta A767, seksyen 2, berkuat kuasa dari 11-5-1990.

                                                                           


Perkara 49. Peruntukan menghalang dua keahlian.

Seseorang tidak boleh pada masa yang sama menjadi ahli kedua-dua Majlis Parlimen, dan juga tidak boleh dipilih ke Dewan Rakyat untuk mewakili lebih daripada satu bahagian pilihan raya atau ke Dewan Negara untuk mewakili lebih daripada satu Negeri, dan juga tidak boleh menjadi ahli dipilih dan dilantik kedua-duanya sekali bagi Dewan Negara.


____________________________
CATATAN

Per. 49:

Lihat Per. 50(2).

                                                                                                  


Perkara 50. Akibat kehilangan kelayakan, dan larangan mengenai penamaan atau pelantikan tanpa persetujuan.

(1) Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan untuk menjadi ahli Majlis itu maka kerusinya hendaklah menjadi kosong.

(2) Jika seseorang yang hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat dipilih ke Dewan Rakyat atau jika seseorang yang hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Negara dipilih atau dilantik ke Dewan Negara atau jika pemilihan atau pelantikan mana-mana satu Majlis Parlimen adalah berlawanan dengan Perkara 49, maka pemilihan atau pelantikan itu adalah terbatal.

(3) (Dimansuhkan).

(4) Seseorang tidak boleh dinamakan dengan sah untuk dipilih sebagai ahli ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau dilantik dengan sah ke Dewan Negara tanpa persetujuannya.


________________________________
CATATAN

Per. 50:

1. Lihat Per. 57(1A).

2. Fasal (3): Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta 25/1963, subseksyen 3(1), berkuat kuasa dari 29-8-1963:

 

"(3) Jika pemilihan mana-mana orang akan atau mungkin menjadi tidak sah di bawah Fasal (2) penamaannya bagi pemilihan itu adalah tidak sah.".

                                                                                 



Perkara 51. Pelepasan keahlian oleh ahli-ahli.

Seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen boleh melepaskan keahliannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan, jika dia seorang ahli Dewan Negara, kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, atau jika dia seorang ahli Dewan Rakyat, kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.


__________________________________
CATATAN

Per. 51:

Lihat Per. 57(1A).

                                                                                    


Perkara 52. Ketidakhadiran ahli.

(1) Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, maka Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.

(2) Seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen yang telah diberi kebenaran bercuti daripada menghadiri sidang Majlis Parlimen yang dia menjadi ahlinya tidaklah boleh, selama tempoh kebenaran bercuti itu, dengan apa-apa cara menyertai hal ehwal dan urusan Majlis Parlimen itu.


________________________________
CATATAN

Per. 52:

Lihat Per. 57(1A).



Per. 52(2):

Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 4, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

                                                                                                  


Perkara 53. Keputusan tentang kehilangan kelayakan.

(1) Jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli suatu Majlis Parlimen telah hilang kelayakan untuk menjadi ahli, maka Majlis itu hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad:

Dengan syarat bahawa Perkara ini tidak boleh dikira sebagai menghalang amalan Majlis Parlimen menangguhkan sesuatu keputusan bagi membolehkan diambil atau ditentukan apa-apa prosiding yang mungkin menyentuh keputusannya (termasuklah prosiding bagi membatalkan kehilangan kelayakan itu).

(2) Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan di bawah perenggan (e) Fasal (1) Perkara 48 atau di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2) Perkara 48, maka Fasal (1) tidaklah terpakai dan dia hendaklah terhenti menjadi ahli Majlis Parlimen itu, dan kerusinya hendaklah menjadi kosong, sebaik sahaja kehilangan kelayakannya berkuat kuasa mengikut Fasal (4) Perkara 48.


_______________________________
CATATAN

Per. 53:

1. Proviso ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 11(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Fasal (1): Dinomborkan semula oleh Akta A566, seksyen 7, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

3. Fasal (2): Dimasukkan oleh Akta A566, seksyen 7, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

                                                                                                    


Perkara 54. Kekosongan di dalam Dewan Negara dan kekosongan luar jangka.

(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa ada kekosongan atau oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya:

Dengan syarat bahawa kegagalan membuat apa-apa pelantikan sedemikian dalam tempoh yang dinyatakan dalam Fasal ini tidaklah menidaksahkan apa-apa pelantikan yang dibuat di luar tempoh itu:

Dengan syarat selanjutnya bahawa, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar mengikut Fasal (3) Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.

(2) (Dimansuhkan).

(3) Jika sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara adalah berhubungan dengan suatu kekosongan yang hendaklah diisi oleh seorang ahli yang hendaklah dipilih oleh sesuatu Negeri mengikut Jadual Ketujuh, maka peruntukan Fasal (1) tidaklah terpakai bagi mengisi kekosongan itu.


_____________________________
CATATAN

Per. 54:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966. Perkara yang dahulu sebagaimana yang terdapat pada tarikh pemansuhan berbunyi seperti yang berikut:

 

"54. Kecuali jika terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli yang dipilih menjadi ahli Dewan Negara oleh sesuatu Negeri dan kekosongan itu hendaklah diisi mengikut peruntukan Jadual Ketujuh, apabila terdapat suatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau suatu kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat maka kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh dipastikan adanya kekosongan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya.".

 

2. Fasal (1): (a) Proviso selanjutnya dimasukkan oleh Akta A1, seksyen 2, berkuat kuasa dari 18-11-1968. Perkataan "Fasal (2) dan (3)" digantikan dengan perkataan"Fasal (3)" oleh Akta A585, perenggan 21(a), berkuat kuasa dari 14-4-1984.

(b) Dipinda oleh Akta A354, seksyen 16, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dengan memasukkan selepas "dipastikan" perkataan "oleh Suruhanjaya Pilihan Raya" dan oleh Akta A31, seksyen 3, berkuat kuasa dari 24-3-1971, dengan memotong dalam proviso yang pertama selepas perkataan "selepas tempoh itu" yang berikut:

 

"tetapi dalam apa jua hal yang sedemikian tempoh pelantikan seseorang ahli Dewan Negara yang dilantik sedemikian ialah enam tahun dari akhir tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan adanya kekosongan yang dia dilantik untuk mengisikan itu dan bukan enam tahun dari tarikh pelantikannya.".

 

(c) Perkataan "oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adanya kekosongan " digantikan dengan perkataan "oleh Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa ada kekosongan atau oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan," oleh Akta A857, perenggan 3(a), berkuat kuasa dari 20-8-1993.

(d) Proviso kedua yang berbunyi seperti yang berikut digantikan dengan proviso yang ada sekarang oleh Akta A857, perenggan 3(b), berkuat kuasa dari 20-8-1993:

 

"Dengan syarat selanjutnya, jika kekosongan luar jangka dalam Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa enam bulan dari tarikh Parlimen adalah terbubar mengikut Fasal (3) Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidaklah boleh diisi.".

 

3. Fasal (2): (a) Dipinda oleh Akta A354, seksyen 16, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dengan memasukkan perkataan "oleh Suruhanjaya Pilihan Raya" selepas perkataan "tarikh kekosongan itu disahkan berlaku".

(b) Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dipotong oleh Akta A585, perenggan 21(b), berkuat kuasa dari 14-4-1984:

 

"(2) Jika suatu kekosongan luar jangka dalam Dewan Rakyat adalah berkenaan dengan kekosongan yang akan diisi oleh seorang ahli dari Sabah atau Sarawak, maka kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam masa sembilan puluh hari dari tarikh kekosongan itu dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan sewajarnya.".

 

4. Lihat Per. 57(1A), 118A

                                                                                                      


Perkara 55. Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan).

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.


_________________________________
CATATAN

Per. 55(4):

Lihat Per. 118A.

1. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966, memasukkan perkataan "di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu dan sembilan puluh hari di dalam Negeri-Negeri Borneo" dan menggantikan perkataan "sembilan puluh" dengan perkataan "satu ratus dua puluh".

2. Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354, seksyen 43, dan Akta A514, seksyen 19, kedua-duanya berkuat kuasa dari 27-8-1976.

3. Perkataan "di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu dan sembilan puluh hari di dalam Negeri Sabah dan Sarawak" dipotong oleh Akta A585, perenggan 22(a), berkuat kuasa dari 14-4-1984.



Per. 55(5), (6) & (7):

1. Ditambahkan oleh Akta A585, perenggan 22(b), berkuat kuasa dari 14-4-1984.

2. Fasal (6) dimansuhkan oleh Akta A885, seksyen 6, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                            


Perkara 56. Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

(1) Dewan Negara hendaklah dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahlinya untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara dan seorang untuk menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, dan tidak boleh, tertakluk kepada Fasal (3), menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(2) Seseorang ahli yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua terhenti memegang jawatannya apabila habis tempoh yang baginya dia dipilih atau dilantik menjadi ahli atau apabila selainnya dia terhenti menjadi ahli Dewan Negara, atau apabila telah hilang kelayakannya di bawah Fasal (5), dan boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.

(3) Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, Timbalan Yang di-Pertua atau, jika Timbalan Yang di-Pertua juga tidak hadir atau jika jawatannya juga kosong, seorang ahli lain yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Negara, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.

(4) Jika ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri dipilih menjadi Yang di-Pertua, maka dia hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu sebelum menjalankan fungsi jawatannya.

(5) Seseorang ahli yang dipilih menjadi Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(6) Jika berbangkit apa-apa soal mengenai kehilangan kelayakan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua di bawah Fasal (5), maka Dewan Negara hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.


_____________________________________
CATATAN

Per. 56(1):

Perkataan ", tertakluk kepada Fasal (3)," dimasukkan selepas "tidaklah boleh" oleh Akta A514, seksyen 5, berkuat kuasa dari 15-5-1981.



Per. 56(4):

Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 8, berkuat kuasa dari 31-5-1960.



Per. 56(5) & (6):

1. Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 5, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

2. Perkataan "atau Timbalan Yang di-Pertua" dipotong oleh Akta A566, seksyen 8, berkuat kuasa dari 16-12-1983 tetapi dimasukkan semula oleh Akta A1130, seksyen 5, berkuat kuasa dari 28-9-2001.



Catatan:

Pindaan yang dibuat dalam Fasal (5) dan (6) Perkara 56 oleh Akta A566 terpakai hanya bagi seseorang yang dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertua pada atau selepas 16-12-1983.

                                                                                           


Perkara 57. Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(1) Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih--

(a) sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, seseorang sama ada yang menjadi ahli Dewan Rakyat atau yang layak dipilih menjadi ahli yang sedemikian; dan

(b) dua orang Timbalan Yang di-Pertua daripada kalangan ahli Dewan Rakyat,

dan Dewan Rakyat tidak boleh, tertakluk kepada Fasal (3), menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(1A) Mana-mana orang yang bukan ahli Dewan Rakyat yang dipilih sebagai Yang di-Pertua--

(a) hendaklah, sebelum menjalankan tugas jawatannya, mengangkat dan menandatangani di hadapan Dewan Rakyat sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam; dan

(b) hendaklah, oleh sebab dia memegang jawatannya itu, menjadi ahli Dewan Rakyat sebagai tambahan kepada ahli-ahli yang dipilih menurut Perkara 46:

Dengan syarat bahawa perenggan (b) tidaklah mempunyai kuat kuasa bagi maksud mana-mana peruntukan yang berikut dalam Perlembagaan ini, iaitu, Perkara 43, 43A, 43B, 50 hingga 52, 54 dan 59; dan tiada seorang pun berhak, menurut kuasa perenggan itu, mengundi atas apa-apa perkara di hadapan Dewan Rakyat.

(2) Yang di-Pertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya--

(3) Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, melainkan oleh sebab Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum, maka seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong, seorang ahli lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Rakyat, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.

(4) Jika ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri dipilih menjadi Yang di-Pertua, maka dia hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu sebelum menjalankan fungsi jawatannya.

(5) Seseorang yang dipilih menjadi Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersial, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(6) Jika berbangkit apa-apa soal mengenai kehilangan kelayakan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua di bawah Fasal (5), maka Dewan Rakyat hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.


___________________________________________
CATATAN

Per. 57:

1. Akta 19/1964, subseksyen 7(1), berkuat kuasa dari 30-7-1964, menggantikan Fasal (1) dan (2) dengan Fasal (1), (1A), (2) dan (2A). Fasal yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

 

"57. (1) Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahlinya menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) dan seorang menjadi Timbalan Yang di-Pertua, dan tidaklah boleh menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(2) Seseorang ahli yang memegang jawatan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hendaklah mengosongkan jawatannya apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya.".

 

2. Fasal (1)(b): Fasal yang ada sekarang digantikan oleh Akta A566, perenggan 9(1)(a), berkuat kuasa dari 16-12-1983. Fasal yang dahulu sebagaimana yang terdapat pada tarikh pemansuhan berbunyi seperti yang berikut:

 

"(b) sebagai Timbalan Yang di-Pertua, seorang ahli Dewan Rakyat itu;".

 

3. Fasal (1A)(b): Lihat Per. 62(3).



Per. 57(2):

Fasal (2)(bb): Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 4, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Fasal (2A): Perkataan "Timbalan Yang di-Pertua" digantikan dengan perkataan "Seseorang Timbalan Yang di-Pertua" oleh Akta A566, perenggan 9(1)(b), berkuat kuasa dari 16-12-1983.



Per. 57(3):

1. Fasal yang ada sekarang digantikan oleh Akta A514, seksyen 6, berkuat kuasa dari 15-5-1981, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(3) Dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam sesuatu persidangan Dewan Rakyat Timbalan Yang di-Pertua atau jika Timbalan Yang di-Pertua juga tidak hadir, mana-mana ahli yang lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah tatacara Dewan itu, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.".

 

2. Perkataan "Timbalan Yang di-Pertua atau jika Timbalan Yang di-Pertua juga tidak hadir atau jika jawatannya juga kosong" digantikan dengan perkataan "seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau, jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong," oleh Akta A566, perenggan 9(1)(c), berkuat kuasa dari 16-12-1983.



Per. 57(4):

Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 9, berkuat kuasa dari 31-5-1960.



Per. 57(5) & (6):

1. Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 6, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Fasal (2) dan (2A): Lihat catatan pada muka surat sebelum ini.

2. Perkataan "atau Timbalan Yang di-Pertua" dipotong oleh Akta A566, perenggan 9(1)(d), berkuat kuasa dari 16-12-1983 tetapi dimasukkan semula oleh Akta A1130, seksyen 6, berkuat kuasa dari 28-9-2001.

Nota Bahu: Perkataan "Timbalan Yang di-Pertua" digantikan dengan perkataan "Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua" oleh Akta A566, perenggan 9(1)(e), berkuat kuasa dari 16-12-1983.



Catatan:

Pindaan-pindaan yang dibuat dalam Fasal (5) dan (6) Perkara 57 oleh Akta A566 terpakai hanya bagi seseorang yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada atau selepas 16-12-1983.

                                                                                                     


Perkara 58. Saraan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua.

Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian bagi Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.


________________________________
CATATAN

Per. 58:

1. Lihat Akta Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

2. Perkataan "Timbalan Yang di-Pertua" yang terdapat dalam Perkara ini dan dalam nota bahu kepadanya digantikan dengan perkataan "Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua" oleh Akta A566, seksyen 10, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

                                                                                              


Perkara 59. Sumpah oleh ahli-ahli.

(1) Tiap-tiap ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hendaklah sebelum mengambil kerusinya mengangkat dan menandatangani di hadapan orang yang mempengerusikan Majlis Parlimen itu suatu sumpah mengikut bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, tetapi seseorang ahli boleh sebelum mengangkat sumpah itu mengambil bahagian dalam pemilihan Yang di-Pertuan Dewan Negara atau Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(2) Jika seseorang ahli tidak mengambil kerusinya dalam masa enam bulan dari tarikh Majlis Parlimen itu bersidang bagi pertama kalinya selepas pemilihannya atau dalam masa yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Majlis Parlimen itu, maka kerusinya hendaklah menjadi kosong.


_______________________________
CATATAN

Per. 59:

1. Lihat Per. 57(1A).

2. Fasal (2): Perkataan "tiga" digantikan dengan perkataan "enam" oleh Akta A566, seksyen 11, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

                                                                                     



Perkara 60. Titah oleh Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong boleh bertitah kepada mana-mana satu Majlis Parlimen atau kedua-dua Majlis Parlimen bersesama.

                                                                               


Perkara 61. Peruntukan khas tentang Jemaah Menteri dan Peguam Negara.

(1) Sebagai tambahan kepada haknya sebagai ahli salah satu Majlis Parlimen tiap-tiap anggota Jemaah Menteri berhak mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Parlimen yang satu lagi.

(2) Mana-mana satu Majlis Parlimen boleh melantik Peguam Negara atau mana-mana anggota Jemaah Menteri menjadi anggota mana-mana jawatankuasanya walaupun dia bukan ahli Majlis Parlimen itu.

(3) Perkara ini tidak membenarkan mana-mana orang yang bukan ahli sesuatu Majlis Parlimen mengundi di dalam Majlis Parlimen itu atau dalam mana-mana jawatankuasanya.

(4) Dalam Perkara ini "anggota Jemaah Menteri" termasuklah Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen.


__________________________________________
CATATAN

Per. 61(4):

1. Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 10, berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2. Perkataan "Menteri Muda" digantikan dengan "Timbalan Menteri" oleh Akta A31, seksyen 10, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

3. Perkataan "dan Setiausaha Parlimen" ditambahkan oleh Akta A631, seksyen 4, berkuat kuasa dari 24-2-1986.

                                                                                               


Perkara 62. Tatacara Parlimen.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.

(2) Setiap Majlis Parlimen boleh bertindak walaupun ada apa-apa kekosongan dalam keahliannya, dan kehadiran atau penyertaan mana-mana orang yang tidak berhak hadir atau turut serta tidaklah menidaksahkan mana-mana prosiding.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4) dan kepada Perkara 89(1) dan 159(3) dan kepada seksyen 10 dan 11 Jadual Ketiga Belas, setiap Majlis Parlimen hendaklah, jika tidak sebulat suara, membuat keputusannya mengikut majoriti biasa ahli-ahli yang mengundi; dan orang yang mempengerusikan itu, melainkan jika dia menjadi ahli Majlis Parlimen itu semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1A) Perkara 57, hendaklah membuang undinya apabila perlu bagi mengelakkan undi sama banyak, tetapi tidak boleh mengundi dalam apa-apa hal lain.

(4) Pada mengawal selia tatacaranya, setiap Majlis Parlimen boleh memperuntukkan bahawa tiada apa-apa keputusan yang berkenaan dengan prosidingnya boleh dibuat kecuali mengikut majoriti yang ditentukan atau mengikut bilangan undi yang ditentukan.

(5) Ahli-ahli yang tidak hadir di dalam sesuatu Majlis Parlimen tidaklah dibenarkan mengundi.


___________________________________
CATATAN

Per. 62(3):

Akta 14/1962, Jadual seksyen 4, berkuat kuasa dari 21-6-1962, memasukkan perkataan "dan kepada seksyen 10 dan 11 Jadual Ketiga Belas" dan Akta 19/1964, subseksyen 7(2), berkuat kuasa dari 30-7-1964, memasukkan perkataan "melainkan jika dia menjadi ahli Majlis Parlimen itu semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1A) Perkara 57.".

                                                                                 


Perkara 63. Keistimewaan Parlimen.

(1) Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

(2) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

(3) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan oleh atau di bawah kuasa mana-mana satu Majlis Parlimen.

(4) Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282/70].

(5) Walau apa pun Fasal (4), tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Yang di-Pertuan Agong atau seseorang Raja semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika dia menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan berperlembagaan Raja sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan.


___________________________________
CATATAN

Per. 63:

1. Fasal (4): Ditambahkan oleh Akta A30, seksyen 3, berkuat kuasa dari 10-3-1971.

2. Lihat Ordinan Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa), No. 15 tahun 1952.

3. Fasal (5): Ditambahkan oleh Akta A848, seksyen 5, berkuat kuasa dari 30-3-1993.

                                                                                        



Perkara 64. Saraan ahli.

Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan ahli-ahli setiap Majlis Parlimen.


__________________________________
CATATAN

Per. 64:

Lihat Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

                                                                     


Perkara 65. Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

(1) Maka hendaklah ada seorang Setiausaha Dewan Negara dan seorang Setiausaha Dewan Rakyat.

(2) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan dan setiap seorang hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan awam am melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya atau ditukarkan kepada suatu jawatan lain dalam perkhidmatan awam am itu.

(3) Orang yang memegang jawatan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Fasal ini hendaklah, melainkan jika mana-mana orang itu belum mencapai umur lima puluh lima tahun dan sudah memilih untuk menjadi anggota perkhidmatan awam am Persekutuan, terus memegang jawatan masing-masing atas terma-terma dan syarat-syarat yang tidak kurang baiknya daripada yang terpakai baginya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa sedemikian dan tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan, dan dalam hal ini representasi yang disebut dalam Perkara 125(3) hendaklah representasi yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Negara atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

(4) (Dimansuhkan).

(5) (Dimansuhkan).


___________________________________
CATATAN

Per. 65(2):

1. Proviso ditambahkan oleh Akta A354, seksyen 17, berkuat kuasa dari Hari Merdeka.

Lihat seksyen 7 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] mengenai taraf anggota Perkhidmatan Parlimen setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] dimansuhkan.

2. Perkataan "umur lima puluh lima tahun" digantikan dengan "umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan awam am" oleh Akta A1130, seksyen 7, berkuat kuasa dari 28-9-2001.



Per. 65(3):

1. Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

3. Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 7, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 65(2) & (3):

Fasal-Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A837, seksyen 5, berkuat kuasa dari 20-11-1992, dan menggantikan Fasal-Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada Fasal (3), setiap orang hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh tahun atau apa-apa umur lain sebagaimana yang diperuntukkan oleh Parlimen melalui undang-undang, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah boleh dikira sebagai menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada membuat pelantikan itu daripada kalangan anggota perkhidmatan awam yang baginya Bahagian X terpakai bagi apa-apa tempoh yang lebih pendek sebagaimana yang difikirkannya patut, dan proviso ini hendaklah disifatkan telah menjadi bahagian perlu Perkara ini mulai dari Hari Merdeka.

(3) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat boleh dipecat daripada jawatan atas alasan dan mengikut cara yang sama sebagaimana seorang hakim Mahkamah Agung, kecuali bahawa representasi yang disebut dalam Fasal (3) Perkara 125 hendaklah representasi yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Negara atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.".



Per. 65(4):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 14/1962, perenggan 15(a), berkuat kuasa dari 21-6-1962, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(4) Sebelum melantik mana-mana anggota kakitangannya, Setiausaha Dewan Negara hendaklah berunding dengan Yang di-Pertua Dewan Negara, dan Setiausaha Dewan Rakyat pula hendaklah berunding dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.".

 

2. Lihat Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 12/1963].

3. Fasal ini yang dinyatakan di bawah seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta A837, seksyen 5, berkuat kuasa dari 20-11-1992:

 

"(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya oleh Perkara ini, kelayakan untuk pelantikan dan syarat-syarat perkhidmatan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat, dan anggota kakitangan Majlis-Majlis Parlimen, bolehlah dikawal selia oleh undang-undang persekutuan.".



Per. 65(5):

1. Perkataan "anggota kakitangannya" digantikan dengan "anggota kakitangan Parlimen" oleh Akta 14/1962, perenggan 15(b), berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Fasal ini yang dinyatakan di bawah seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta A837, seksyen 5, berkuat kuasa dari 20-11-1992:

 

"(5) Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat dan anggota kakitangan Parlimen adalah hilang kelayakan daripada menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan mana-mana Negeri.".

                                                                                           



Catat Ulasan

0 Ulasan