GPMS Kedah gesa PDRM bertindak tegas terhadap Harith Iskander, Cecelia Yap Song KL

 



Berikut adalah kenyataan media Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, malam tadi:

Pada 18 Januari 2025, satu hantaran tular di media sosial Facebook telah dibuat oleh pelawak Harith Iskander, yang secara tidak sensitif bergurau mengenai “Ham Sap Kopi” dan menyatakan kekeliruannya terhadap isu ‘ham’ yang sedang tular ketika ini (rujuk Lampiran Gambar 1).

Hantaran ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan langsung tidak lucu.

Selain itu, terdapat komen biadab daripada seorang pengguna Facebook bernama Cecelia Yap Song KL yang menulis, “All names with MoHAMmad got to be renamed then.”

Tindakan ini adalah penghinaan terhadap nama junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, seorang insan yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T. Komentar seperti ini amat dikesali kerana boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Sebagai sebuah negara yang hidup dalam masyarakat harmoni dan berbilang kaum, GPMS Negeri Kedah menggesa agar pihak PDRM mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu ini bagi memastikan tiada lagi ruang untuk penghinaan seperti ini berulang.

GPMS Negeri Kedah juga menyeru pihak kerajaan Malaysia agar meningkatkan usaha untuk mengawal penyebaran sentimen sensitif yang menghina agama dan bangsa, terutamanya di platform media sosial, yang kini semakin tidak terkawal.

Kami akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat. Sekian, terima kasih.


BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan