Gambar: Sergei A / Pexels |
Pengerusi MCA Bahagian Alor Setar, Tan Chee Hiong berkata, dasar Kerajaan Perpaduan berhubung isu beras bakal ditertawakan dunia, kerana kita menjadi satu-satunya negara yang menindas pesawah sendiri bagi membantu pesawah asing.
Tetapi bagaimana pula isu beras boleh diselesaikan dengan menindas pesawah?
Chee Hiong meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjawab tiga soalan:
Pertama, demi ‘menyelesaikan’ masalah bekalan beras, kerajaan telah bertindak mengurangkan harga beras tempatan, menyukarkan kelangsungan pesawah tempatan, seterusnya menjejaskan pengeluaran beras pada masa depan. Adakah ini sesuatu dasar yang baik?
Kedua, kerajaan bimbang bekalan beras kurang, tetapi tidak pula mengeluarkan permit import, sebaliknya secara kurang bijak ‘memperkasakan’ syarikat besar sambil menindas perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Inikah dasar dan hala tuju “merompak orang kaya dan memberi kepada orang miskin" yang dilaungkan Perdana Menteri?
Ketiga, seorang Timbalan Menteri membawa penguatkuasa membuat pemeriksaan di merata tempat, kononnya untuk menghapuskan peniaga ingkar, tetapi tidak pula berani menghadapi penderitaan yang diluahkan oleh pesawah, logik apakah ini?
Menurut Chee Hiong, “Hari ini saya mewakili masyarakat yang prihatin terhadap masa depan pesawah Malaysia, ingin membuat bantahan yang sekeras-kerasnya terhadap dasar padi dan beras negara, yang bukan sahaja menjejaskan kepentingan pesawah tempatan, tetapi juga mendatangkan ancaman tersembunyi kepada keterjaminan makanan jangka panjang negara.”
Beliau menjelaskan, kenaikan harga beras antarabangsa sepatutnya diterjemahkan kepada harga belian pemborong beras negara ini.
Tetapi disebabkan kepentingan politik, kerajaan telah memilih untuk mengawal harga beras pada RM2,600/tan yang sangat tidak munasabah, menyebabkan pesawah terpaksa menjual beras mereka dengan harga yang murah, iaitu dari RM1,700 diturunkan ke RM1,250, secara langsung menjejaskan pendapatan, yang tidak lagi setimpal dengan penat lelah mereka.
“Berbaloikah mengerjakan sawah semusim, tetapi rugi beratus-ratus?” soal Chee Hiong.
Tegasnya, pesawah membekalkan kita makanan ruji yang penting, tetapi dasar kerajaan telah membuatkan mereka terhimpit.
Beliau menzahirkan kebimbangan, jika keadaan ini kekal, pembekalan beras negara ini akan menghadapi ancaman besar, apabila syarikat yang mempunyai permit eksklusif untuk mengimport beras memaksimumkan keuntungan, walhal pesawah menjadi semakin tersepit.
Beliau memberi amaran, sekiranya kerajaan meneruskan dasarnya tanpa menghiraukan kepentingan pesawah, tidak mustahil jika pesawah melancarkan mogok atau demonstrasi di jalanan.
“Saya menyeru kepada kerajaan supaya mengambil berat suara hati pesawah dengan mengkaji semula dasar padi dan beras. Kita memerlukan suatu dasar yang mampu melindungi kepentingan pesawah serta menjamin kestabilan bekalan makanan, bukannya dasar yang mengorbankan masa depan pesawah semata-mata kerana kepentingan politik,” sambungnya.
Chee Hiong mengingatkan, keterjaminan makanan merupakan asas kepada kesejahteraan negara dan kunci Malaysia menuju masa depan yang lebih baik.
Beliau berharap supaya kerajaan memandang serius isu ini demi masa depan negara, demi pesawah dan demi periuk nasi setiap rakyat Malaysia.
0 Ulasan