Kerajaan tak boleh biarkan rakyat jadi mangsa jenayah siber


Kerajaan tidak boleh berdiam diri dan membiarkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa jenayah siber. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, lebih RM1 bilion wang rakyat lesap akibat penipuan dalam pelbagai platform media sosial tahun lepas. 

Menurut beliau, untuk buli siber, tidak kurang 10 kes dilaporkan setiap hari. 

"Ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Angka tersebut sangat membimbangkan," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ketika ini, banyak pihak termasuk bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga mengecam langkah kerajaan mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini memohon lesen.

Fahmi menambah, perkara itu antara yang dibangkitkan ketika beliau ditemu bual oleh Channel News Asia (CNA) di Singapura semalam.

Beliau berkata, menerusi kerangka kawal selia baharu itu, penyedia media sosial perlu bertanggungjawab terhadap kegiatan jenayah yang berlaku di platform mereka.

"Usaha memerangi jenayah dalam talian merupakan fokus negara-negara serantau. 

"Insya-Allah, ASEAN akan bekerjasama dalam meneliti kerangka kawal selia lebih tegas bagi memastikan ekosistem internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga," jelasnya.



Catat Ulasan

0 Ulasan