Pensyarah Unisel dipecat setelah 16 tahun berkhidmat, apa puncanya?

Mohd Azrin Abd Rahim



KENYATAAN MEDIA

PEMECATAN PRESIDEN KESATUAN KAKITANGAN AKADEMIK 

UNIVERSITI SELANGOR (KAUNSEL) SEBAGAI PENSYARAH UNISEL

Susulan daripada sidang media yang diadakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia  (MTUC) pada 12 Januari 2024 bertempat di Wisma MTUC, Subang Jaya berkaitan isu  pemecatan Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Selangor (KAUNSEL), kami  dengan ini menyokong gesaan MTUC agar Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Unisel Sdn. Bhd. dapat campur tangan agar kemelut ini dapat diselesaikan secara harmoni dengan secepat mungkin. 

Presiden KAUNSEL yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, telah berkhidmat selama lebih 16 tahun di UNISEL seharusnya diberikan pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.

Untuk makluman, KAUNSEL telah didaftarkan secara rasminya pada 6 Mac 2023 dengan hasrat untuk menjadi wadah bagi membawa isu-isu berkaitan kebajikan dan hak pensyarah di UNISEL ke pengetahuan pihak pengurusan. 

Namun begitu, hasrat KAUNSEL telah dipandang serong oleh pihak pengurusan yang menganggap bahawa kesatuan ini telah ditubuhkan secara tersembunyi dan mempunyai agenda yang tidak baik terhadap pengurusan universiti. 

Oleh sebab itu, pelbagai tekanan dan desakan telah dibuat oleh pihak majikan terhadap KAUNSEL dan ahlinya termasuk tidak mahu mengiktiraf KAUNSEL sebagai kesatuan yang sah, mengugut agar ahli meninggalkan KAUNSEL, memindahkan tempat bertugas ahli KAUNSEL dari satu kampus ke kampus yang lain tanpa alasan munasabah, menahan kelulusan geran penyelidikan ahli, 

menafikan hak ahli untuk menggunapakai kemudahan sukan universiti, menghalang ahli daripada menghadiri sidang konvokesyen UNISEL pada tahun 2023, menggantung tugas dan seterusnya memecat Presiden KAUNSEL pada tanggal 5 Januari 2024.

KAUNSEL percaya bahawa segala isu yang tersebut di atas dapat diselesaikan dengan baik dan harmoni andaikata pihak majikan bersedia untuk berbincang di meja rundingan. 

Namun setelah beberapa percubaan dibuat untuk mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden & Naib Canselor UNISEL dipandang sepi, KAUNSEL tiada pilihan melainkan terpaksa membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi agar kecemerlangan UNISEL dapat dikembalikan semula. 

KAUNSEL khuatir jika tiada tindakan proaktif dibuat dalam usaha memperjuangkan hak dan kebajikan pensyarah, maka semakin ramailah tenaga pengajar yang berpengalaman akan meninggalkan UNISEL. 

Ini telah terbukti apabila lebih 200 staf telah meletakkan jawatan dan berhijrah ke institusi lain sejak tahun 2020. Ini merupakan suatu kerugian dan kehilangan yang amat besar memandangkan mereka adalah staf yang berpengalaman dan banyak menyumbang kepada kecemerlangan UNISEL selama ini. 

Ditambah pula dengan bilangan pelajar yang semakin menguncup saban tahun, KAUNSEL berharap agar YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dapat membuat penilaian sewajarnya terhadap prestasi Presiden & Naib Canselor UNISEL sekarang ini.

KAUNSEL menaruh sepenuh kepercayaan dengan rancangan penstrukturan semula Universiti Selangor sepertimana yang telah disebutkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor semasa pembentangan belanjawan Selangor 2024. 

KAUNSEL mewakili semua kakitangan akademik UNISEL yang berjumlah lebih 360 orang menyokong penuh segala hasrat kerajaan negeri Selangor dalam menjenamakan semula Universiti Selangor kepada “Universiti Industri Selangor” selaras dengan hasrat asal penubuhan UNISEL iaitu untuk memenuhi kehendak industri terutamanya dalam negeri Selangor. 

Oleh itu, kami bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siapa sahaja kepimpinan baharu UNISEL yang bakal dilantik oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, khususnya dalam menerajui TVET yang sememangnya bertepatan dengan keperluan industri masa kini.

KAUNSEL juga percaya UNISEL yang kini bakal menyambut jubli perak penubuhannya pada tahun 2024 seharusnya telah lama maju setanding dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang seangkatan dengannya serta layak menjadi peneraju dalam bidang TVET bagi meningkatkan kebolehpasaran graduannya untuk mengisi keperluan industri khususnya di negeri Selangor yang merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK negara. 

Sebagai sebuah kesatuan yang dianggotai oleh tenaga akademik yang berpengalaman dan profesional, KAUNSEL akan memberikan sepenuh komitmen kepada hasrat kerajaan negeri Selangor di bawah pengurusan baharu UNISEL yang bakal dilantik. 

Pihak KAUNSEL ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor atas keprihatinan beliau dalam menentukan hala tuju yang lebih baik terhadap universiti milik kerajaan negeri Selangor ini. Kami juga ingin merakamkan penghargaan buat Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman atas khidmat bakti beliau sepanjang lapan tahun perkhidmatan sebagai Presiden & Naib Canselor UNISEL.

KESATUAN KAKITANGAN AKADEMIK UNIVERSITI SELANGOR (KAUNSEL)

16 JANUARI 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan