Apa salahnya pekerja warga Bangladesh dan Indonesia bersidai di KLCC?


Setiap kali ada cuti panjang sempena musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, lokasi-lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur menjadi tumpuan pekerja-pekerja warga asing untuk bersiar-siar.

Antara lokasi tumpuan mereka adalah Menara Berkembar Petronas, Pusat Beli-Belah Suria KLCC, Jambatan Saloma dan Pasar Budaya.

Pada masa yang sama, 'kebanjiran' mereka yang rata-ratanya berasal dari Bangladesh dan Indonesia mencetuskan reaksi kurang senang rakyat tempatan.

Malah, media-media tempatan turut menyiram minyak ke dalam api dengan memainkan isu pekerja-pekerja warga asing 'bersidai' di kawasan tumpuan pelancong.

Sikap prejudis ini amat memualkan dan boleh dianggap berbaur perkauman.



Tiada siapa pun yang bising bila pelancong berkulit putih yang bau tubuhnya agak kurang menyenangkan datang ke KLCC.

Tetapi bila pekerja warga Indonesia yang serumpun dan pekerja warga Bangladesh yang seagama buat benda yang sama, ramai pula yang komplen.

Salahkah mereka datang bersiar-siar sambil berkumpul dengan rakan-rakan senegara setelah berbulan-bulan membanting tulang di ladang dan tapak pembinaan?

Secara tidak langsung, mereka turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Malah mereka juga membantu mempromosi lokasi-lokasi tarikan pelancong dengan menyiarkan gambar dalam akaun media sosial masing-masing.

Wahai rakyat Malaysia, buanglah jauh-jauh sikap prejudis kamu itu.

Cuba bayangkan kalau kamu yang bekerja di negara asing dan dipandang serong bila bersiar-siar di kawasan pelancongan.

Sudah tentu kamu juga rasa sedih dan terhina. 

Catat Ulasan

0 Ulasan