Keputusan Speaker enam kerusi tidak kosong bercanggah Perlembagaan Persekutuan - Muhyiddin

 


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) amat kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menyatakan tidak berlaku kekosongan melibatkan enam kerusi Parlimen yang disandang oleh enam bekas Ahli Parlimen dari parti tersebut.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut adalah bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut beliau, alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang yang diberi menunjukkan Johari telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

"Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

"Dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut di sini tidak lagi menjadi ahli BERSATU berikutan dengan peruntukan- peruntukan perlembagaan BERSATU," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut mengesahkan bahawa BERSATU telah menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 lewat petang semalam daripada Johari yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli BERSATU.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Muhyiddin menambah, di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif. 

Beliau memberitahu, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU telah pun memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya. 

"Pentafsiran BERSATU terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

"Keputusan YB Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. 

"Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Muhyiddin berkata, bagi kerusi Parlimen Labuan pula, Johari memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut setelah Suhaili memulakan tindakan mahkamah yang juga menyalahi peruntukan Perlembagaan BERSATU.

"Saya menyeru YB Speaker untuk menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan-perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya," katanya.

Menurut beliau, ia adalah seperti mana kata-kata Johari semasa beliau menjadi pembangkang yang dipetik dalam penyata rasmi Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2022 di muka surat 85, ketika membahaskan RUU Pindaan Perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti, “Inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita. Tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti di sini.” 

Hakikatnya, kata Muhyiddin, keputusan Johari itu sendiri telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti.

Sehubungan itu, katanya, BERSATU memutuskan untuk mengambil langkah- langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan BERSATU.

"Perikatan Nasional mengingatkan semua parti politik dan ahli Dewan Rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara. 

"Maka, tindakan YB Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela," ujarnya.




Catat Ulasan

0 Ulasan