Isu tajaan arak: MIC mahu kerajaan bertegas


MIC menggesa kerajaan bertindak tegas dalam melaksanakan polisi Kementerian Pendidikan yang menetapkan tata cara penerimaan sumbangan bagi sekolah adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani di bawah pekelilingnya bertarikh 29 Mac 2018 (perkara 7.3).

Ketua Penerangannya, Thinalan Rajagopalu berkata, ia adalah berikutan isu kontroversi yang mengundang pelbagai persepsi ketika ini, iaitu sumbangan tajaan syarikat arak kepada sebuah sekolah baru-baru ini, di mana program berkenaan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang antaranya menyatakan tidak mengetahui polisi Kementerian Pendidikan itu.

"Kami difahamkan bahawa isu berkenaan kini di bawah siasatan Kementerian Pendidikan dan Menterinya, Fadhlina Sidek telah menegaskan kementeriannya tiada niat untuk mengkaji semula polisi yang ditetapkan bagi institut pendidikan dalam menerima sebarang sumbangan. 

"Beliau menegaskan semua sekolah perlu mengikuti panduan yang diberikan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata, MIC juga ingin menasihatkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke agar peka dan akur dengan polisi dan ketetapan Kementerian Pendidikan, dan bukannya mempersoalkannya di mana beliau telah menyatakan akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Kabinet.

Thinalan berkata, seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, MIC bersetuju kerajaan harus mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak memberi sumbangan dana mahupun melakukan aktiviti di sekolah. 

"Polisi tersebut tidak harus diperlekehkan atau pun dibelakangkan atas desakan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

"MIC menghargai sebarang usaha pembangunan sekolah dari segi prasarana infrastruktur mahupun kualiti pendidikan oleh pihak-pihak bekepentingan seperti pentadbiran sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), lembaga pengelola sekolah (LPS) dan sebagainya. 

"Tetapi usaha berkenaan perlulah di bawah lunas polisi kerajaan," jelasnya.




Catat Ulasan

0 Ulasan