Blockout2024: Menteri Agama nasihat umat Islam jangan ekstrem


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menasihatkan umat Islam di negara ini agar bertindak atas asas kebenaran, ilmu dan akhlak dalam kempen solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis Israel.

Ketika ini, gerakan Blockout 2024 sedang giat dilancarkan oleh umat Islam sebagai tanda bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Na'im hari ini:

Dalam isu Palestin, saya percaya semua pihak memahami bahawa kekejaman yang dilakukan pihak Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah tidak boleh diterima sama sekali. 

Tindakan yang dilakukan pihak Zionis Israel amat biadab, melampau serta di luar batas kemanusiaan.

Atas asas kesatuan dan ihsan, semua pihak adalah diseru untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin melalui pelbagai pendekatan tersendiri termasuk mendoakan kekuatan dan kesejahteraan kepada Palestin.

Walau bagaimanapun, apa jua tindakan yang diambil termasuk kempen solidariti kepada umat Palestin perlulah dibuat atas asas
kebenaran, ilmu dan akhlak. 

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem kepada mana-mana pihak. 

Apatah lagi ia melibatkan fitnah, mencaci, maki hamun, ugutan dan sebagainya.

Semua pihak adalah diseru untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam bermasyarakat. 

Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam adalah perlu dielakkan sama sekali. 



Catat Ulasan

0 Ulasan