Rafizi tiada rancangan komprehensif sebelum laksana Dasar Gaji Progresif - MCA

 


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilihat tidak mempunyai rancangan yang komprehensif sebelum melaksanakan Dasar Gaji Progresif.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, beliau gagal mempertimbangkan pemberian insentif untuk pemulihan syarikat atau penyusunan semula melalui dasar tersebut.

"Pada pendapat saya, daripada Rafizi bercadang untuk melaksanakan dasar baharu yang tidak realistik dan tidak pasti sejauh mana kejayaannya pada ketika ini, lebih baik memberi tumpuan untuk meningkatkan ekonomi negara, sekali gus dapat membantu rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

November lalu, Rafizi membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat dalam usaha memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.

Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA memberitahu, hanya sebilangan kecil syarikat yang telah mengambil bahagian memandangkan dasar tersebut masih di peringkat awal percubaan dan secara sukarela. 

Menurut beliau, salah satu sebabnya mungkin kerana timbul pelbagai persoalan mengenai dasar itu dan menyebabkan jurang gaji di kalangan pekerja. 

"Dua perkara yang timbul berhubung dasar ini adalah kos syarikat dan kesan terhadap pekerja. 

"Memandangkan negara masih dibelenggu dengan kemelesetan ekonomi, maka banyak syarikat masih bergelut untuk terus hidup, jadi adakah pelaksanaan dasar gaji progresif akan membebankan lagi mereka?" soalnya.

Lawrence menambah, kesan negatif boleh berlaku memandangkan Dasar Gaji Progresif tidak dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua syarikat dan jabatan.

"Kesan itu bukan sahaja antara firma dan jabatan, malah ia juga akan menyebabkan kebimbangan ke atas motivasi, produktiviti dan prestasi para pekerja sekiranya mereka merasakan ketidakadilan akibat pelaksanaan dasar tersebut," jelasnya. 

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan membuat pertimbangan dengan lebih teliti dan menyalurkan maklumat tepat berhubung dasar tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berfungsi dengan baik dan adil demi kepentingan majikan dan pekerja. 

"Pada masa yang sama, memastikan semua pihak beroleh situasi menang-menang melalui dasar ini apabila dilaksanakan pada masa yang sesuai kelak," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan