Cecair hitam berjaya dihalang daripada terus cemari Sungai Linggi

 

Gambar: Facebook Aminuddin Harun

KES PELEPASAN CECAIR BERWARNA HITAM SEAKAN MINYAK KE DALAM SUNGAI LINGGI

18 JANUARI 2024, SEREMBAN – Pada 17 Januari 2024 jam 1.48 petang, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) telah menerima aduan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) berkaitan pencemaran Sungai Linggi yang dikesan berpunca daripada longkang awam di kawasan Kampung Bemban Hilir, Daerah Seremban.

2. Berdasarkan aduan daripada orang awam ini, JASNS bersama BKSANS, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dengan segera menggerakkan pasukan untuk membuat pengesanan dan mengenalpasti punca. Tindakan pantas agensi-agensi ini telah berjaya mengesan dan menghalang aliran cecair berwarna hitam yang dipercayai minyak enjin daripada terus memasuki Sungai Linggi yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Linggi.

3. Proses persampelan air telah dibuat oleh agensi Kerajaan yang berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan. Kes ini sedang dalam siasatan oleh agensi-agensi Kerajaan terbabit di bawah kesalahan pencemaran sumber air.

4. Untuk makluman, setakat jam 8.00 pagi, 18 Januari 2024, Loji Rawatan Air (LRA) Linggi masih beroperasi pada kapasiti 100%.

5. Kerajaan Negeri amat komited dalam membanteras kes-kes berkaitan dengan pencemaran sumber air ini dan tindakan tegas akan diambil kepada pelaku-pelaku yang tidak bertanggungjawab hingga memberi implikasi terhadap pembekalan air terawat untuk rakyat Negeri Sembilan khususnya.

6. Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada orang awam yang telah membuat aduan dan Kerajaan Negeri sangat menggalakkan orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak Kerajaan Negeri sekiranya terlihat kejadian seumpama ini berlaku pada masa hadapan. Orang awam boleh terus menghubungi pihak JASNS menerusi talian hotline 1-800-88-2727 atau BKSANS atau talian kecemasan sambungan kepada PDRM untuk tindakan pengawalan dan pencegahan, demi kelestarian sumber air Negeri Sembilan.

Sekian, terima kasih.

DATO' SERI UTAMA HAJI AMINUDDIN BIN HARUN

MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

18 JANUARI 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan