Apakah perasaan raja bila kuasa dinafikan? - Hassan Karim


KENYATAAN MEDIA 

Kesan Keputusan Mahkamah Persekutuan

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini 8 Februari 2024 yang mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan tidak sah adalah satu perkara yang besar yang perlu ditangani oleh Jemaah Kabinet Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

2. Perkara ini dianggap besar dan serius kerana ia melibatkan 3 hal.Pertama iaitu sejauh mana bidang kuasa Dewan Undangan Negeri sah membuat undang-undang syariah.

 Kedua, soal pembahagian bidang kuas kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan dalam soal Islam di bawah sistem federalism yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Ketiga kedudukan raja-raja Melayu sebagai pemerintah negeri yang dianggap Ketua Agama Islam di negeri berkenaan yang telah memberi perkenan diraja sesuatu Enakmen Undang-Undang Syariah yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri tiba-tiba dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Apakah perasaan raja pemerintah negeri berkenaan apabila kuasanya dinafikan.

3. Jadi Jemaah Menteri perlu segera bermesyuarat.Tidak boleh dibenarkan undang-undang keperlembagaan yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan undang-undang syariah diserahkan kepada Mahkamah semata-mata.

Tugas Mahkamah ialah untuk mentafsir undang-undang. Tugas menggubal, meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang adalah dalam bidang kuasa Parlimen.Ini adalah prinsip pemisahan kuasa di Malaysia.




4. Jika ada yang tidak kena sesuatu keputusan Mahkamah dengan kehendak masyarakat Islam yang mahu melihat syiar Islam ditegakkan di negara ini maka adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk meneliti keperluan mengadakan pindaan perlembagaan supaya tidak berlaku lagi petisyen-petisyen di mahkamah untuk membatalkan Enakmen-Enakmen Undang-undang Syariah di negeri-negeri yang lain pula.

5.Kerana soal pindaan perlembagaan persekutuan melibatkan keperluan kelulusan dengan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga di Dewan Rakyat, maka adalah satu keperluan kerajaan pusat mengadakan perbincangan dan libat urus dengan pihak pembangkang di Parlimen dan kerajaan-kerajaan negeri dan akhirnya dibawa ke Majlis Raja-Raja sebelum sesuatu Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan tersebut dibentangkan di Parlimen.

Hassan Abdul Karim 
Ahli parlimen Pasir Gudang 
Jumaat 8 Februari 2024

Catat Ulasan

0 Ulasan