Rasmi: BN menang PRK DUN Pelangai

Gambar: Facebook Amizar Abu Adam


Keputusan rasmi PRK DUN Pelangai menepati jangkaan awal apabila calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menang dengan majoriti besar menewaskan dua pesaing lain.

Amizar beroleh sebanyak 7,324 undi dengan majoriti 2,949 undi mengatasi calon PN, Kasim Samat yang beroleh 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli yang hanya mendapat 47 undi.

Haslihelmy yang merupakan bekas ahli UMNO berputih mata kerana keputusan tersebut menyebabkan beliau hilang wang deposit.

Pada PRU15, BN mengekalkan penguasaan di DUN Pelangai setelah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun menang dengan beroleh 7,308 undi.

Beliau meninggalkan Kasim Samat dari PN dengan majoriti 4,408 undi.

Kasim menerima 3,260 undi diikuti calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).

DUN Pelangai memang dikenali sebagai kubu kuat BN dan sebelum ini dipertahankan oleh bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selama lapan penggal sejak Pilihan Raya Umum Ketujuh (PRU7).

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan pemergian Allahyarham Johari yang merupakan salah seorang mangsa dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.


Catat Ulasan

0 Ulasan