Program taklimat kewarganegaraan ditangguhkan - ADUN Stulang


ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng memaklumkan, Program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan yang dijadualkan di Plaza Sentosa, Johor Bahru pada 30 Jun ini ditangguhkan. 

Beliau berkata demikian melalui hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai taklimat tersebut sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Selain Andrew, Penyelia Program Kewarganegaraan Pulau Pinang, Yeap Choon Keong dijadualkan hadir taklimat tersebut.




Andrew yang juga Ketua Pengimbang Johor menjelaskan, taklimat itu adalah berkaitan isu tidak memiliki status kewarganegaraan atay sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.

"Sebagai contoh: Bapa Malaysian, Ibu Indonesian. Perkahwinan tidak sah taraf dan tidak didaftarkan di Malaysia.

"Anak yang lahir tidak mempunyai sijil kelahiran, ibu tidak dapat dikesan. 

"Akibatnya anak tidak dapat bersekolah, sukar mencari pekerjaan tetap yang dibayar gaji setimpal, tidak layak memiliki kenderaan juga lesen memandu seterusnya terlibat dalam kes jenayah / masalah sosial," katanya.

Beliau memberitahu, dalam taklimat tersebut akan disediakan senarai dokumen yang diperlukan bagi setiap kes, penerangan untuk merujuk kepada jabatan yang terlibat yang perlu dikunjungi. 

Andrew menambah, setiap kes akan diminta untuk merujuk kepada jabatan berkaitan dan diproses mengikut kesesuaian jabatan tersebut. 

"Diharap tiada pihak menimbulkan sebarang spekulasi berikutan salah faham yang telah timbul dari tajuk poster kami sebelum ini," ujarnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan