Rakyat Malaysia yang malas membaca


Tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia boleh dikatakan pada tahap yang amat menyedihkan.

Setakat 2022, secara purata, rakyat Malaysia hanya meluangkan masa kurang daripada tiga jam seminggu untuk membaca.

Jumlah itu jauh lebih rendah daripada purata 10 jam seminggu di India, sembilan jam seminggu di Thailand dan lapan jam seminggu di India.

Laporan Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2005 mendapati rakyat Malaysia hanya membaca purata dua buku setahun.

Jumlah itu meningkat kepada purata 15 buku pada 2014 namun masih jauh lebih rendah berbanding 40 buku setahun di negara maju.

Apakah orang kita terlalu sibuk dengan urusan seharian sehingga tidak sempat meluangkan masa untuk membaca?

Mereka mempunyai banyak masa untuk melayari media sosial terutamanya TikTok tetapi bila diajak membaca, banyak pula alasannya.

Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepatutnya dimanfaatkan untuk menyuburkan amalan membaca yang semakin kontang.




Kita boleh memilih untuk membaca buku elektronik melalui peranti telefon pintar atau tablet ketika menaiki pengangkutan awam.

Selain itu, kita boleh mendengar buku audio dalam kereta ketika memandu lebih-lebih lagi semasa mengharungi kesesakan jalan raya pada waktu-waktu puncak.

Gunakan masa terluang pada hujung minggu dan hari kelepasan am untuk membaca buku sama ada secara fizikal atau elektronik.

Harga buku dari luar negara yang agak mahal ekoran kadar tukaran mata wang yang tidak menyebelahi ringgit tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak membaca.

Banyak buku berkualiti yang boleh dipinjam dari perpustakaan awam yang sebahagiannya tidak mengenakan bayaran yuran keahlian.

Kita juga boleh memilih untuk membeli buku dengan harga yang jauh lebih murah di toko-toko seperti Big Bad Wolf dan BookXcess.

Buanglah jauh-jauh segala alasan yang menyebabkan kita malas membaca agar minda kita tidak terus terperangkap di bawah tempurung yang gelap dan sempit.

Catat Ulasan

0 Ulasan