Sejarah silam menghantui kempen Pang Sock Tao di Kuala Kubu Baharu


Pang Sock Tao telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab mempertahankan penguasaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Di atas kertas, bekas Setiausaha Akhbar Nga Kor Ming itu dilihat mempunyai kelebihan berbanding tiga calon lain iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

Kuala Kubu Baharu dikenali sebagai kubu kuat DAP sejak PRU13 di mana mendiang Lee Kee Hiong berjaya mempertahankannya sehingga PRU15.

Selain itu, faktor kerajaan negeri Selangor dan kerajaan pusat yang dikuasai gabungan PH-BN memberi kelebihan kepada Sock Tao.

Walau bagaimanapun, sejarah silam Sock Tao yang amat lantang mengecam UMNO dan BN boleh menyebabkan berlaku undi protes.

Beliau juga kerap menyindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan kes-kes mahkamah yang dihadapinya.

Sedikit sebanyak, keceloparannya itu telah menyinggung perasaan ahli-ahli akar umbi UMNO yang masih setia bersama Bossku.

Hubungan antara DAP dan MCA masih renggang dan ia akan menyukarkan kempen Sock Tao khususnya di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai penyokong MCA.




Faktor kelembapan ekonomi juga boleh memberi kesan negatif terhadap sokongan pengundi terhadap calon PH di Kuala Kubu Baharu.

PN yang diwakili Khairul Azhari mampu memberi saingan sengit terhadap dominasi PH dan DAP di kerusi tersebut sekiranya mereka bijak memanipulasi sentimen pengundi.

Keputusan PRN Selangor menunjukkan bahawa PN berupaya menambah kerusi DUN di negeri berkenaan.

Jika kena gayanya, tidak mustahil gergasi boleh tumbang dan PN menambah satu lagi kerusi di Selangor selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu berakhir.

Catat Ulasan

0 Ulasan